BERITA



Serangan balas dendam

PESHAWAR - Pegawai kerajaan Pakistan mendakwa serangan di Peshawar yang mengorbankan 107 orang adalah untuk membalas dendam ke atas operasi besar-besaran memerangi militan Taliban di Waziristan Selatan.

Tetapi Taliban dan al-Qaeda menolak dakwaan mengenai penglibatan mereka dalam serangan itu.

Serangan kelmarin memusnahkan banyak bangunan dan menyebabkan kebakaran besar.

Doktor-doktor merayu bekalan darah untuk merawat lebih 200 mangsa yang cedera akibat serangan itu.

Anggota penyelamat berkata ramai mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan sekolah di kawasan pasar Mina yang menjadi lokasi serangan tersebut.

Serangan itu berlaku ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton tiba di Islamabad untuk mengadakan rundingan dengan pegawai-pegawai kerajaan.

Letupan bom di Peshawar itu adalah yang terburuk dalam tempoh dua tahun di Pakistan.

"Bunyi letupan sangat bingit dan saya berasa seperti seorang buta selama beberapa minit," kata seorang penduduk, Mohammad Usman.

"Saya mendengar wanita dan kanak-kanak menangis serta meminta bantuan," katanya.


---------------


Jawatankuasa Disiplin Pas beri amaran ‘tutup mulut’

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Disiplin Pas memberi amaran dan tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan kepada mana-mana ahli mahupun pemimpin parti yang bertindak membincangkan semula masalah yang telah diselesaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatankuasa memandang serius perkara ini walaupun perkara itu disuarakan di laman blog kerana parti mempunyai pelbagai mekanisma bagi menangani isu dalaman parti yang berlaku.

“Sekiranya ada dikalangan ahli biasa atau pimpinan yang cuba mengheret parti kepada permasalahan yang telah kita putuskan, maka mereka mesti bersedia untuk diambil tindakan.

“Awasilah media perdana yang berusaha melaga-laga pimpinan dengan memberi gambaran buruk kepada satu pihak dan selah-olah memberi gambaran baik pada pihak lain kerana mereka sedang berusaha memecahbelahkan dan merosakkan hubungan baik dalam Pakatan Rakyat,” katanya dipetik dari laman blog beliau semalam.

Menurutnya, segala permasalahan parti mestilah menggunakan saluran parti yang sedia ada.

“Gunakan saluran parti, jangan bertindak sendirian dengan membelakangi saluran parti kerana tindakan sedemikian tidak menguntungkan parti.

“Jawatankuasa Disiplin Parti kini sedang memantau beberapa artikel dalam media perdana serta laman-laman blog tertentu yang menulis berkaitan parti sebelum mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat, kelmarin,” katanya.

Sehingga kini, katanya Jawatankuasa Disiplin telah menerima empat laporan rasmi dan telah mengambil tindakan kepada tiga laporan, manakala satu lagi sedang diteliti.

“Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menegakkan keutuhan parti serta hak ahli parti, maka semua pertuduhan dan pendakwaan mestilah mampu menegakkan keadilan bagi yang kena tuduh, manakala yang membuat tuduhan mestilah bersedia dengan bukti yang jelas,” katanya.

(Berita ini diambil dari Sinar Harian Online, 30 Oktober 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment