BERITA


Isa calon BN

Oleh Ziauddin Sharuddin dan Hussain Said
bhnews@bharian.com.my


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan Isa sambil disaksikan Muhyiddin ketika hadir pada majlis jamuan Aidilfitri peringkat negeri di Port Dickson, semalam. Turut serta, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga dari kiri) dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (kiri).

Pemilihan ambil kira pandangan penduduk Bagan Pinang

PORT DICKSON: Ketua Umno Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Samad, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, 11 Oktober ini.

Pemilihan Mohd Isa, 60, diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis jamuan Aidilfitri di Batu 6 Jalan Pantai di sini, semalam.

Pas pula mencalonkan Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkefly Mohamad Omar, 45, yang diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, malam tadi.

Muhyiddin ketika mengumumkan calon BN, berkata pemilihan Mohd Isa dibuat bukan saja selepas diteliti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malah mengambil kira pandangan akar umbi penduduk Bagan Pinang.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, kerja peringkat bawahan dilakukan sebelum keputusan itu dibuat dengan mendapatkan pandangan semua lapisan masyarakat dan semua kaum.

"Oleh kerana ini adalah pilihan raya kecil, apa yang penting ialah rakyat didahulukan, rakyat di Bagan Pinang mesti didahulukan.

Zulkefly Mohamad O

"Mana yang rakyat hendakkan, itu yang kita akan beri. Siapa yang rakyat mahu, siapa yang Bagan Pinang mahu," katanya disambut laungan gemuruh orang ramai yang menyebut nama `Mohd Isa' beberapa kali.

"Okay, Tan Sri Isa lah menjadi calon BN," kata Muhyiddin dan pengumuman itu sekali lagi disambut dengan laungan serta tepukan gemuruh kira-kira 10,000 orang yang menghadiri majlis itu.

Hadir sama, Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussain; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari Umno, Azman Mohammad Noor, 54, pada 31 Julai lalu kerana jangkitan dalam darah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian pada 11 Oktober ini.

Muhyiddin berkata, pemilihan Mohd Isa turut mengambil kira jasanya dan walaupun melalui tempoh hidup yang sukar dalam politik, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu masih seorang pejuang, berkorban dan tidak pernah berhenti memberi khidmat kepada parti, kerajaan dan negara.

Sehubungan itu, beliau meminta jentera pilihan raya BN melancarkan kempen secara tersusun dan menemui setiap pengundi Bagan Pinang bagi memastikan kemenangan Mohd Isa.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 30 september 2009)

*********************

Perdana Menteri umum pelaburan besar Asia Barat di Malaysia hari ini


Najib Tun Razak menjawab pertanyaan Ketua Pegawai Eksekutif Forbes, Steve Forbes semasa sesi temu bual pada makan malam sempena Persidangan Forbes Global di Kuala Lumpur, malam tadi. - Utusan/ZULAZHAR SHEBLEE


KUALA LUMPUR 29 Sept. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat satu pengumuman penting berhubung pelaburan besar Asia Barat di negara ini esok.

Beliau berkata, pengumuman berkenaan akan dibuat selepas perkara itu dimaklumkan kepada anggota Kabinet.

''Saya akan membuat satu pengumuman besar esok berhubung pelaburan dari Asia Barat. Saya tidak boleh mengumumkannya malam ini kerana ia akan 'mengecewakan' anggota jemaah menteri,'' katanya berseloroh ketika diminta mengumumkan perkara itu pada sesi Meeting of Minds di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini malam ini.

Pada sesi itu, beliau ditemu bual oleh Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif dan juga Ketua Pengarang majalah kewangan Forbes, Steve Forbes.

Katanya lagi, negara-negara Teluk kini memberikan tumpuan kepada kawasan itu ekoran jaringan baik di antara Malaysia dan negara tersebut.

Jelas Najib, negara-negara Asia Barat mempunyai wang, namun tidak mempunyai teknologi.

''Jadi, Malaysia memaklumkan mereka apa yang kami ada, kemudian bertanya apakah mereka berminat untuk melabur,'' katanya.

Mengenai bidang kewangan Islam, Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk membina Pusat Kewangan Islam secara fizikal yang akan menjadi hab bukan sahaja di peringkat serantau, tetapi di dunia.

Beliau turut mempelawa peserta persidangan berkenaan untuk meninjau kawasan pembangunan ekonomi Iskandar Malaysia di Johor yang mampu menjadi pusat ekonomi utama di rantau ini.

Dalam sesi temu bual berkenaan, Najib turut menjawab beberapa soalan daripada para peserta berhubung industri pelancongan kesihatan negara dan kedudukan Malaysia yang strategik secara geografi dalam rantau Asia Tenggara.

Perdana Menteri berkata, beliau juga ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara membangun dengan penduduk yang bergaji tinggi menjelang 2020.

''Saya tekankan aspek gaji penduduk kerana saya percaya kadar gaji di negara ini adalah terlalu rendah. Selain itu Malaysia juga perlu meningkatkan kedudukannya dari sudut kompetitif,'' katanya.

Sesi temu bual itu diadakan pada majlis makan malam Persidangan Global Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Forbes kali Ke-9 yang bermula di sini semalam dan berakhir esok.

(Berita ini diambil dari Utusan Online, 30 September 2009)


********************

Bagan Pinang pemangkin perubahan Selatan Semenanjun

Dzulfikar Mashoor

BAGAN PINANG, 30 Sept:Pakatan Rakyat mahu menjadikan N31 sebagai pemangkin perubahan rakyat mewakili Selatan Semenanjung, sebagaimana yang telahpun ditunjukkan rakyat Pantai Barat Semenanjung dalam Thunami Politik 8 Mac lalu.

Zulkefly Mohamad Omar semalam menganggap pencalonannya bukan sekadar mewakili PAS, sebaliknya mewakili kehendak perubahan rakyat Negeri Sembilan, khususnya penduduk tempatan, di sini sendiri.

"Kita mewakili Pakatan Rakyat untuk buat perubahan. Kita masuk (sertai pilihan raya) kerana bersama kehendak rakyat,"katanya.

Mengakui pencabarnya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad lebih dikenali ahli-ahli Umno tempatan, Zulkefly mengaku beliau juga sebenarnya anak jati Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkeyakinan pengundi N31 bijak membuat perhitungan dengan memilih calon yang bersih dan amanah.

Nada yang sama turut dikongsi Presiden PAS Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang sendiri.

ImageHadi berkeyakinan rakyat akan terus menyokong calon terbaik PAS, sebagaimana yang dapat dilihat dalam tujuh siri pilihan raya kecil sebelum ini.

�Kita sudah melihat perubahan (dalam) tujuh (pilihan raya kecil) sebelum ini. Insya-Allah, kita yakin rakyat berkehendak perubahan di Bagan Pinang juga.� ujar Hadi.

Hadi turut berkeyakinan perubahan yang diramalkan berlaku di Bagan Pinang akan merebak ke negeri adat perpatih itu.

Turut menyertai sidang media di Markas Utama DAP di Batu 9, di sini; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PKR Dr. Syed Husin Ali; Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa; Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas; dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub serta pemimpin-pemimpin Pakatan yang lain.

Penampilan sulung Zulkefly bersama muafakat pemimpin-pemimpin utama PAS, DAP dan PKR semalam dipercayai khalayak, mampu mengukuhkan sokongan rakyat pada cita-cita perubahan bersama Pakatan seperti sebelum ini.


-----------------------

100 ekar tanah untuk penternak lembu Sungai Kertas
Harakahdaily
SHAH ALAM, 30 Sept: Mesyuarat Exco kerajaan negeri Selangor hari ini mengenalpasti tapak seluas 100 ekar di Hulu Selangor untuk dijadikan tapak penternakan untuk penternak di Kampung Sungai Kertas yang tertimbus lembu mereka baru-baru ini.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kedua-dua penternak Kampung Sungai Kertas berkenaan akan dipindahkan ke kawasan tersebut untuk sementara waktu.

Bagaimanapun, mereka boleh membuat permohonan untuk menyewa tapak berkenaan secara tetap. Tanah seluas 100 ekar ini juga boleh disewakan kepada penternak Selangor lain yang berminat.

Baru-baru ini, 70 penternak lembu berhimpun di perkarangan bangunan SUK Selangor dengan membawa sekali lembu mereka bagi menuntut bantuan kerajaan negeri ekoran dari lapan lembu mereka tertimbus oleh timbunan sampah yang runtuh.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini telah diberi penerangan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pegawai Daerah Gombak berhubung runtuhan tapak pelupusan haram diKampung Sungai kertas, Gombak pada 23 September 2009 serta kerosakan kepada dua ladang ternakan yang berdekatan.

ImageEXCO juga dimaklumkan bahawa tapak pelupusan seluas 20 ekar itu telah beroperasi lebih dari lima tahun.

Kawasan tersebut telah diisytihar sebagai �kawasan bencana� semenjak 4 September 2009 dan usaha memadamkan kebakaran sampah yang telah mencecah ketinggian 300 kaki.

MPS juga memaklumkan beberapa kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik tanah dalam usaha menghentikan kegiatan pelupusan sampah haram ini, dan dalam usaha membawa kes ini ke mahkamah bagi mendapatkan injuksi menghentikan aktiviti pelupusan ini.

EXCO juga telah dimaklumkan bahawa pada 25 Januari 2007, Pegawai Daerah Gombak telah mengemukakan Borang 7A (Notis Untuk Memulihkan Pelanggaran Syarat) dibawah Seksyen 128, Kanun Tanah Negara kepada pemilik tanah untuk memulihkan pelanggaran syarat kegunaan tanah tersebut.

Oleh kerana tiada tindakan yang dibuat sehingga sekarang, EXCO pada hari ini telah mengarahkan pegawai daerah mengemukakan Borang 8A (Notis Pengembalian Tanah Kepada Kerajaan) dibawah seksyen 130 Kanun Tanah Negara untuk merampas semula tanah berkenaan daripada pemilik berkenaan.

Setelah usaha rampasan telah selesai, MPS telah diarahkan untuk memantau dan membersihkan kawasan tersebut serta mendapatkan khidmat nasihat pakar daripada Worldwide Holding Berhad dalam usaha pemuliharaan kawasan tersebut.

Berkenaan dua penternak yang terlibat, EXCO juga dimaklumkan oleh MPS bahawa aktiviti penternakan yang dijalankan adalah tidak sah.

Kerajaan juga percaya aktiviti penternakan tidak sesuai untuk dijalankan lagi dikawasan tersebut oleh kerana pencemaran yang telah berlaku, kata Khalid._

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 30 September 2009)


No response to “BERITA”

Post a Comment