Kebanjiran PATI meningkat
Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Malaysia bakal berdepan dengan masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang serius jika tindakan pembekuan sementara pembekalan pembantu rumah Indonesia ke negara ini tidak segera dihapuskan.
Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia, Khairudin Harahap (gambar) berkata, statistik menunjukkan terdapat 10,000 wanita Indonesia telah mendaftar dengan agensi-agensi pekerjaan di negara mereka untuk mendapatkan peluang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.
Beliau berkata, rakyat Indonesia itu yang benar-benar memerlukan pekerjaan bagi menyara keluarga tidak boleh menunggu terlalu lama untuk memasuki negara ini.
Katanya, dalam keadaan terdesak begini, mereka mudah termakan pujukan tekong-tekong agar memasuki Malaysia secara haram.
"Hampir tiga bulan kerajaan Indonesia membekukan pembekalan pembantu rumah republik itu ke Malaysia.
"Sepanjang tempoh itu, seramai 10,000 wanita Indonesia sudah mendaftar untuk menjadi pembantu rumah di sini dan mereka ini benar-benar memerlukan pekerjaan kerana majoritinya miskin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Zulkepley Dahalan dalam Mingguan Malaysia hari ini bahawa di sebalik pelbagai isu dan kisah penderaan amah yang dibesar-besarkan oleh media Indonesia dan asing, ia tidak sedikitpun membantutkan niat ribuan wanita republik itu untuk mencari rezeki di negara ini.
Menurut Khairudin, jumlah 4,000 wanita Indonesia yang mendaftar dengan agensi-agensi pekerjaan negara itu untuk mendapatkan peluang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia seperti didedahkan oleh Zulkepley hanya meliputi Jakarta sahaja.
Beliau berkata, rakyat miskin yang terdesak mendapatkan pekerjaan sebagai pembantu rumah tidak pernah peduli atau faham tentang memorandum persefahaman (MoU) yang sedang dibincangkan oleh kedua-dua negara ketika ini.
"Mereka ini 'orang kecil' yang hanya mahu mendapatkan pekerjaan dan wang untuk dikirim kepada keluarga di kampung.
"Kalau dibiarkan lama-lama menunggu, kita bimbang mereka akan datang secara haram ke Malaysia.
"Bila ini terjadi, kerajaan kedua- dua negara harus menyediakan 'kantung' (beg mayat) untuk mangsa lemas semasa dalam perjalanan merentasi perairan Indonesia atau Malaysia," katanya.
Bagi mengelak perkara buruk berlaku, Khairudin berkata, kedua-dua negara harus bertolak-ansur untuk mencapai kesepakatan dalam menyelesaikan masalah pembantu rumah Indonesia.
Beliau berkata, antara perkara boleh dipertimbangkan ialah Indonesia perlu mengkaji semula penetapan gaji minimum RM800 sebulan untuk pembantu rumah dari republik itu.
Katanya, permintaan tersebut terlalu tinggi kerana jumlah gaji sesuai untuk pembantu rumah Indonesia ialah antara RM650 hingga RM700 sebulan.
(Berita ini diambil dari Utusan Inline, 28 September 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment