Harapan temui mangsa kian tipis
GAMBAR dari udara menunjukkan beberapa rumah yang terus terancam selepas gempa menggegarkan kampung Pariaman. |
Penduduk Padang guna tangan cari mayat
PARIAMAN: Tanpa bantuan luar, penduduk terpaksa menggunakan tangan untuk menggali keluar mayat selepas empat hari gempa bumi menimbus empat kawasan perkampungan barat Indonesia dan usaha mengebumikan mayat secara beramai-ramai juga bermula.
Sekurang-kurangnya 644 penduduk tertimbus dan disahkan mati di kawasan perkampungan lereng bukit di daerah Pariaman, Padang, di barat Sumatera. Jika disahkan ia meningkatkan angka kematian gempa bumi Rabu lalu kepada lebih 1,300 orang dengan 3,000 lagi masih hilang.
Gempa turut memusnahkan kawasan bukit Pariaman menyebabkan banjir lumpur, batu dan pokok tumbang di sekurang-kurangnya empat perkampungan.
Agensi menyelamat pula menyatakan, peluang menemui mangsa gempa yang terselamat di kalangan ribuan yang tertimbus dalam bangunan runtuh akibat gempa yang memusnahkan bandar di pantai barat Sumatera 'hampir kosong.'
"Pengesan degupan jantung menunjukkan tiada siapa masih hidup di bawah runtuhan bangunan tinggi di sini," kata Gagah Prakoso, jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia kelmarin, tiga hari selepas gempa melanda.
Ada 125 orang termasuk tetamu dan peserta dalam dua seminar tinggal di Hotel Ambacang dengan 140 bilik ketika ia musnah dalam gempa, kata Sarana Aji, pengurus besar hotel dalam temuramah di sini. Pasukan itu menemui 29 mayat dari hotel, katanya. Seorang mangsa diselamatkan pada 2 Oktober lalu.
Bau mayat reput amat kuat dekat kawasan yang pernah menjadi kolam renang di tingkat dua Ambacang.
Di PAPUA, satu gempa bumi dengan kekuatan 5.5 skala Richter menggegarkan bandar ini semalam, berpusat di timur negara itu, kira-kira 3,500 dari zon bencana gempa Sumatera Barat, kata pakar gempa.
Pakar gempa meletakkan kekuatannya 6.1 ketika melanda Papua Barat jam 12:36 pagi waktu tempatan pada kedalaman 39 kilometer. Ia berpusat 128 kilometer di barat laut ibu kota wilayah Manokwari, kata Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Ketua agensi teknikal geofizik Indonesia Suharjono berkata: "Gempa di Papua tidak ada kena mengena dengan Sumatera. Plet tektonik dalam insiden kedua-duanya berbeza."
Di TAIPEI, satu gempa bumi 6.3 skala Richter melanda timur Taiwan awal semalam tetapi belum ada laporan kerosakan dikemukakan.
Biro Cuaca Pusat Taiwan meletakkan gempa itu pada kekuatan 6.3 manakala USGS menetapkannya 6.1 pada skala Richter. �(Berita ini diambil dari Berita Harian Online - AP/AFP/Reuters, 5 Oktober 2009)
***************
Kaji beri lebih kuasa DBP martabat bahasa
LARUT 4 Okt. - Kerajaan sedia mengkaji untuk memberi lebih kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sedar ada pihak tertentu menuntut agar pihak terbabit memainkan peranan yang lebih besar dalam menjamin kedudukan dan masa depan bahasa kebangsaan itu.
''Ini (beri kuasa) kita akan mengkaji lagi, tetapi pastinya yang penting, Akta Bahasa Kebangsaan hendaklah dipinda dan usaha pindaan sudah dilakukan.
''Ia perlu dibawa ke Kabinet dulu sebelum Parlimen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Larut di sini hari ini.
Muhyiddin diminta mengulas pandangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini mengenai perlunya DBP diberi kuasa penguatkuasaan bagi memartabatkan bahasa Melayu.
Cadangan itu merupakan hasil Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru, baru-baru ini.
Menurut Awang Selamat, selagi DBP tidak mempunyai kuasa tersebut, agensi itu dilihat umpama 'harimau tidak bertaring.'
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, draf pindaan Akta Bahasa Kebangsaan tersebut telah pun siap dan diserahkan kepada Peguam Negara untuk disemak sebelum di bawa ke Kabinet.
''Sudah ada draf pindaan kepada Akta Bahasa Kebangsaan yang telah siap dan diserahkan kepada Peguam Negara tetapi belum dibawa ke Kabinet.
''Dalam perkara itu juga ada perakuan yang dibuat pada pindaan akta (untuk) memberi kuasa (kepada DBP), tetapi kita hendak tengok bagaimana perkara itu boleh dilaksanakan, masa yang sesuai walaupun tuntutan sekarang ini. Kalau ikut suara-suara tertentu, (mereka) minta kuasa lebih," katanya.
Mengulas mengenai pelajar Malaysia yang berhadapan dengan risiko bencana alam di negara seperti Indonesia, jelas Muhyiddin, kerajaan tidak bercadang menghentikan penajaan pelajar ke negara-negara berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan juga tidak menghalang ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka ke negara tersebut sekiranya mereka berminat berbuat begitu.
''Saya tak fikir ini jadi fenomena berpanjangan, sebab berlaku (gempa bumi) maka tak ada minat lagi hendak ke sana kerana peluang belajar ada di mana-mana.
''Itu langkah yang kurang bijak. Tetapi dalam situasi sekarang, tentulah yang penting kita nak membantu pelajar yang ditimpa musibah ini," jelasnya.
(Berita ini diambil dari Utusan Online, 5 Oktober 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment