BERITA

PAS tidak akan bersama Umno pertahankan perkauman
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Sept: PAS menyifatkan, perlawaan Umno bertalu-talu kepada PAS agar bekerjasama dengan parti yang kini terjebak dengan isu perkauman sebagai satu tindakan tersepit.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, Umno kini terlalu tertekan dengan isu perkauman ini dan sangat memerlukan PAS untuk mengesahkan tindakan mereka.

Jika PAS tidak menyokong tindakan Umno maka masyarakat akan menganggap tindakan Umno sebagai berdasarkan perkauman dan bukannya berasaskan Islam.

Salahudin mengulas ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di Manek Urai semalam.

Dalam ucapan itu sekali lagi pemimpin Umno mempelawa PAS berunding dengan mereka demi kepentingan ummah dan Islam tetapi menegaskan "tidak rela Umno dihina".

Ini adalah huluran tangan yang kesekian kalinya oleh pemimpin Umno agar PAS bersama-sama dengan mereka sejak pilihan raya umum 2008 lalu.

Bagi Salahudin, Umno hanya akan menghulurkan tangan ketika mereka tersepit tetapi selepas selesai masalah mereka, PAS akan ditendang sebagaimana yang dialami oleh PAS sebelum ini.

"Ketika negara hadapi isu perkauman 1969, PAS diajak bersatu demi Melayu dan Islam. Tetapi apa berlaku selepas Umno kuat kembali?" soal Salahudin.

Bagi beliau, Umno tersepit sekali lagi kini. Selepas kalah teruk dalam pilihan raya 2008, Umno menjadikan isu perkauman sebagai pendekatan untuk mengikat sokongan orang Melayu kepada mereka. Kononnya bangsa Melayu tertekan kini.

"Yang tertekan bukan bangsa Melayu tetapi Umno," kata beliau.

Apabila aktivis-aktivis Umno di Seksyen 23, Shah Alam memainkan isu perkauman dan agama sempit sehingga sanggup membawa kepala lembu yang masih berdarah ke Pejabat SUK Selangor, Umno sekali lagi tersepit.

"Mereka ingat PAS akan menyokong mereka atas dasar mereka memperjuangkan Islam dan Melayu dan melawan agama Hindu.

"PAS berpendirian tidak menyokong mereka kerana Islam tidak mengajar begitu. Hampir kesemua pemimpin PAS mengambil pendekatan yang diajar Al Quran iaitu jangan kamu menghina tuhan-tuhan mereka kerana dibimbangi mereka juga akan menghina Allah," kata Salahudin.

Kini, katanya Umno tersepit dan mengharapkan PAS bersama-sama mereka.

"Umno kini telah menjadikan perkauman sebagai makanan ruji mereka. Kita tidak akan bersama dengan mereka," kata Salahudin.


---------------------


Akibat perbalahan, rakyat Terengganu terabai
Hashim Abdullah
TEMERLOH, 8 Sept: Kemelut dan ketidaktentuan politik Terengganu yang didalangi pemimpin Umno akan berlarutan kerana Umno tidak mempunyai formula penyelesaian sebaliknaya meneruskan sikap berpuak yang amat menebal, kata Adun Sura, Terengganu, Wan Hassan Mohd Ramli.

Akibat daripada sikap yang berpuak itu, tambah Wan Hassan yang merupakan bekas Exco Kerajaan Terengganu ketika PAS mentadbir negeri itu, rakyat Terengganu terpinggir tanpa pembelaan yang wajar

Bagi membetulkan keadaan Wan Hassan mengesa rakyat Terengganu agar bersikap berani menolak Umno secara menyeluruh pada pilihanraya umum akan datang bagi membentuk kerajaan negeri Terengganu yang aman dan stabil dibawah pemerintahan Islam yang menyeluruh.

Beliau dipercayai mengulas apa yang berlaku di Terengganu sekarang. Baru-baru ini, majoriti Adun Umno memboikot majlis yang dihadiri Timbalan Presiden mereka sendiri, Tan Sri Muhyidin Yasin di Kuala Berang.

Ini kerana majlis itu dianjurkan oleh kem Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Sebuah laman web melaporkan, sembilan dari mereka bercadang untuk keluar dari Umno bagi menyertai PKR dan membentuk kerajaan baru dengan PAS.

Namun sehingga kini belum menjadi kenyataan. Seorang pemimpin kanan PAS Terengganu berkata, para Adun Umno ini penakut sebenarnya.

Kesan dari apa yang berlaku dalam Umno ini, apapun tidak dapat berjalan di Terengganu sekarang.

Image"Rakyat Terengganu sudah ada penilaian untuk dibuat perbandingan semasa pemerintahan PAS dahulu dengan apa yang berlaku sekarang. Perbalahan yang berlaku dalam pemerintahan Umno ini bukan kerana nak jaga rakyat tetapi untuk berebut jawatan bagi mengisi perut masing-masing.

"Sebab itu kita percaya perbalahan dalam Umno Terengganu ini tidak akan dapat diselesaikan. Malahan, keadaan berpuak-puak itu bertambah menebal yang Umno tidak ada formula penyelesaian sama sekali," kata Wan Hassan sewaktu berceramah di Markaz PAS Seberang Temerloh, dekat sini, semalam.

Tambah Wan Hassan rakyat Terengganu kini berada dalam kesusahan kerana kerajaan yang dipilih tidak dapat memberikan fokus bagaimana cara untuk mengatasi masalah rakyat yang miskin kerana perbalahan yang berpanjangan.

"Dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka bisu seribu bahasa. Di luar, mereka berbalah kerana nak jaga kedudukan masing-masing. Ada yang sampai berlengan. Rakyat terbiar tanpa pembelaan, inilah yang berlaku. Sebab itu kita minta rakyat Terengganu pilih pemimpin yang ada Islam yang tahu nilai amanah, baru kita boleh selamat," katanya.


-----------------------


Ahmad Said ditegur kerana kaitkan Teoh bunuh diri
Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 8 Sept: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan ditegur oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon kerana mengeluarkan kenyataan yang mungkin menjejaskan siasatan ke atas kes kematian Teoh Beng Hock.

Dalam satu kenyataannya, Koh berkata, Ahmad Said dan para pegawai kanan SPRM sepatutnya mengelakkan diri dari mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan dan juga inkues terhadap kematian Teoh.

"Mereka hendaklah lebih sensitif terhadap perasaan keluarga Teoh yang kehilangan orang yang disayangi, tidak kira sebab kematiannya yang menjadi topik siasatan," kata beliau.

Teguran Koh itu dibuat berikutan kenyataan Ahmad Said bahawa Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) mempunyai beberapa kes suspek membunuh diri.

"Walaupun ini mungkin kenyataan fakta berkaitan ICAC, komen terbuka oleh ketua SPRM ketika siasatan sedang berjalan boleh dianggap cuba mengandaikan bahawa bunuh diri mungkin menjadi sebab kematian Teoh, sedangkan siasatan belum mencapai keputusan konklusif," kata beliau.

Beliau berkata, orang ramai mengharapkan hasil konkrit dari SPRM dalam memerangi rasuah, satu daripada enam bidang pencapaian utama nasional yang diumumkan Perdana Menteri.

Beliau menekankan, SPRM mestilah "bebas dan dilihat bersifat demikian dalam pengendalian sebarang kes".

Keluarga Teoh pula mengecam kenyataan Ahmad Said yang mereka sifatkan cuba membayangkan pembantu politik kepada anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu membunuh diri.

Adik perempuan Teoh, Lee Lan menyatakan, Ahmad Said memberitahu akhbar Sin Chew Daily bahawa beliau dimaklumkan tentang kes sepuluh orang yang melompat dari bangunan tinggi selepas disiasat oleh ICAC sejak ia ditubuhkan.

"Beliau juga berkata, jika orang yang disiasat tidak tahan dengan tekanan dan terjun dari bangunan, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan oleh SPRM," Malaysian Insider memetik Lee Lan berkata.

Bercakap bagi pihak keluarganya, Lee Lan mengingatkan: "Jika SPRM terus membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dibuktikan, kami bersedia berjumpa Perdana Menteri sekali lagi dan mendesak beliau menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca kematian Beng Hock".

Beliau juga mencabar Ahmad Said menjawab tiga soalan iaitu, siapa yang melihat Teoh terjun dari bangunan yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, mengapa pula Teoh patut berasa tertekan sedangkan SPRM menyatakan beliau hanya saksi dalam siasatan dan adakah cara siasatan SPRM mengakibatkan tekanan ke atas saksi atau orang yang disyaki sehingga menyebabkan mereka terjun membunh diri?

Teoh ditemui mati ketika beliau ketika masih dalam siasatan SPRM.

Mayat beliau ditemui di luar pejabat SPRM di tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam pada 16 Julai lalu, iaitu hari yang sama beliau sepatutnya mendaftarkan pernikahan dengan tunangnya.

SPRM mendakwa, Teoh hanyalah seorang saksi kepada siasatannya ke atas Ean yang disyaki menyalahgunakan dana kerajaan Selangor.

Inkues yang dijalankan oleh mahkamah koroner ke atas kematian Teoh disambung semula hari ini selepas berehat seminggu. Kematian Teoh mencetuskan kemarahan sebahagian besar rakyat terhadap SPRM.

(Berita ini dari Harakah Daily, 9 September 2009)


***** *****


Keputusan DUN Perak muktamad

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
bhnews@bharian.com.my


V Sivakumar (kiri) dan R Ganesan

Mahkamah batal saman Sivakumar

IPOH: Keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menyingkirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh dari DAP, V Sivakumar, sebagai Speaker DUN adalah muktamad dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah.

Perkara itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azahar Mohamed, selepas membatalkan saman Sivakumar terhadap Speaker DUN, Datuk R Ganesan, di sini semalam.

Azahar berkata, mahkamah tidak boleh mencampuri keputusan yang dibuat pada sidang DUN Perak, 7 Mei lalu kerana ia diputuskan secara betul mengikut Perkara 72, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan urusan persidangan DUN dijalankan secara sah dan tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah.

"Sebarang perkara yang dibangkitkan berhubung dengan pemecatan atau pelantikan Speaker dalam sidang DUN perlu dikaji, dibincang dan diselesaikan di dewan berkenaan dan bukannya mahkamah.

"DUN Perak mempunyai bidang kuasa eksklusif berhubung perkara itu. Bagi saya, begitu juga dengan mahkamah ini, keputusan dewan berkenaan pada 7 Mei 2009 menyingkirkan plaintif (Sivakumar) sebagai Speaker dan pelantikan defendan (Ganesan) sebagai Speaker adalah konklusif dan sudah ditentukan secara adil oleh sidang dewan pada tarikh itu," katanya.

Pada 15 Mei lalu, Sivakumar memfailkan saman terhadap Ganesan memohon ganti rugi ke atas serangan dan kecederaan serta tahanan secara tidak sah ketika sidang DUN itu.

Sivakumar juga memohon untuk mendapat perintah injuksi terhadap Ganesan daripada menghalang beliau menjalankan tugas sebagai Speaker.

Azahar berkata, tindakan Sivakumar mempersoalkan keesahan berhubung penyingkiran dan pelantikan sama seperti mempersoalkan keesahan Perlembagaan, sekali gus bercanggah dengan Perkara 72.

Sehubungan itu, katanya, mahkamah tidak mempunyai pilihan melainkan membatalkan saman Sivakumar dengan kos.

Di luar mahkamah, peguam Ganesan, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, berkata keputusan mahkamah itu selaras dengan hujah pihaknya berhubung hak keistimewaan DUN dan semua urusan persidangan itu tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Katanya, Sivakumar tidak mempunyai asas untuk menyaman Ganesan daripada menjalankan tugasnya sebagai Speaker yang sah.

"Semua dakwaan yang dibawa oleh Sivakumar terhadap Ganesan adalah remeh dan mahkamah tidak mahu campur tangan terhadap fungsi dan kawalan atau Sidang DUN.

"Apa yang penting, kerajaan sedia ada terus menjalankan tugasnya. Saya harap ini akan menghentikan keadaan tidak menentu di negeri ini dan pelbagai saman terhadap Speaker sekarang. Perjalanan sidang DUN terkandung dalam hak keistimewaan DUN dan tidak boleh dibicarakan atau dibawa ke mahkamah.

"Oleh itu, penyingkiran Sivakumar sebagai Speaker dilakukan secara teratur dan sah," katanya.

Peguam Sivakumar, Chan Kok Keong, pula berkata beliau akan meneliti keputusan hakim dan berbincang dengan anak guamnya sama ada untuk merayu atau sebaliknya.

Selain Firoz Hussein, Ganesan diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun, Chang Mai, Syed Faizal Syed Abdullah, Abu Bakar As-Sidiq, Badrul Hishah Wahap dan Faizul Hilmi Ahmad Zamri.

(Berita ini dari Berita Harian Online, 9 September 2009)



No response to “BERITA”

Post a Comment