Gelaran Datuk ekspres
KUALA LUMPUR 22 Sept. – Jabatan Peguam Negara diminta memutuskan sama ada ‘pembelian’ gelaran seperti Datuk dari luar negara atau ijazah doktor falsafah (PhD) ‘secara ekspres’ merupakan perbuatan jenayah atau sebaliknya.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kegiatan membeli gelaran sosial semakin serius dan jika tidak ditangani, akan melahirkan satu generasi ‘ilmuwan palsu’.
Menurutnya, agensi kerajaan yang berkenaan perlu menilai dan merumuskan juga kaedah untuk menghalang perbuatan membeli gelaran sosial yang semakin menjadi-jadi.
Beliau memberitahu, pihak-pihak yang menggunakan gelaran palsu berkenaan harus disiasat dengan segera kerana mereka boleh ditafsir melakukan satu bentuk penipuan kepada masyarakat.
Tambahnya, perbuatan membeli gelaran sosial di negara ini sudah di tahap yang agak keterlaluan dan menjadikan budaya menipu di tahap paling tinggi serta memudaratkan masyarakat.
“Ada pemimpin muda memiliki ijazah PhD belian dan tidak diiktiraf, ini sangat serius, saya cadangkan mereka disiasat, perbuatan ini disifatkan menipu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Malah, Rais berkata, sesetengah ahli masyarakat yang berstatus pemimpin juga dikesan membeli ‘PhD ekspres’.
Katanya, selain PhD, gelaran sosial lain seperti Datuk dan Datuk Seri boleh dibeli dari luar dengan mudah.
“Cuma Tan Sri yang belum ‘dikilangkan’ lagi,” katanya.
Kata beliau, budaya membeli gelaran sosial sudah berlarutan hampir satu dekad dan pembelian dari luar adalah lanjutan daripada sikap menjual gelaran yang sama di dalam negara.
“Semasa di Jabatan Perdana Menteri dahulu saya pernah tegur beberapa negeri, apabila dikaitkan dengan kuasa-kuasa luar Malaysia, ini adalah lanjutan kepada amalan terdahulu,” katanya.
Jelasnya, ada individu yang boleh menjadi Datuk secara tiba-tiba atau umpama dalam sekelip mata.
“Dahulu gelaran istana diberikan kepada yang berjasa kepada raja dan negara, sekarang nilai-nilai itu sudah berubah menjadi nilai buruk, gelaran-gelaran penting menjadi bahan dagangan,” katanya.
Kata beliau, seorang yang membawa gelaran Dr. dalam namanya melalui Phd sepatutnya seorang yang berilmu dan membuat pencapaian tinggi.
“Kecuali undang-undang berkaitan menyamar dapat digunakan, maka perkara ini (pembelian gelaran sosial) memerlukan satu pendekatan drastik untuk ditangani,” katanya.
Pilih calon bersih di Bagan Pinang jika mahu menang besar - Tun Mahathir
|
|
SEREMBAN 22 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan UMNO perlu memilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
Beliau berkata, UMNO boleh mendapat majoriti besar pada pilihan raya kecil DUN tersebut yang merupakan kubu kuat parti jika memilih calon yang benar-benar bersih.
Beliau berkata, jika calon tidak bersih diketengahkan dalam pilihan raya tersebut, UMNO mungkin menang di Bagan Pinang tetapi akan kalah di tempat lain.
"Faktor calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah menjadi sangat penting di Bagan Pinang malah pada pilihan raya umum akan datang.
"Bagi saya, bukan sekadar tempat ini sahaja. Soal seluruh Malaysia, orang nak tahu sama ada kita serius atau pun tidak untuk membasmi gejala politik wang, rasuah dan sebagainya,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Rantau, dekat sini hari ini.
Dr. Mahathir turut khuatir jika trend pemilihan calon yang tidak bersih diteruskan, parti itu akan kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
"Saya tak fikir tentang individu, saya kenal semua orang dan saya tak peduli dengan siapa pun tapi saya fikir cuma untuk parti sahaja," tegasnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Oktober sementara pengundian 11 Oktober.
Dr. Mahathir berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah untuk menang dalam pilihan raya kecil berkenaan kerana ia merupakan kubu UMNO.
"Yang kita kalah sebelum ini pun semua di kawasan pembangkang," ujar beliau.
Beliau juga berkata, sokongan kaum Cina dan India masih belum cukup untuk membantu BN memenangi pilihan raya berkenaan.
Kata beliau, faktor itu berpunca daripada pemimpin parti komponen yang masih berhadapan dengan masalah sendiri.
"Saya nampak belum ada perubahan yang boleh dilihat atau mungkin saya belum nampak. Masing-masing masih memikirkan masalah kaum sendiri.
"MIC masih mempunyai masalah dalaman dan saya tidak tahu sama ada mereka boleh menumpukan perhatian dalam berkempen untuk membantu BN," jelas beliau.
Jelas beliau, sekiranya semua pemimpin parti mengutamakan parti dan bukannya diri sendiri, sudah pasti semua masalah dapat diselesaikan.
(Dua berita inji dari Utusan Online, 23 September 2009)‘Keluar MCA jika resolusi ditolak’
Oleh Junita Mat Rasid dan Hassan Omar
bhnews@bharian.com.my
TANGKAK: Timbalan Presiden MCA yang digantung jawatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendakwa ramai perwakilan, pemimpin dan ahli parti itu akan meletak jawatan, malah mungkin bertindak keluar parti jika resolusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti 10 Oktober ini tidak berpihak kepadanya.
Katanya, kesimpulan itu dicapai hasil pertemuannya dengan perwakilan dan pemimpin MCA di seluruh negara menjelang EGM.
“Memang ada ura-ura mengatakan daripada perwakilan dan pemimpin MCA peringkat akar umbi bahawa jika resolusi EGM itu tidak diluluskan, maka sebahagian ahli MCA akan meletak jawatan.
Antara usul dicadangkan penyokong Dr Chua untuk EGM itu ialah ahli parti tidak mempunyai keyakinan terhadap kepemimpinan Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai presiden; membatalkan keputusan majlis presiden 26 Ogos lalu yang menerima cadangan lembaga disiplin dan keputusan jawatankuasa pusat untuk memecat atau menggantung Dr Chua; Dr Chua dikembalikan jawatannya sebagai Timbalan Presiden MCA dan pelantikan yang dibuat oleh jawatankuasa pusat termasuk membabitkan Timbalan Presiden MCA, dibatalkan.
Dr Chua berkata, tindakan ahli MCA mahu keluar parti bukan kerana terlalu taksub dengannya, sebaliknya kerana mereka kecewa dengan kepemimpinan hari ini yang tiada wawasan, tiada tindakan positif dan tidak konsisten.
“Bagaimanapun, ramai ahli yang sudah berputus asa kerana setahun ini presiden (Ong) tidak dapat menunjukkan kepemimpinan beliau dan tiada hala tuju yang jelas sehingga dalaman parti berpecah-belah.
“Saya berharap EGM ini sedikit sebanyak akan menyelesaikan masalah dalaman parti,” katanya.
Dr Chua berkata, sebelum tarikh EGM itu, beliau akan berusaha sedaya upaya untuk berjumpa sebanyak mungkin perwakilan.
Sementara itu, di KOTA KINABALU, Ong berkata, beliau bersedia menerima keputusan EGM, walaupun menyedari satu daripada lima resolusi bakal dibincangkan adalah yang berkaitan kedudukannya sebagai Presiden MCA.
“Memang itulah niat kita (menyelesaikan kemelut dalam parti). Itu sebab kita mahu menjayakannya, termasuk memuatkan semua usul yang dicadangkan Dr Chua Soi Lek,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, semalam.
Ong yang enggan mengulas lanjut, hadir di sini untuk mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin MCA Sabah di sebuah restoran.
Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak Ahad lalu yang mahu EGM MCA menjadi penyelesai mutlak kemelut dalaman parti itu.
-------------------
Sentral: Warga asing 'tawan' KL
Oleh Siti Haliza Yusop
WARGA asing memenuhi Jalan Silang untuk berjumpa sahabat handai dan sanak saudara yang berada di Malaysia. |
KUALA LUMPUR: Pada hari raya pertama dan kedua ibu kota seolah-olah sudah bertukar rupa dan boleh digelar 'mini Jakarta' atau 'mini Dhaka' apabila beratus ribu warga asing khususnya dari Indonesia dan Bangladesh 'menawan' beberapa kawasan tumpuan seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Taman KLCC, Pasar Seni dan Jalan Silang.
Selain berkumpul dan bertemu rakan senegara dari tempat atau negeri lain, tinjauan Sentral juga mendapati, kumpulan warga asing ini yang kebanyakannya bergerak secara berkumpulan turut mengambil kesempatan membeli-belah, manakala sebahagian besar yang lain hanya berpeleseran tanpa haluan.
Selain warga Indonesia dan Bangladesh, turut berkumpul dan melepaskan rindu dapat berjumpa rakan senegara ialah warga Myanmar, Nepal, India, Pakistan.
Kakitangan swasta, Nor Aisah Mohd Yunus, 29, mengakui jumlah warga asing yang ramai ini menyebabkan beliau dan ibunya kurang selesa ketika keluar membeli barang keperluan di sekitar ibu kota, kelmarin.
"Sebelum ke Jalan TAR, saya dan ibu ke Mydin Kota Raya. Tempat itu sesak dengan warga asing dan ia membuatkan kami berasa kurang selamat. Berjalan pun terpaksa berhati-hati. Di mana-mana saja mereka berkumpul.
"Saya berharap polis dapat melakukan pemantauan lebih kerap di kawasan tumpuan warga asing . Walaupun kehadiran mereka memang sering dilihat walaupun pada hari biasa, tapi ketika Aidilfitri, jumlahnya meningkat mendadak," katanya.
Pengunjung, Azhar Abu Latif, 29, yang berasal dari Perak dan memilih menyambut Aidilfitri di rumah keluarga mentuanya di Taman Kosas, Ampang bersama isteri dan tiga anak mereka mengakui terkejut melihat keadaan ibu kota yang dipenuhi warga asing.
"Seronok juga sekali-sekala apabila mengambil peluang beraya di Kuala Lumpur. Orang tak ramai, jalan juga kurang sesak berikutan kebanyakannya mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman masing-masing. Tapi yang menjadi masalahnya pula ialah kehadiran warga asing yang terlalu ramai.
"Bila jadi begini, kita pun rasa kurang selesa membawa anak kecil keluar. Bila berjalan dan melihat kehadiran mereka yang ramai, ada juga rasa macam kita pula yang menetap di negara mereka." katanya.
(Berita ini dari Berita Harian Online, 23 September 2009)
***** ******
Ambil peluang ziarah Hari Raya untuk 'kempen'
Azamin Amin Wed | Sep 23, 09 | 12:25:05 am MYT | |
SEREMBAN, 23 Sept: Ziarah Aidilfitri kali ini digunakan sebaiknya untuk 'berkempen' secara tidak langsung sekaligus memperkenalkan perjuangan Pakatan Rakyat kepada para pengundi yang akan melaksanakan tanggungajawab dan hak mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bagan Pinang, 11 Oktober ini. Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Omar berkata sungguhpun, nama calon diumumkan pada 29 September ini, namun gerak kerja penerangan dan 'kempen' tidak rasmi telah pun dimulakan kepada para pendokong Pakatan Rakyat dan penduduk setempat. "Rumah terbuka PAS dan ahli-ahli, kita gunakan platform itu untuk memperkenalkan PAS dan Pakatan Rakyat kepada umum tentang perjuangan menuntut keadilan dan membela nasib rakyat, "Ini Anugerah Allah beri kepada kita untuk membuat perubahan, oleh itu janganlah kita sia-siakan. "Ini sebagai kayu ukur untuk melihat momentum rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang khas di Negeri ini, " ketika dihubungi Harakahdaily. Sambil mengucapkan Salam Adifitri dan memohon maaf zahir batin kepada warga Negeri Sembilan khas di Bagan Pinang, Zulkifli mahu rakyat membuat pilihan yang tepat dan memilih keadilan Islam sebagai satu dasar perjuangan jelas. "Diharapkan kemenangan Syawal akan turut dipanjangkan kepada kemenangan di Bagan Pinang kelak," katanya yang turut menyatakan hanya calon bersih, berwibawa dan diterima rakyat akan diketengahkan untuk bertanding nanti. Sementara itu berhubung isu undi pos pula, beliau mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan 'polling' agent atau wakil parti masing-masing untuk berada sewaktu proses undian di buat di kem-kem terbabit. Ini termasuk, mengira kertas undi pada hari yang sama kerana dibimbangi, akan berlaku manipulasi sekiranya ianya disimpan beberapa hari sebelum hari pengundian sebenar pada 11 Oktober itu. Zulkifli berkata PAS mahu SPR turut membenarkan calonnya termasuk parti lawan diperkenalkan di kem-kem tentera dan balai polis supaya para pengundi pos ini dapat mengenali dengan lebih dekat bakal pemimpin mereka. Dalam PRK kawasan parlimen Teluk Kemang pada tahun 2000, pembangkang dibenarkan untuk berkempen di kem tentera. Apabila peti undi dibuka, undi pos yang diperolehi PAS dan Umno tidak jauh berbeza. Sejak insiden itu berlaku, pembangkang tidak lagi dibenarkan untuk berkempen di kem tentera. Selain itu, ketika ditanya berhubung kewibawaan dan pengaruh calon parti lawan, beliau berkata itu terpulang kepada Umno untuk menentukan siapa yang layak, kerana baginya yang penting adalah untuk memastikan kemenangan PAS semata-mata. "Siapa pun calon, kita tidak kisah. Kalau calon ini (menyebut beberapa nama), kita akan ikut rentak dan gendang mereka. "Lain calon, lain pendekatan yang bakal kita lakukan," katanya begitu optimis dengan peluang PAS untuk memenangi PRK kali ini. Suruhanjaya Pilihanraya Raya Malaysia (SPR) menetapkan Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan pada 11 Oktober ini manakala penamaan calon ditetapkan pada 3 Oktober. DUN Bagan Pinang mempunyai 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos, 8,577 atau 62.77 peratus pengundi di Dun berkenaan terdiri daripada kaum Melayu, 2,834 atau 20.74 peratus pengundi India, 1,498 atau 10.96 peratus pengundi Cina dan 755 atau 5.54 peratus terdiri daripada lain-lain bangsa. Pada pilihan raya umum tahun lepas, allahyarham Azman Mohd Nor yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan calon PAS Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi. -------------------- |
Nizar seru warga Perak buat perubahan besar-besaran
Azamin Amin Wed | Sep 23, 09 | 12:37:19 am MYT | |
IPOH, 23 SEPT:Bagi mantan Menteri Besar Perak Pakatan Rakayat Dato' Seri Ir. Nizar Jamaluddin, Syawal ini perlu dijadikan iktibar dan persediaan untuk seluruh rakyat di Perak melakukan perubahan besar-besaran sekiranya pilihan raya negeri dibuat pada masa yang terdekat. Kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, kemelut politik dan krisis perlembagaan yang berlaku akibat rampasan kuasa pada 5 Februari 2009 telah menyebabkan Perak dilanda malang dan krisis. "Tolaklah mereka yang terbukti mengenepikan perintah keadilan dan amanah, zalim terhadap hak rakyat, menyalahgunakan agensi kerajaan seperti SPR, SPRM, polis dan kehakiman. "Tolak mana-mana yang berjuang di atas prinsip perkauman dan 'assobiyah' kerana itu tiada tempat dalam Islam. "Nabi Muhammad menyatakan dengan jelas bahawa bukan dari kalangannya mereka yang hidup-matinya, perjuangannya kerana bangsanya atau kaumnya," jelas Nizar dalam perutusan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini. Dalam perutusannya itu, beliau merasa pelik apabila umat Islam mengabaikan perintah Allah dan ibadat yang lain tetapi memberi keutamaan kepada amalan berpuasa. Katanya hanya satu ayat dalam surah al-Baqarah (ayat 183) memerintah umat Islam berpuasa, tetapi dengan puluhan ayat yang mengarahkan solat dipandang sepi dan tidak ambil berat. "Sikap begini berlaku oleh kerana sepanjang kita merdeka 52 tahun, puasa dijadikan ibadat khusus, sahur, buka, tarawih, tadarus dan raya dan tak lebih dari itu," katanya yang juga ADUN Pasir Panjang. Bahkan isi kandungan takbir raya itu sendiri yang turun dan diungkap oleh Nabi Muhammad pertama kalinya dalam peperangan Badar mengajak umat Islam membuat perubahan besar-besaran. Namun malangnya takbir raya itu telah disensasikan, didayukan serta disyahdukan di kalangan masyarakat melayu sehingga hilang roh dan semangat takbir itu sendiri. "Semangat jihad pengorbanan, kembali kepada menegak kalimah Allah dan pensucian aqeedah telah tenggelam dek kerana alunan dayu sensasi takbir raya," katanya. Selain itu katanya, sebagai ibadat tertua, puasa menuntut umat Islam memperolehi ketaqwaan sebagai tiket untuk bertemu dengan Allah diakhirat kelak dan tanpa taqwa ini, sesaorang itu tidak boleh mendapat pertimbangan Allah untuk ke syurga. "Mari tolak perkauman dan terima nilai-nilai Islam dalam melaksanakan tugasan kita sebagai Khalifah dimuka bumi ini. "Saya mewakili keluarga dan seluruh warga Pakatan Rakyat menyusun jari sepuluh memohon keampunan atas segala kesalahan dan kelemahan tempoh hari. Bertemu di Bagan Pinang!" katanya dalam perutusan tersebut. _ |
No response to “BERITA”
Post a Comment