Ancaman Bendera tidak libatkan tentera
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Ancaman kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang dikatakan mahu menyerang Malaysia tidak melibatkan permasalahan berkaitan ketenteraan antara Malaysia dan Indonesia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, oleh itu rakyat tidak perlu risau kerana perkara tersebut hanya melibatkan sekumpulan kecil rakyat Indonesia.
Katanya, ini disebabkan mereka terpengaruh dengan tindakan provokasi yang dimainkan oleh media negara tersebut di atas nama tiket liberalisasi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penganugerahan gelaran dan konvokesyen Pertubuhan Seni Silat Gerak Kilat Kebangsaan (PSSGKK) di sini malam ini.
Menurut Ahmad Zahid, perkara itu tidak menghalang negara daripada terus menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Padang.
Sebaliknya kata beliau, keprihatinan terhadap saudara serumpun ketika menghadapi musibah bencana alam perlu diberi perhatian dalam apa jua keadaan.
Ahmad Zahid memberitahu, rakyat negara ini tidak perlu memberikan reaksi negatif terhadap perkara tersebut.
Jelasnya, permasalahan yang timbul itu diharap tidak menjejaskan hubungan kerajaan, badan korporat, usahawan dan rakyat antara kedua-dua negara.
-----------------
Pelajar bakar dewan peperiksaan sekolah
|
|
JOHOR BAHRU 7 Okt. – Akibat tidak puas hati dengan pengurusan sekolah, terdapat pelajar yang sanggup membakar sebuah kelas yang dijadikan dewan peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Johor Jaya 2 di sini awal pagi ini.
Perbuatan pelajar itu bukan sahaja mencemarkan imej sekolah, malah menyusahkan pelajar yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), bermula hari ini.
Berikutan itu, seramai 75 pelajar tingkatan tiga sekolah tersebut terpaksa menduduki peperiksaan hari pertama mereka di bilik kuarantin Influenza A (H1N1) di sekolah itu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan kebakaran itu akibat perbuatan khianat.
Katanya, ini kerana siasatan pihaknya mengesan bau bahan bakar yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Kami akan dapatkan bantuan forensik untuk menyiasat perkara ini. Polis bagaimanapun belum dapat mengesahkan berapa ramai pelajar yang terlibat dalam perbuatan khianat itu,” katanya di sini hari ini.
Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran berkata, kebakaran kira-kira pukul 6 pagi itu melibatkan sebahagian kecil dewan tersebut termasuk peralatan pembelajaran.
Menurutnya, kejadian hanya disedari seorang pengawas peperiksaan yang datang ke sekolah pukul 6.25 pagi dan ketika itu api sudah hampir padam.
“Kami percaya kejadian ini perbuatan khianat segelintir pelajar yang tidak berpuas hati dengan pengurusan sekolah. Malah, guru tersebut ternampak kelibat seseorang melarikan diri dari tempat kejadian.
“Perkara ini sudah dilaporkan kepada pihak polis dan kerugian dianggarkan berjumlah sekitar RM20,000,” katanya selepas meninjau kesan kebakaran di sekolah itu hari ini.
Markom berkata, perbuatan seperti itu jelas menyalahi undang-undang dan ia tidak sepatutnya berlaku.
“Ini merupakan kejadian kedua di sekolah ini selepas yang pertama dua tahun lepas,” katanya.
Beliau turut menasihati pelajar supaya tidak sesekali melakukan perbuatan provokatif seperti itu kerana ia merupakan tindakan salah di sisi undang-undang selain menyusahkan orang ramai.
Sementara itu, menurut Markom, seramai 58,185 pelajar menduduki PMR di 473 pusat peperiksaan di seluruh negeri ini mulai hari ini.
Beliau berkata, setiap pelajar diambil suhu badan mereka sebelum dibenarkan menduduki peperiksaan dan turut dibekalkan dengan penutup hidung dan mulut.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 8 Oktober 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment