Zulkifli Sulong | |||||||||||
TELOK KEMANG, 6 Sept: PAS yakin, jika calonnya berjaya mengalahkan calon Umno dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang dekat sini, Umno akan jatuh pra matang atau sebelum masa ia akan jatuh sebagaimana yang sepatutnya.
Sekurang-kurangnya inilah pandangan AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa. Ini kerana, jika Umno kalah di kawasan yang dimenanginya dengan majoriti lebih 2,000 undi ini bermakna Umno benar-benar ditolak rakyat. Husam menyertai para pemimpin kanan PAS Negeri Sembilan menziarahi jenazah Allahyarham Azman Mohd Nor, Adun Bagan Pinang yang meninggal Jumaat lepas. Antaranya Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefli Mohd Omar dan Yang Dipertua PAS Kawasan Telok Kemang yang juga calon PAS dalam pilihan raya umum 2008 lalu, Ramli Ismai. Husam bergegas dari Kuala Lumpur hanya berbuka di atas kereta sebelum terus ke tanah perkuburan Islam Bagan Pinang. Ketika beliau dan rombongannya sampai kira-kira jam 7.50 malam, jenazah Azman belum sampai lagi. Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan anaknya, Mohd Najib tiba selepas itu iaitu sejurus sebelum kereta jenazah tiba. Isa adalah Ketua Cawangan Umno di situ di samping Ketua Umno Bahagian itu. (Gambar: Isa datang bersama anaknya, Mohd Najib (kanan sekali) ke tanah perkuburan Azman. Berita angin Isa sedang lobi agar anaknya itu menjadi calon tersebar luas). Dalam pilihan raya umum lalu, calon PAS kalah kepada Azman dengan 2,333 undi. Faktor utama kemenangan calon BN adalah kehadiran kira-kira 5,000 pengundi pos Tentera Darat di kawasan yang mempunyai kira-kira 14,000 pengundi itu. Mereka adalah dari Pusasda Kem Si Rusa (1,903 undi), 2 KAD Kem Sunggala (1,130 undi), IJED Kem Kg Sawah (847 undi), IPDA Port Dickson (407 undi), 1 Kompeni KPD Kem Si Rusa (265 undi), 1 WKSP Bgd Kem Sg Sawah (165 undi), Sekolah Pertukangan Perintis (105 undi) dan ILMI Port Dickson (103 undi). Dalam pilihan raya 2008, Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi berdaftar di mana 66 peratus darinya Melayu, 10.5 peratus Cina, 19.9 India dan 3.5 peratus bangsa-bangsa lain. Jika Pakatan Rakyat mengekalkan persefahamannya, calon PAS akan diletakkan dalam pilihan raya kecil ini bagi mewakili mereka. Bagaimana, Ketua Angkatan Muda PKR Telok Kemang dalam kenyataannya menuntut agar kerusi itu ditandingi oleh PKR. Bagan Pinang mempunyai sembilan daerah mengundi iaitu empat majoriti India, empat kawasan Melayu dan campuran Cina serta undi pos. Dalam pilihan raya lalu, PAS hanya menang di tiga daerah mengundi iaitu Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong. Ketiga-tiga kawasan itu adalah majoriti pengundi India. PAS kalah paling teruk undi undi pos. Dari 5, 191 kertas undi yang dikeluarkan, PAS hanya mendapat 1,189 undi manakala calon BN 3,080 undi. PAS paling banyak menang di Ladang Aterton di mana calon PAS menang dengan majoriti 84 undi. Berdasarkan rekod pilihan raya kecil sebelum ini, PAS dijangka akan meningkatkan undinya di kalangan orang India. Tambahan lagi dengan apa yang berlaku di Selangor baru-baru ini apabila sekumpulan penyokong Umno mengarakkan kepala lembu berdarah ke Pejabat MB Selangor. Namun kebimbangan terhadap undi pos menjadi mimpi ngeri bagi PAS. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri membangkitkan perkara ini. "Kami meragui undi pos kerana kami tahu undi pos seperti askar dan polis tidak diberikan kebebasan dalam mengundi. "Inilah sebabnya kenapa undi pos sentiasa dianggap undi yang kotor," kata beliau ketika ditemui semasa pertemuan dengan pemimpin PAS Perak di Ipoh. Bagaimanapun sebagaimana kata Husam, adalah tidak mustahil untuk PAS menang dalam pilihan raya kecil ini dan jika PAS menang bererti nyawa Umno benar-benar di hujung tanduk. ---------------- PAS tetap ragui undi pos
Ibu tunggal, warga tua terharu dikunjungi NajibKUANTAN: Warga tua dan ibu tunggal di beberapa kampung di daerah ini dan Pekan yang menerima kunjungan Datuk Seri Najib Razak hari ini berasa terharu dengan kesudian pemimpin nombor satu negara menziarahi mereka selain menghulurkan bantuan peribadi. "Saya berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan, sumbangan ini amat bermakna kepada saya dan keluarga menjelangnya Syawal nanti," kata ibu kepada lima anak yang baru kehilangan suaminya yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada April lalu. Ketika ditemui pemberita, Zulaikha yang tinggal di Kampung Padang Jaya 1, dekat sini berkata sekalipun hidup susah, dia bukanlah bersikap meminta-minta, namun bantuan yang diberikan Perdana Menteri berupa sumbangan wang tunai dan makanan itu amat menyentuh perasaannya. Zainab Abdullah, 55, pula berkata kunjungan Perdana Menteri ke rumahnya di Kampung Seri Damai agak mengejutkan mereka sekeluarga. "Sumbangan dan bantuan Perdana Menteri yang diberikan ini dapat juga kami sekeluarga menyiapkan persiapan menjelang hari raya nanti," katanya yang ternyata begitu terharu menerima kunjungan Perdana Menteri. "Bantuan ini juga dapat memberi sedikit kelegaan kepada keluarga saya lebih-lebih lagi dalam bulan puasa ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bentan, Pekan. (Berita ini diambil dari Berita Harian Daily- Bernama, 7 Ogos 2009) ***** ***** Ekonomi negara lebih baik 2010 – TPM
KUALA LUMPUR 6 Sept. – Pencapaian ekonomi negara tahun depan dijangka lebih baik berikutan pelbagai inisiatif kerajaan termasuk pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion yang disalurkan sebelum ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai agenda penting untuk memastikan dalam tempoh yang tidak terlalu lama, negara keluar daripada situasi ekonomi yang kita lihat hari ini, kepada situasi yang lebih baik. ‘‘Insya-Allah mungkin pada 2010, kita akan keluar dari situasi ini. ‘‘Kita akan meningkatkan soal ekonomi, kemiskinan di kalangan rakyat, menangani kumpulan termiskin yang masih ada di sisi kita dan usaha meningkatkan pendapatan rakyat,’’ katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Hari Raya Anak-Anak Yatim anjuran Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini. Hadiri sama isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abdin dan kepimpinan UMNO Wilayah Persekutuan. Pada masa yang sama, Muhyiddin menyeru segenap lapisan masyarakat mempertahankan keselamatan dan keamanan negara kerana ia kunci utama yang membantu kerajaan merangka strateginya. Tegasnya, ia perlu diberi perhatian serius lebih-lebih lagi sewaktu negara berdepan kemelut ekonomi global. Tambah beliau, Malaysia bernasib baik kerana keamanan membolehkan kerajaan memberi tumpuan, masa, tenaga dan perancangan rapi untuk menangani isu yang ada hubung kait dengan masalah kehidupan rakyat. Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut menyerahkan sumbangan kepada anak-anak yatim dari lima rumah kebajikan di sekitar Lembang Klang. Beliau kemudian menunaikan solat maghrib, bertahlil dan menunaikan solat isyak dan solat sunat tarawih bersama tetamu jemputan. Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, pelbagai inisiatif dan peruntukan yang disediakan kerajaan untuk membantu umat Islam tidak akan berkesan jika tiada penglibatan rakyat khususnya yang beragama Islam. Katanya, walaupun telah banyak usaha dilakukan untuk membantu masyarakat Islam supaya setanding dengan bukan Islam, masih terdapat kekurangan dan kelemahan yang perlu diatasi. ‘‘Dalam tempoh getir ini, apabila berdepan kemelesetan ekonomi, kita mengatur rancangan menyelesaikan masalah ekonomi dan kita mahu umat Islam bersatu dan bersama-sama kerajaan mengambil inisiatif memperbaiki diri,’’ katanya. (Berita aini diambil dari Utusan Online, 7 Ogos 200)
_ |
BERITA
at
11:27
Sunday, 6 September 2009
Kalah di Bagan Pinang bererti habislah riwayat Umno
No response to “BERITA”
Post a Comment