MB SELANGOR

Pemilik Dewan Komuniti enggan kongsi kemudahan disarab beli tapak premis

SHAH ALAM- Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan pemilik bangunan Dewan Komuniti yang enggan berkongsi kemudahan itu dengan pihak lain supaya membeli tapak premis itu daripada kerajaan negeri untuk dijadikan sebagai harta persendirian.

Beliau berkata walaupun pihak terbabit mendakwa mempunyai hak ke atas dewan terbabit, tetapi mereka seharusnya sedar bahawa premis itu terletak di atas tanah milik kerajaan negeri dan patut benarkan orang lain gunakan kemudahan itu.

"Kita hormati sumbangan mereka (bina dan selenggara dewan) cuma pada masa yang sama mereka seharusnya benarkan orang lain gunakan dewan itu juga.

"Jika mereka masih juga enggan benarkan pihak lain gunakan dewan itu, cadangan kita senang sahaja iaitu mereka beli tanah itu ikut harga pasaran dan mereka boleh jadikan dewan itu sebagai harta persendirian," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kongres Pertama Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara 2009 di sini hari ini.

Wang daripada penjualan tapak itu boleh digunakan untuk membina dewan komuniti yang lain untuk kemudahan penduduk setempat, katanya mengulas tindakan pihak tertentu yang masih enggan berkongsi dewan komuniti dengan pihak lain kerana mendakwa premis itu dibina menggunakan peruntukan mereka sendiri

Katanya kemudahan awam seharusnya digunakan oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik masing-masing dan bukannya untuk kegunaan persendirian.

"Kerajaan negeri sudah maklumkan kepada mereka mengenai konsep penggunaan dewan komuniti tetapi ada orang tak nak dengar, mereka ingat kita datang nak ambil alih semua...seperti di Ampang Jaya, ada lebih 300 dewan orang ramai di mana isu 290 dewan dah selesai tetapi 10 lagi tidak selesai," katanya.

Beliau berkata sekiranya pihak terbabit enggan menerima cadangan pembelian tanah itu, kerajaan negeri akan memanggil mereka berbincang bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

(Berita ini diambil dari Sinar Harian online -BERNAM, 11 Julai 2009)

No response to “MB SELANGOR”

Post a Comment