BERITA

Adun keluar PKR

Oleh Faiza Zainudin dan Tuan Nazuri Tuan Ismail
bhnews@bharian.com.my


Badrul Hisham Abdullah

YB Pelabuhan Klang ragui pimpinan Anwar, MB Selangor

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, semalam mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkuat kuasa serta-merta dan akan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau yang masih belum membuat keputusan untuk menyertai Umno atau mana-mana parti politik, berkata keputusan itu dibuat dengan penuh kerelaan tanpa sebarang paksaan dan ugutan serta berasas kepada prinsip agama dan moral sebagai seorang Islam.


"Saya juga tidak akan sesekali melepaskan jawatan saya sebagai wakil rakyat Pelabuhan Klang kerana saya dipilih oleh rakyat serta pengundi, bukannya oleh Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim).

"Saya tidak akan tunduk kepada tekanan dan desakan beliau untuk meletak jawatan dan membazirkan wang rakyat bagi mengadakan pilihan raya kecil sekali lagi. Saya yakin akan mampu berkhidmat dengan lebih baik sebagai wakil rakyat Bebas tanpa sebarang gangguan mainan politik kerajaan pakatan sedia ada," katanya pada sidang media di sini.

Pakatan pembangkang membentuk kerajaan di Selangor pada pilihan raya umum lalu selepas menguasai 36 kerusi DUN - PKR (15), DAP (13) dan Pas (lapan), manakala Barisan Nasional (BN) 20 kerusi.

Berikutan keputusan Badrul Hisham menjadi wakil rakyat Bebas, pakatan pembangkang itu kini mempunyai majoriti 15 kerusi.

Badrul Hisham yang ditemani isterinya, Ramiza Mazlan, berkata keputusan untuk keluar parti dibuat disebabkan tekanan dan kenyataan Abdul Khalid yang disifatkannya tidak bermoral sebagai pemimpin tertinggi PKR negeri.

"Beliau (Abdul Khalid) mencadangkan saya mendapatkan rawatan psikiatri dan menuduh saya mempunyai masalah kesihatan selepas terbabit dalam kemalangan dan ini adalah satu tohmahan dan fitnah yang dahsyat dan tidak benar sama sekali.

"Kenyataannya yang menyatakan saya mempunyai masalah otak juga satu penghinaan ke atas maruah diri dan keluarga saya.

"Saya juga menafikan kenyataan beliau bahawa saya tidak menjawab surat tunjuk sebab. Saya sudah memberi penjelasan menerusi surat bertarikh 28 Ogos dan ia diterima berserta cop rasmi pejabat Menteri Besar dan pejabat Setiausaha Agung PKR pada 2 September lalu," katanya.

Badrul Hisham yang didakwa menimbulkan masalah dalam parti dan tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, menjelaskan beliau tidak menerima peruntukan sewajarnya dari pentadbiran kerajaan PKR berbanding wakil rakyat lain.

Katanya, tindakan kerajaan negeri menubuhkan Pusat Khidmat Rakyat di Pendamar Indah, yang diterajui setiausaha politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad, juga membelakangkan beliau sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Badrul Hisham berkata, beliau turut meragui kepemimpinan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihatnya tidak berani berdepan dengan perbicaraan kes liwatnya dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Katanya, kesungguhan Anwar yang didakwa sengaja menangguhkan proses pendakwaan di mahkamah, menimbulkan keraguannya, terutama apabila Penasihat PKR itu mengambil sikap mengelak daripada memberi penjelasan kepada ahli parti dan enggan bersumpah.

"Sebagai wakil rakyat PKR, saya berhak mendapat penjelasan dan Presiden PKR yang juga isterinya, Datin Seri Azizah Ismail juga gagal melaksana tanggungjawab memberi penjelasan kepada ahli," katanya.

Di SHAH ALAM, Abdul Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor, berkata kerajaan negeri tetap dengan keputusan mendesak Badrul Hisham meletak jawatan kerana gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

"Kita hanya akan menerima Badrul Hisham jika beliau sanggup bekerjasama dan menjalankan tugas. Jika tidak, beliau perlu berhenti demi keluarga dan masyarakat di kawasan itu dan kita akan buat keputusan yang munasabah," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES).

Abdul Khalid menegaskan Badrul Hisham akan hanya diterima semula sebagai Adun jika berjanji untuk menjalankan tugas.

"Kita sanggup terima dia semula. Masalah sekarang mengapa dia bertanding pada pilihan raya dan berjanji kepada rakyat tetapi tidak mahu buat kerja," katanya.

Sambil mengakui tindakan Badrul Hisham itu menjadi liabiliti kepada PKR dan kerajaan negeri, Abdul Khalid berkata, beliau tidak kisah jika Adun Pelabuhan Klang itu mahu menyertai Umno.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata tindakan Abdul Khalid itu adalah helah semata-mata bagi membolehkan Anwar meletakkan calon pilihannya bertanding di kerusi itu jika kosong.

Katanya, Badrul Hisham wajar keluar PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas bagi membuktikan beliau tidak mengalami masalah mental seperti didakwa.

-----------------------

Juruterbang pelatih maut pesawat terhempas

Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Suhana Roslan


Mohd Ehsan Sayyid Abu Tahir

HULU SELANGOR: Seorang juruterbang pelatih terbunuh selepas pesawat yang dipandunya terhempas di kawasan hutan berhampiran Kelab Golf Lembah Beringin, Bukit Beruntung, petang semalam.

Mangsa, Mohd Ehsan Sayyid Abu Tahir, 22, dari Taman Nirwana, Ampang, ditemui tercampak kira-kira 30 meter dari pesawat, berpakaian seluar jeans dan kemeja-T oleh unit pasukan penyelamat, kira-kira jam 8.35 malam.

Pesawat jenis Eagle 150-B milik Kelab Penerbangan Diraja Selangor yang dipandu mangsa dipercayai terputus hubungan dengan menara kawalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Subang kira-kira jam 4.20 petang, sebelum terhempas.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Yahya Affandi, berkata mangsa sedang membuat penerbangan solo untuk ujian praktikal terakhir dari Ipoh ke Subang sebelum menduduki peperiksaan.

Beliau berkata, ketika ditemui mayat mangsa dalam keadaan kaki kirinya terkulai dan dahinya mempunyai garisan luka, dan jenazahnya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu, untuk dibedah siasat.

"Saya dimaklumkan tiada penumpang dalam pesawat ini. Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sepasukan anggota bomba dan penyelamat, polis dan Rela.

"Keadaan pesawat ketika ditemui dalam keadaan sempurna kecuali cerminnya pecah. Siasatan akan dilakukan DCA untuk mengesan kotak hitam bagi mencari punca kejadian," katanya pada sidang media di tempat kejadian di sini, malam tadi.

Sementara itu, seorang saksi, Syamsul Arif, 30, yang minum di gerai kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian berkata beliau melihat pesawat itu berlegar-legar lebih 40 minit di kawasan itu sebelum terhempas.

Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, Syamsul berkata ketika itu hujan renyai-renyai dan kesemua yang berada di gerai itu tertanya-tanya sama ada pesawat itu sedang melakukan ujian pemanduan atau akan terhempas.

"Saya melihat pesawat itu tidak stabil, seakan-akan membelok ke kiri dan ke kanan, dan kadang-kala terbang ke atas dan ke bawah.

(Dua berita ini diambil dari Berita Harian Online, 30 Oktober 2009)



No response to “BERITA”

Post a Comment