BERITA


DPMMPP bantu kumpul data kedudukan Melayu Pulau Pinang

GEORGETOWN: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) mewujudkan Pusat Kajian dan Penyelidikan Sosio-Ekonomi Pulau Pinang (PReCISE) bagi membolehkannya mengatur strategi membantu masyarakat Melayu di negeri ini.

Yang Dipertua DPMMPP, Rizal Faris Mohideen, berkata penubuhan pusat kajian hampir setahun lalu itu berfungsi sebagai tempat pengumpulan maklumat serta data terkini mengenai pembabitan masyarakat Melayu dalam pelbagai bidang antaranya ekonomi, perumahan, pendidikan dan sosial.

Beliau berkata, PReCISE yang beroperasi di Tingkat 12 Bangunan DPMMPP di sini, pada masa ini menjalankan kajian terperinci mengenai beberapa isu, antaranya pembangunan tanah wakaf, pemberhentian pekerja serta pemilikan lesen perniagaan untuk mencari kedudukan sebenar masyarakat Melayu dalam bidang itu di negeri ini.

"Pusat itu diketuai seorang koordinator dan dibantu beberapa penyelidik dan kita jangkakan beberapa hasil penyelidikan itu dapat diketahui hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata, data dan maklumat yang diperoleh daripada kajian itu akan digunakan untuk mengatur hala tuju serta strategi yang sesuai dan tepat untuk golongan berkenaan," katanya.

"Sekiranya Dewan (DPMMPP) mempunyai kemampuan untuk melaksanakan program atau membantu golongan sasaran itu, kita akan lakukan tetapi jika ia di luar bidang kita, maklumat berkenaan akan disalurkan kepada agensi atau kementerian berkaitan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, penubuhan PReCISE juga adalah sebahagian agenda dalam fasa kedua penstrukturan semula DPMMPP ke arah organisasi lebih cemerlang.

Katanya, dalam proses meremajakan kembali DPMMPP yang menjangkau usia 50 tahun penubuhannya, langkah tepat perlu diatur supaya ia kekal relevan dan mencipta kecemerlangan untuk tempoh 50 tahun akan datang.

Menurutnya, fasa pertama yang bermula pada 2007 membabitkan penstrukturan semula semua liabiliti yang ditanggung DPMMPP manakala fasa kedua, yang bermula tahun lalu, menumpukan perhatian kepada pengwujudan sekretariat profesional bagi meningkatkan kualiti pentadbiran DPMMPP.

"Fasa ketiga, yang akan bermula pada tahun depan, adalah titik penting dalam perjalanan Dewan seterusnya kerana perancangan yang dibuat akan menentukan pertumbuhan Dewan pada masa depan," katanya.

(Berita ini diambil dari Bernama, 22 September 2009)


***** *****

'Peralihan kuasa MIC disegerakan'

Oleh Magendran Rajagopal, S Anand Kumar dan Haika Khazi
bhnews@bharian.com.my


YANG di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersalaman dengan orang ramai selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara, Kuala Lumpur, kelmarin.

Najib-Samy Vellu diharap bincang lantik pemimpin baru proses tukar pemimpin

PUTRAJAYA: Penganalisis politik berharap pertemuan Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu untuk membincangkan pelan peralihan kuasanya akan mempercepatkan persaraan pemimpin veteran yang menerajui parti itu hampir tiga dekad.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, berkata proses peralihan kuasa MIC perlu dilaksanakan dengan segera tanpa mengambil satu tempoh masa yang panjang bagi mengembalikan segera sokongan masyarakat India kepada MIC dan BN.


"Sudah tiba masanya pemimpin muda dalam parti itu diberi peluang menerajui MIC. Bukan mahu dikatakan Samy Vellu langsung tidak menyumbang kepada parti, tetapi beliau perlu mengutamakan BN dan masyarakat India," katanya mengulas cadangan Najib untuk bertemu Samy Vellu mengenai proses peralihan kuasa itu.

Perdana Menteri memberitahu pemberita di rumah terbukanya di Seri Perdana, kelmarin, walaupun Samy Vellu berjumpa beliau sebelum pemilihan MIC, Jun lalu di Kuching untuk membincangkan mengenai rancangan peralihan kuasa itu, tetapi kini perlu berbincang lagi berdasarkan perkembangan semasa.

"Pada ketika itu, beliau membayangkan pelan ini, tetapi memaklumkan kepada saya yang beliau masih tidak boleh berundur kerana jika beliau berbuat demikian, kestabilan parti akan tergugat. Tetapi itu sebelum pemilihan parti.

"Sekarang, selepas pemilihan, saya akan sekali lagi berbincang dengannya, tetapi ini tidak harus dilihat sebagai campur tangan BN dalam ehwal dalaman MIC," kata Najib yang juga Pengerusi BN pada sidang media itu.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Samy Vellu adalah liabiliti kepada BN, dalam usaha gagasan itu meraih semula sokongan masyarakat India.

Najib berkata, MIC harus dapatkan kembali sokongan masyarakat India bagi memperkukuh kedudukannya selaku parti komponen ketiga terbesar kerana tidak mahu ia menjadi beban pada BN.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, kejadian tanah runtuh terbaru di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur menimbulkan kekhuatiran masalah seumpama itu mungkin berulang sekiranya langkah pencegahan tidak dipertingkatkan.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 22 September 2009)



No response to “BERITA”

Post a Comment