BERITA

Ahli, penyokong PAS diminta puasa sunat, solat hajat, 12 Julai
Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli, penyokong parti serta mereka yang bersimpati dengan perjuangan Islam agar melakukan puasa sunat pada hari Ahad, 19 Rejab bersamaan 12 Julai nanti.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali, dalam satu kenyataannya kepada Harakah, berkata puasa sunat bersempena pilihan raya kecil Manek Urai yang bakal berlangsung pada 14 Julai ini.

Beliau berkata, sehubungan itu, pada sebelah malamnya diminta semua ahli PAS solat hajat dan bermunajat untuk memohon kepada Allah agar diberikan kemenangan yang cemerlang kepada calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah dalam pilihan raya kecil tersebut.

"Semua ahli PAS diminta melaksana arahan daripada Mursyidul Am dan Presiden itu.

"Kerjasama dan komitmen semua pihak bagi memastikan kejayaan PAS dalam pilihan raya kecil itu didahului dengan ucapan Jazakallahu Khairan Khathira," ujarnya.

------------------------------------------------------------------------------

SAMAD SAID: BAHASA INGGERIS DAPAT RM5 BILION, BAHASA MELAYU DAPAT APA?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Julai - Sasterawan Negara Dato' A Samad Said berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan sewajarnya untuk memartabatkan bahasa Melayu di sekolah-sekolah sebagaimana yang diberikan untuk pengukuhan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Menurut Bernama, beliau berkata sekiranya kerajaan seperti yang dilaporkan memperuntukkan hampir RM5 bilion bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah, ia seharusnya boleh dilakukan terhadap bahasa Melayu.

"Saya ingin tahu juga, untuk memartabatkan bahasa Melayu berapa jumlahnya," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran buku antologi sajak bertajuk "Mengabdi, Melestari" sempena ulang tahun ke-30 Permodalan Nasional Berhad (PNB), di sini Jumaat.

Peruntukan RM5 bilion itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Dr Puad Zarkashi di Dewan Negara semalam.

Sementara itu A Samad Said yang juga Penasihat Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), menyifatkan pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai PPSMI sebagai bukan pemansuhan PPSMI, tetapi menangguhkan pemansuhan.

"Cuma yang saya tidak setuju, ia (pemansuhan PPSMI) bukan sekarang, bukan tahun depan tetapi ia 2012," katanya.

Bagaimanapun, katanya beliau memahami bahawa pemansuhan itu tidak dapat dilakukan serta merta dan kesediaan kerajaan memenuhi tuntutan rakyat itu sudah cukup baik. _

(Berita ini diambil dari Harakah /Daily, 11 Julai 2009)

-----------------------------------------------------------------------------


Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah kerana culik

LEDANG - Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret terhadap tuduhan menculik seorang wanita dengan tuntutan wang tebusan RM1 juta, hujung bulan lalu.


Al Hadi Tukiman, 35; Norizal Md Ali, 27; Chew Ern Tik, 39; Muhamad Taharil Abd Jalil, 19; dan Woon Soon Teck, 23, didakwa menahan Tay Kian Ei, 55, yang berasal dari Taman Desa KSM, Serom 4, di jalan bertanah merah, Jalan Dagang, Sungai Belemang, Sungai Mati, di sini, pada pukul 6 petang, 22 Jun lepas bagi mendapatkan wang tebusan.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh, yang berasal dari daerah ini, memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu dan Mandarin. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Safiah Abdul Aziz dan hanya Woon diwakili peguam bela, Mohd Haijan Omar.

Majistret Lydiana Mansur, kemudian menetapkan 28 September ini sebagai tarikh sebutan kes, sementara menunggu laporan nombor siri wang tebusan bagi melengkapkan siasatan pegawai penyiasat.


Sebelum itu, dalam mahkamah yang sama, Norizal dan Muhamad Taharil mengaku tidak bersalah atas tuduhan penyalahgunaan dadah.

Mengikut pertuduhan, ujian air kencing mereka didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol, di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah
Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, pada pukul 1 tengah hari, 29 Jun lalu.


Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Lydiana menetapkan pada 28 September untuk sebutan semula kes dadah itu.(Berita ini dari Sinar harian - BERNAMA,11 Julai 2009).

*** ***


Kokain RM500,000 dalam perut
Oleh Petah Wazzan Iskandar
wazzan@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Sebanyak 165 ketulan dadah jenis kokain dikeluarkan daripada perut dua wanita Thailand yang disyaki menjadi kurier sindiket dadah antarabangsa selepas ditahan di Hentian Puduraya, Jumaat dan Selasa lalu.

Kedua-dua mereka berusia 25 dan 37 tahun yang menunggu bas ke Thailand dipercayai baru tiba di negara ini dari Amerika Selatan dan melepasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menelan dadah itu.

Dianggarkan semua dadah yang ditelan bernilai RM500,000 manakala upah untuk menjadi kurier hanya RM5,000 seorang.

Ketua Cawangan Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata penahanan mereka adalah hasil perkongsian maklumat polis Malaysia dan Thailand.

“Pemeriksaan tubuh yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek tidak menemui sebarang dadah. Bagaimanapun, dalam pemeriksaan X-ray terhadap suspek pertama yang ditahan Jumaat lalu, polis menemui ketulan kokain yang dibalut dengan tiga lapisan getah di dalam perut dan ususnya.

“Suspek kemudian ditahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama tujuh hari untuk membolehkannya mengeluarkan dadah itu dengan cara membuang air besar. Polis menemui 98 ketulan dadah seberat lebih satu kilo-gram.

“Suspek kedua yang ditahan Selasa lalu turut dibawa ke HKL dan pemeriksaan X-ray menemui sejumlah dadah dalam perutnya. Sehingga semalam, 67 ketulan dadah seberat 878 gram kokain berjaya dikeluarkan daripada tubuhnya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kang berkata, suspek pertama kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, manakala suspek kedua masih di HKL bagi membolehkan proses mengeluarkan baki ketulan dadah dari tubuhnya. Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama seminggu.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati kedua-dua wanita itu menjadi kurier sindiket didalangi warga Afrika yang menjadikan Malaysia sebagai transit kegiatan mereka.

“Walaupun kedua-dua suspek menggunakan modus operandi sama, kami sedang menyiasat sama ada mereka bekerja untuk sindiket sama.

“Siasatan juga mendapati suspek menggunakan penerbangan negara ini untuk ke Amerika Selatan kerana tambangnya lebih murah dan perjalanan ke Thailand menggunakan bas ekspres,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kang berkata, sepasang warga tempatan ditahan selepas polis yang menyerbu rumah mereka di Jalan Sungai Besi dekat sini, dan menemui 432.64 gram ketamin, 1,300 biji pil eramin 5 dan 605 pil ecstasy.

“Siasatan awal mendapati suspek beroperasi sejak enam bulan lalu dan mensasarkan pusat hiburan di sekitar ibu negara untuk pasaran,” katanya.

(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 11 Julai 2009)


++++++++++++++++++++++++++++


Hadiah mesra rakyat

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 10 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membuat beberapa pengumuman penting pada satu majlis di ibu negara esok sempena 100 hari pentadbiran beliau selaku Perdana Menteri.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia hari ini, pengumuman yang berupa 'hadiah untuk rakyat' itu dikatakan berkaitan isu-isu secara langsung menyentuh kepentingan orang ramai seperti soal tol, perumahan dan kewarganegaraan.

Dijangkakan 3,000 orang dari segenap lapisan rakyat dan etnik termasuk nelayan, petani, pemimpin kesatuan, pelajar sehinggalah penjawat awam dan korporat akan memenuhi Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dalam program bertema 100 hari Najib bersama rakyat tersebut.

''Dijangka beberapa khabar gembira untuk rakyat akan diumumkan dalam program yang akan berjalan secara santai dengan hadirin berpakaian biasa menunjukkan Perdana Menteri memang dekat dengan rakyat.

''Tunggulah bentuk mekanisme daripada pengumuman yang akan dibuat Perdana Menteri nanti," kata sumber itu lagi di sini.

Najib yang mengambil alih kepimpinan kerajaan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April lalu akan genap 100 hari mentadbir negara esok.

Memperkenalkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Perdana Menteri sepanjang 100 hari pentadbiran beliau antaranya telah mengarahkan satu kajian menyeluruh dilakukan bagi menangani isu kenaikan tol yang membebankan rakyat.

Dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat diteruskan, beliau turut mengarahkan supaya langkah-langkah segera diambil untuk mengatasi kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur selain mengarahkan projek Plaza Rakyat yang terbengkalai sejak beberapa tahun lalu disiapkan segera.

Dalam aspek perjuangan hak asasi manusia, Najib turut mengumumkan akan mengkaji Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menimbulkan kritikan sesetengah pihak.

Menurut sumber itu, beberapa pengumuman yang berkait rapat dengan kepentingan rakyat dijangka dibuat secara berperingkat menjelang dan semasa pembentangan Bajet 2010 Oktober ini.

Dalam usaha memastikan kesejahteraan rakyat diteruskan, beliau turut mengarahkan supaya langkah-langkah segera diambil untuk mengatasi kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur selain mengarahkan projek Plaza Rakyat yang terbengkalai sejak beberapa tahun lalu disiapkan segera.

Dalam aspek perjuangan hak asasi manusia, Najib turut mengumumkan akan mengkaji Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menimbulkan kritikan sesetengah pihak.

Menurut sumber itu, beberapa pengumuman yang berkait rapat dengan kepentingan rakyat dijangka dibuat secara berperingkat menjelang dan semasa pembentangan Bajet 2010 Oktober ini.

(Berita ini diambil dari Utusan Online, 11 Julai 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment