BERITA

Ganesan, Speaker tidak sah - PAS Perak
Mohd Hafez Sabri
IPOH, 28 Sept: PAS Perak tetap berpendirian, tindakan Adun Pakatan Rakyat untuk tidak menghadiri sidang DUN yang dipanggil Speaker yang dilantik Barisan Nasional (BN) Ganesan adalah langkah yang tepat.

Ini kerana, bagi mereka V. Sivakumar adalah speaker yang sah, manakala Ganesan adalah speaker yang tidak sah kerana cara Ganesan dilantik sebagai speaker adalah tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain dalam kenyataannya.

Beliau menegaskan bahawa �Kedudukan Ganesan hingga kini masih lagi tidak sah dan tidak jelas. Dan beliau telah melanggar Perlembagaan Negeri yang melarang seseorang memegang dua jawatan dalam satu masa.

"Beliau masih jadi peguam sewaktu dilantik jadi Speaker Dewan. Sebenarnya yang bermasalah adalah Ganesan bukannya Yb V.Sivakumar.�

Abu Bakar mengulas tindakan 28 Adun Pakatan yang tidak akan menyertai sidang Dun Perak akan datang yang dipanggil oleh Speaker Ganesan.

"Kita juga sedia maklum apa yang diputuskan dalam Sidang DUN 2 september baru-baru ini adalah sah dan sama statusnya dengan sidang yang diadakan dibawah pokok kerana dihalang oleh umno/bn untuk adun-adun PR masuk bersidang secara baik di dalam dewan sebelum ini dan ianya adalah sah kerana pada satu-satu masa hanya boleh ada satu DUN sahaja. DUN di pengerusikan Ganesan tidak sah kerana kuasa mempengerusikan sidang DUN masih di bawah Yb V.Sivakumar," katanya.

Image(Gambar:Speaker DUN Perak, V Sivakumar diseret dari DUN)

Tambah beliau lagi, seluruh rakyat Perak mengetahui bahawa Sivakumar masih lagi Speaker Dewan kerana ia diangkat keluar dari Dewan secara paksa pada Mei.

Ia adalah cubaan rampasan kuasa Umno-BN, katanya.

"Sememangnya insiden mengusung keluar secara paksa speaker dari dalam dewan adalah tindakan ganas Umno/BN yang telah memalukan seluruh rakyat Negeri Perak," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Kelab penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim mengesahkan semua Adun Pakatan Rakyat tidak akan hadir dalam sidang yang dipanggil oleh Ganesan.

Alasan beliau adalah:-

Ganesan adalah Speaker yang dilantik secara tidak sah mengikut undang-undang , malah perlantikannya dalam keadaan yang saya anggap menghina Pemangku Raja Perak dan DUN Perak pada 7 Mei yang lepas.

Ganesan, kata Khalil, dilantik dalam keadaan Dewan belum di rasmikan lagi oleh Pemangku Raja Perak, dengan kata lain dalam keadaan sidang belum bermula dan semasa Speaker Dewan Perak, V.Sivakumar menduduki kerusi Speaker dalam keadaan menjalankan tugasan awal mengatur kedudukan dewan sebelum mendapat dan memohon perkenan Raja Nazrin masuk ke dewan bagi memulai majlis perasmian.

Bagi beliau, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azahar Mohamed.

Azhar memutuskan mahkamah tidak ada kuasa untuk mendengar permohonan Sivakumar kerana ianya melanggar Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kesahihan sebarang prosiding dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana-mana negeri tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah walaupun tidak melihat apakah yang berlaku di dalam DUN.

Beliau memetik Fasal 72. Keistimewaan Dewan Negeri.

Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah.

Sivakumar, katanya, cuma gagal untuk mendapat perintah mahkamah bagi menghalang Ganesan menjalankan tugas sebagai Speaker.

"Saya ingin tegaskan bahawa dia tidak mendapat penghakiman mahkamah bahawa dia adalah Speaker yang sah, dan tidak ada juga penghakiman V. Sivakumar adalah Speaker yang tidak sah," kata Khalil dalam kenyataannya.

Oleh itu, Sivakumarlah Speaker yang sah kerana kedudukannya sebagai speaker yang dilantik lebih awal dan mematuhi undang-unadang yang ada dan tidak pernah terlucut jawatannya secara betul mengikut prosuder yang ada.

"Saya tegaskan bahawa usul yang telah dikemukakan oleh BN bagi melucutkan jawatan V. Sivakumar adalah tidak sah kerana Sivakumar pada 6 Mei sehari sebelum sidang telah menolak usul tersebut sesuai dengan peruntukan yang diberikan kepadanya. Oleh itu semua yang berlaku rentetan dari itu semuanya tidak sah dan sia-sia belaka," katanya.

------------------------

Calon Umno: Antara akar umbi atau kehendak Mahathir
Dzulfikar Mashoor
TELOK KEMANG, 28 Sept. Walaupun hampir seluruh ahli Umno Bagan Pinang mahukan Tan Sri Isa Samad sebagai calon, Umno nampaknya tidak mahu kesilapan memilih calon menyusahkan mereka sebagaimana di Permatang Pasir.

Katakutan berulang tragedi Permatang Pasir dan ketakutan Umno kepada bekas pemimpin mereka menyebabkan hasrat akar umbi mereka bakal terkubur.

Sokongan terhadap Isa tidak berbelah bahagi dari semua cawangan Umno Teluk Kemang, sejak kerusi N31 diisytiharkan kosong oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pendirian terbuka Mahathir yang tidak mahu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menjadi calon kerana terlibat dalam beberapa kes politik wang sebelum ini, dikatakan ada kaitan dengan realiti kehendak akar umbi tersebut.

"Jika saya (Tan Sri) Isa, saya akan menggesa parti supaya jangan mencalonkan saya. Kemudian saya akan bekerja keras berkempen untuk calon lain yang dipilih. Dengan itu, ia akan melonjakkan reputasinya," kata Mahathir.

Jika akar umbi Umno masih bertegas mahu Isa menjadi calon, bermakna Umno bersedia dikritik seperti sebelum ini, katanya.

Dan nampaknya, dokongan bekas pemimpinnya lebih besar dalam Umno dari sokongan akar umbinya sendiri.

Image(Gambar:Isa berbual dengan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly dan AJK PAS Pusat Datuk Husam Musa)

Malah, dengan ketokohan serta sikap rendah diri yang ada pada diri Isa, tidak mustahil akar umbi Umno akan memberi undi protes kepada calon PAS dalam pilihanraya kali ini.

Tetapi, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa ketika dihubungi petang tadi, tidak menganggap kritikan tersebut sebagai strategik kempen Mahathir untuk mengukuhkan sokongan akar umbi Umno ke atas bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok menganggap Mahathir terpaksa mengabaikan hasrat akar umbi Umno tempatan; demi meraih sokongan pengundi yang amnya mementingkan soal peribadi calon yang dipertandingkan oleh mana-mana parti politik.

Dalam perkembangan berkaitan, Nasharuddin menegaskan bahawa PAS serta Pakatan Rakyat tidak mempunyai masalah dalam meletakkan calon di N31.

Ujarnya, PAS sedia berdepan dengan sesiapa sahaja calon taruhan Umno; sama ada calon tersebut adalah calon kesukaan Mahathir atau kesukaan akar umbi Umno sendiri.

Fokus Pakatan adalah menjelaskan mengetengahkan dasar-dasarnya yang lebih adil; bukannya asyik memperkatakan peribadi calon-calon yang dipertandingkan.

Tanpa menyebut nama calon PAS, Nasharuddin berkata, krateria yang menjadi penekanan dalam memelih calon Pakatan ialah � (1) calon yang disegani rakyat; (2) calon yang mampu memenangkan Pakatan Rakyat; dan (3) calon yang mampu berkhidmat untuk rakyat.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Datuk Kamarul Baharin Abbas yang dihubungi kemudian menyifatkan bahawa kenyataan Mahathir tersebut melambangkan realiti sebenar amalan rasuah di dalam Umno.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Kemang berkata, beliau sedikit pun tidak hairan jika Isa menjadi calon menentang Pakatan Rakyat di Bagan Pinang.

Sebaliknya, beliau hairan mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri tidak bersuara dalam isu persimpangan Umno tersebut � mengikut nasihat Tun atau menghargai suara Umno tempatan.

Jelasnya, sikap berdiam diri Najib seolah-olah menunjukkan bahawa Mahathir masih berkuasa dalam Umno BN serta berupaya memaksa Najib mengikut telujuknya; walaupun sudah bergelar mantan Perdana Menteri ke-4 Malaysia.

Ianya akan disahkan jika terbukti calon pilihan Mahathir akan terpilih dalam pilihan raya kecil ini.

Image(Gambar:Bekas calon Umno 2004, Faizal, mesra dengan bekas calon PAS 2008, Haji Ramly [kiri]))

Sumber dalaman Umno memberitahu bahawa terdapat tiga nama yang dipertimbangkan Umno kini bagi menggantikan Isa.

Mereka yang dimaksudkan adalah Faisal bekas Adun Bagan Pinang 2004; Naib Ketua Bahagian Cikgu Zabrin; dan Kak Ani Ketua Wanita Umno Bahagian sendiri.

Kelihatan sejak petang tadi, kesemua kain rentang bermotif politik serta ucapan selamat hari raya yang mewakili Isa mula diturunkan.

Tiga cadangan nama calon tersebut menjadikan Umno bakal berdepan beberapa cabaran dalaman antara orang lama dan muka-muka baru dari kalangan pemuda dalam parti itu. _

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 28 September 2009)





No response to “BERITA”

Post a Comment