Polisi liberalisasi diperkemas
KUALA LUMPUR 6 Julai - Kerajaan sedang mengemaskini polisi-polisi berkaitan liberalisasi khususnya selepas pengumuman yang dilakukan baru-baru ini.
Ia bagi menjadikan negara lebih kompetitif dan berada di kedudukan baik selepas pulih daripada krisis ekonomi global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, buat masa ini, kerajaan tidak akan mengumumkan sebarang liberalisasi tambahan.
"Kita sedang memperkemaskan kedudukan kita untuk menjadi lebih kukuh sebagaimana yang diinginkan selain menempatkan kedudukan di dalam persekitaran ekonomi global bagi memastikan kedudukan baik selepas pemulihan dari krisis ekonomi global," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah Menara Pejabat 50 tingkat Kumpulan Syarikat Naza di sini hari ini.
Najib berkata, kerajaan akan sentiasa memantau perkembangan liberalisasi yang diumumkan sebelum ini dan apa yang lebih penting adalah membina kekuatan negara.
Selain itu katanya, kerajaan turut memberi perhatian terhadap keperluan dan kehendak rakyat.
(Berita ini dari Utusan Online, 7 Julai 2009)
*** ***
Tak apa kalau Najib tidak mahu jumpa: Nik Aziz
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akur dengan keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menolak pelawaannya untuk mengadakan pertemuan dan debat secara terbuka antara Pas-UMNO.
Menteri Besar Kelantan berkata, terpulang kepada Najib sama ada ingin menerima atau tidak pelawaannya kerana bagi beliau, tugasnya untuk mengajak seseorang mencari jalan kebenaran atau pendakwah dianggap sudah selesai.
“Tugas saya sebagai seorang pendakwah ada tiga cara; pertama: ajak manusia dengan cara bil-hikmah (kebijaksanaan), macam saya mentadbir sesebuah negeri mengikut cara Islam; kedua dengan nasihat, melalui ceramah, usrah, kuliyah, siaran internet dan yang terakhir ialah secara mujadalah (debat). Kalau tak mahu tak apa, selesai dah kerja saya," katanya kepada Bernama di pejabatnya di Kota Darul Naim.
Semalam ketika diminta mengulas hasrat Nik Abdul Aziz untuk bertemu beliau bagi membincangkan mengenai perdebatan yang dicadangkan antara kedua-dua mereka,Najib berkata: “Saya dah kata, debat tidak ada gunanya dan semua orang pun kata demikian”.
“Kalau nak bertemu, jangan kutuk dulu, ini tidak timbulkan suasana kondusif untuk kita bertemu,” kata Perdana Menteri.
Nik Abdul Aziz telah mencabar Najib untuk berdebat secara terbuka ekoran tindakan Pemuda Umno Kelantan, membuat laporan polis terhadap beliau kerana menyamakan UMNO dengan komunis dan ajaran sesat.
Beberapa pemimpin UMNO tidak bersetuju dengan debat itu dan menyifatkannya sebagai membuang masa kerana ia tidak akan membawa sebarang manfaat.
Nik Abdul Aziz berkata, beliau masih beranggapan baik kepada Perdana Menteri yang belum menghantar surat jawapan rasmi menolak tawaran itu.
“Setakat ini, beliau (Najib) belum menjawab lagi melalui surat rasmi, saya buat sangkaan baik, mungkin dia (Najib) tak sempat nak hantar lagi,” katanya.
(Berita ini diambil dari Sinar Harian Online - BERNAMA, 7 Julai 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment