BERITA



Operasi mencari dihentikan


Pasukan pencari dan penyelamat mengangkut mayat seorang mangsa gempa bumi di Kampung Tandikat di Pariaman dekat Padang, Sumatera. - AFP


PADANG 5 Okt. – Pasukan penyelamat hari ini menghentikan usaha mencari mangsa yang terselamat daripada runtuhan bangunan dan memberi tumpuan dalam usaha memberi bantuan kepada mangsa yang terselamat di pekan-pekan dan kawasan pergunungan di Sumatera Barat yang dilanda gempa, meskipun terhalang oleh hujan lebat.

Ketua Agensi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Indonesia, Ignacio Leon berkata, selepas membuat pertimbangan daripada pengalaman sebelum ini, adalah sukar untuk menemui mereka yang masih hidup.

“Saya tidak bermaksud mematahkan semangat orang ramai tetapi fokus akan beralih dan kami kini menyokong usaha kerajaan untuk memberi tumpuan kepada membantu mangsa yang terselamat,’’ ujarnya.

Jumlah kematian akibat gempa bumi pada Rabu lalu di pulau Sumatera ini dijangka mencecah beribu-ribu orang setelah mereka yang hilang diisytiharkan terbunuh.

PBB melaporkan lebih 1,100 orang telah terbunuh, sementara kerajaan Indonesia meletakkan jumlah kematian sebanyak 603 orang.

Leon, bagaimanapun tidak secara mutlak memberitahu operasi mencari dan menyelamat dihentikan, tetapi beberapa pasukan mengesahkan beliau bermaksud begitu.

Ketua pasukan Penyelamat Bencana Jepun, Hiroaki Sano berkata, pegawai PBB dan kerajaan Indonesia telah berbincang dengan pasukan bantuan antarabangsa dan `bersetuju untuk tidak memberikan bantuan tambahan kepada operasi menyelamat dan mencari’.

“Kami telah tiba di kawasan bencana awal tetapi tidak berjaya menemui mangsa yang terselamat. Seratus jam pertama adalah masa yang paling kritikal.

“Pasukan mencari dan penyelamat antarabangsa telah menamatkan operasi dan bersiap sedia untuk kembali ke negara asal ekoran peluang untuk menemui mangsa yang terselamat semakin tipis.

“Mereka percaya kami patut menghentikan operasi mencari dan beralih kepada fasa pembangunan semula,” kata Sano.

Katanya, pasukan bantuan antarabangsa akan terus menyumbangkan makanan dan bantuan kemanusiaan.

Sementara itu, menteri kerajaan, Aburizal Bakrie berkata, sejumlah AS$600 juta (RM2 bilion) diperlukan untuk membaiki rumah, sekolah, masjid, jalan raya dan beberapa kemudahan infrastruktur lain yang rosak akibat bencana gempa bumi.

Hujan lebat sejak malam semalam dibimbangi mengundang berlakunya lebih banyak tanah runtuh yang akan menghalang penghantaran bantuan.

Sano berkata, hujan lebat tidak terlalu mengganggu operasi di bahagian bandar tetapi menyulitkan di kawasan luar bandar.

Agensi Geofizik dan Metrologi memberi amaran bahawa rantau ini akan berhadapan dengan tiupan angin kencang dan ribut dalam tempoh dua hari lagi.

“Penduduk yang tinggal di kawasan bukit perlu sentiasa berwaspada dengan potensi berlakunya kejadian tanah runtuh ekoran berlakunya hujan lebat,” kata jurucakap agensi tersebut, Hari Tirto.

Sehingga hari ini, masih tidak jelas berapa ramai mangsa yang masih tidak mendapatkan perlindungan tetapi lebih 88,000 rumah dan 285 sekolah telah musnah di 10 daerah yang terjejas akibat gempa.

Sebanyak 100,000 bangunan awam dan sejauh 31 kilometer jalan raya telah rosak.

Di Padang, beratus-ratus murid-murid mula menghadiri kelas.

--------------------

1Malaysia ada nilai ekonomi tinggi

PARIS 5 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Malaysia mengukuhkan amalan kemajmukan sedia ada untuk memaparkan kepada dunia bahawa gagasan 1Malaysia yang dipraktikkan turut berorientasikan nilai ekonomi tinggi.

Berucap pada pertemuan dengan 450 pelajar Malaysia di sini, Perdana Menteri berkata, ia bermakna dalam negara ini terdapat pelbagai elemen peradaban yang berpotensi membawa negara memainkan fungsi sebagai pintu masuk ekonomi ke Asia.

Tegasnya, menerusi sifat kemajmukan yang ada di kalangan orang Melayu, Cina dan India, maka ia dapat memudahkan urusan hubungan dua hala negara dengan China, India, dunia Melayu (Nusantara) dan Asia Barat.

''Ini merupakan pusat peradaban yang rapat dengan kita termasuk hubungkait dengan China. Tidak ada negara lain yang ada kelebihan strategik ini dan mengapa kita tidak transformasikan amalan strategik semulajadi ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada pertemuan dengan 450 pelajar Malaysia di Pavilion Dauphine Place du Marechal de Lattre Tassigny di sini, semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan menarik perhatian sekiranya China yang didiami berbilion penduduk mengambil keputusan membeli minyak sawit negara, maka keuntungannya tentu akan dikecapi oleh para peneroka Felda dan pekebun kecil.

''Yang untungnya adalah rakyat Malaysia dan mungkin juga saudara-saudari anak para peneroka Felda. Jadi, kita bergantung kepada punca kemajmukan ini.

''Dan itu sebab 1Malaysia perlu menjadi mesej yang berkuasa iaitu 1Impian, 1negara dan 1bangsa," katanya.

Menurut Najib, beliau mahu melihat elemen kemajmukan itu sebagai satu kekuatan rakyat dan bukannya bebanan.

''Kita boleh terjemahkan soal kemajmukan ini bahawa setiap kaum di negara ini ada kekuatan dan jika digembeleng, ia boleh membentuk negara bangsa yang lebih tinggi," kata beliau.

Sementara itu, pada sesi dialog dengan pelajar, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meneliti cadangan untuk mewujudkan Malaysia Hall di sini.

''Saya tidak pasti dari segi keperluan fizikal untuk kemudahan ini. Bagaimanapun, keputusan ini (mewujudkan Malaysia Hall di Paris) tidak akan dibuat secara tergesa-gesa," kata beliau.

(Berita ini diambil dari Utusan Online – AP, 6 Oktober 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment