'KUFUR NIKMAT NEGARATENAT'
( 23 Oktober 2009 / 4 Zulhijjah 1430)
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah S wT dengan sebenar-benar takwa iaitu melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: 'Kufur Nikmat Negara Tenat '.
Berdasarkan pemerhatian mimbar, budaya berhutang kelihatan sudah menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat kita. Perkara ini berpunca kerana sikap berbelanja melebihi kemampuan kewangan semasa. Biarpun kekurangan mempunyai wang tunai atau wang simpanan, tetapi nafsu meluap-luap untuk membeli tetap tinggi. Jika dahulu hanya golongan miskin yang biasa dikaitkan dengan berhutang kerana memenuhi keperluan terdesak, tetapi hari ini golongan kaya dan sederhana juga terbabit dengan budaya berhutang untuk hidup bermewah-mewahan.
Orang yang terlibat dengan budaya berhutang secara tidak wajar sebenarnya berada dalam lingkungan sikap tidak mahu susah dan tidak faham tentang maksud sebenar ikhtiar. Lantaran pegangan standard kesempurnaan
Firman Allah SwT :
Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah; dan (ingatlah) Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.(Al Baqarah:282).
Jelas, amalan berhutang tidak sepatutnya dijadikan budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan. Dalam kehidupan, amat penting kita mempunyai kemahiran mengurus wang secara bijak kerana menjamin hayatan tayyibah (kehidupan yang baik) serta bebas dari cengkaman hutang. Langkah ini dapat membimbing dan menjamin keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran.
Media cetak pernah melaporkan beberapa agensi yang tergugat kewangannya disebabkan sikap pembayar atau yang berhutang gagal menjelaskan hutang. Antara masalah itu adalah tunggakan cukai tanah di Semenanjung Malaysia pada tahun 2008 berjumlah sebanyak RM655.4 juta dan 36.06% sahaja yang berjaya dikutip. Begitu juga tabung PTPTN, daripada seramai 1.4 juta peminjam pada 2009, 10% adalah peminjam ingkar. Manakala pinjaman MARA pula daripada 79,000 peminjam didapati 7,300 orang adalah peminjam liat membabitkan RM111 juta tunggakan. Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang mengendalikan urusan kaunseling dengan orang yang berhutang bahawa sejak akhir Jun 2008 hingga April 2009 terdapat sebanyak RM520 juta hutang tidak berbayar membabitkan seramai 23,924 peminjam.
Persoalan besar timbul ialah mengapa masih terdapat segelintir masyarakat kita begitu liat, sukar dan sengaja melarikan diri dalam menjelaskan hutang piutang mereka?. Sudahlah dikelilingi hutang sedia ada seperti hutang perumahan, kenderaan, pengajian, cukai tanah, ditambah pula dengan hutang peribadi. Akhirnya beban membayar balik hutang melebihi pendapatan sehingga menjejaskan kemampuan untuk menyediakan keperluan asas keluarga. Menurut pemerhatian mimbar, antara punca yang dikenalpasti ialah masih ada yang kurang kesedaran tentang tanggungjawab untuk menjelaskan hutang dan tidak mengetahui tentang kesan sekiranya mereka gagal membayar hutang.
Mimbar mengingatkan bahawa, sikap lupa diri sesetengah daripada kita yang berhutang walaupun mampu untuk membayar dan sihat tubuh badan, amatlah dikesali. Rasulullah s.a.w.pernah mengulas sikap manusia yang lupa diri ini sebagaimana diriwayatkan oleh Uqbah bin ´Amir yang mafhumnya:
Janganlah kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya.” Mereka berbertanya: Apa itu, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Hutang.
Setiap yang berhutang wajib membayarnya. Sekiranya kita membayar hutang, cukai, zakat dan sebagainya, sudah pasti hasil pungutan itu dapat diagih dan digunakan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan rumah golongan fakir dan miskin, membiayai kebajikan rakyat yang memerlukan, menyedia dan melengkapkan kemudahan awam seperti jalan raya, hospital, masjid, sekolah dan seumpamanya. Selain itu, tunggakan hutang yang dibayar boleh memulih sesuatu situasi selepas rakyat ditimpa bencana seperti banjir, ribut taufan, gempa bumi, dan tanah runtuh dan juga sebagai keperluan jihad di jalan Allah SwT.
Amalan suka berhutang membelenggu dan memberi kesan buruk kepada diri, keluarga, dan negara. Individunya juga menghadapi masalah kesihatan fizikal, mental dan emosi seperti muflis, mengalami tekanan perasaan, sakit jantung, dipandang serong, tidak suka bergaul, hilang keceriaan diri, tiada ketenangan jiwa, menjejaskan mutu kerja, terlibat dengan rasuah, pecah amanah, perceraian, bahkan ada yang tergamak bunuh-membunuh. Paling malang, masalah hutang ini berlanjutan sehingga membebankan anak cucu atau ahli waris yang lain.
Insaflah, dosa tidak membayar hutang sangat berat, selain berdosa, hilang pahala amal dan kita akan di azab oleh Allah SWT di hari akhirat kelak. Allah SWT mengingatkan kita dalam Surah Yusuf tentang kitaran hidup yang kadang kala senang dan ada masanya susah. Justeru, apabila kita dalam keadaan senang, berjimat cermatlah dan ingati keadaan golongan yang kurang dari kita. Manakala jika kita senang, bantulah untuk meringankan bebanan orang lain sebagai amal jariah.
Mimbar mengajak sidang jemaah sekalian, marilah sama-sama kita berfikir sejenak betapa jabatan dan agensi tertentu terpaksa menghabiskan tenaga dan ratusan ribu ringgit bagi membiayai kempen kesedaran dan iklan membayar hutang. Selari dengan kehendak ajaran Islam dan sifat orang beriman yang bersyukur, marilah kita mengubah gaya hidup dengan bersegera membayar hutang dan tidak bertangguh-tangguh membayar hutang cukai tanah, cukai pintu, pinjaman pendidikan dan seumpamanya supaya hidup kita aman, tenteram dan tidak terbelenggu dengan bebanan hutang. Mudah-mudahan dengan itu negara terus menjadi makmur.
Sesungguhnya orang yang selalu membaca Kitab Allah, mendirikan solat dan mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terang, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mensyukuri.” (Al Faatir: 29-30)
No response to “KHUTBAH JUMAAT”
Post a Comment