BERITA


'Tingkat ekonomi menerusi zakat'


NAJIB menyampaikan zakat di kawasan Parlimen Pekan, petang semalam.

PEKAN: Kemakmuran ekonomi umat Islam di negara ini dapat dipertingkatkan ke tahap lebih tinggi jika bersatu padu melaksanakan amanah dan tanggungjawab membayar zakat seperti yang dituntut agama Islam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, pembayaran zakat itu adalah antara sumber ekonomi umat Islam bagi membantu golongan kurang berkemampuan menikmati kehidupan lebih baik, termasuk keluar daripada garis kemiskinan.

"Oleh itu, umat Islam perlu melihat kewajipan membayar zakat daripada sudut yang lebih luas, termasuk fungsinya dalam meningkatkan ekonomi. Justeru, mereka yang wajib membayar zakat sama ada perniagaan dan perseorangan seperti syarikat korporat yayasan dan koperasi perlu berbuat demikian kerana ia ada berkaitan dengan prinsip dan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Jika kita kendali baik dan tunai tanggungjawab (bayar zakat) maka akan dapat ketentuan Allah SWT. Jika kita pelihara dan melunaskan tanggungjawab dengan baik... insya-Allah masyarakat keseluruhannya juga dapat banyak manfaat dan kebahagiaan, maka lebih besar kemakmuran yang diterima negara," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian zakat kepada 4,000 penerima dan sumbangan kepada 359 bukan Islam dalam kawasan Parlimen Pekan di sini, petang semalam.

(Berita inji diambil dari Berita Harian Online, 12 September 2009)


***** *****

Lihat anak bulan Sabtu

KUALA LUMPUR: Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja semalam mengumumkan 29 tempat untuk melihat anak bulan Syawal pada 19 September bagi menentukan tarikh Aidilfitri tahun ini.
Menurut kenyataan, Majlis Raja-Raja bersetuju cara menetapkan tarikh Aidilfitri ialah berdasarkan rukyah serta hisab dan pengisytiharan tarikh akan diumumkan pada malam Sabtu itu menerusi radio dan televisyen.

(Berita ini dari Bernama, 13 September 2009)


***** ******


Peringatan Najib

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak hanya popular di kalangan ahli parti sedangkan pada masa sama mereka gagal memenangi hati rakyat.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, jika pemimpin terbabit lupa menjadi popular di kalangan rakyat, mereka sudah pasti akan dihukum dalam pilihan raya akan datang.

“Dalam sistem demokrasi berparlimen, suara keramat ialah suara rakyat dan kuasa mutlak adalah di tangan rakyat bagi menentukan nasib BN dalam setiap pilihan raya.

“Sebab itu saya selalu mengingatkan bahawa tiada guna kita menjadi popular di kalangan ahli parti sahaja tetapi tidak popular di kalangan rakyat.

“Kalau kita popular di kalangan ahli parti, kita boleh menang jawatan dalam parti. Tetapi sama ada parti kita relevan atau tidak, ia bergantung kepada sama ada kita boleh memenangi hati rakyat untuk menyokong BN," katanya.

Beliau berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-63 yang dihadiri 1,464 perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ini adalah kali pertama beliau berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN.

Ucapan selama kira-kira 25 minit itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV1.

Sepanjang ucapannya itu, beliau menerima tidak kurang 10 kali tepukan gemuruh daripada para perwakilan.

Najib menegaskan, semua pemimpin parti komponen BN harus sedar bahawa rakyat kini bukan lagi seperti masyarakat pada tahun 1950-an.

“Rakyat sudah cerdik dan pandai menilai dasar-dasar kita. Oleh itu, untuk parti komponen BN kekal relevan, kita mesti membina hubungan dengan rakyat dan menjadi pembela rakyat yang sebenarnya.

“Saya juga telah beri isyarat yang jelas dengan melakukan walkabout (lawatan tanpa berjadual). Kalau saya sebagai Perdana Menteri boleh buat ini, pemimpin-pemimpin lain pun boleh buat.

“Kita hendaklah sentiasa mendampingi orang ramai, merendah diri dan bersikap sederhana. Rakyat benci jika pemimpin angkuh, menyalahgunakan kuasa dan menunjukkan kekayaan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, mulai hari ini beliau telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk MIC iaitu parti itu mesti menarik kembali sokongan masyarakat India.

“Perkara lain tidak penting, yang utama ialah untuk memenangi semula sokongan masyarakat India.

“Buatlah kerja bersungguh-sungguh, jangan buat yang tidak patut dibuat. Bersikap merendah diri, pergi ke bawah dan beri khidmat kepada masyarakat India dan Malaysia seperti kata peribahasa, kalau ular menyusur akar, takkan hilang bisanya,” ujar beliau.

Najib juga menerima tepukan daripada perwakilan apabila menyatakan bahawa kerajaan akan menyediakan lebih banyak kemudahan kepada masyarakat India jika kaum itu memberi respons dalam bentuk sokongan besar kepada BN dalam pilihan raya.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Perdana Menteri melaung-laungkan kata-kata semangat, “Tunjukkan anda bersama-sama BN” sebanyak tiga kali dan disambut teriakan “Ya, ya” daripada perwakilan dan hadirin dan beliau kemudian menambah:

“Kita mempunyai peluang untuk menjadikan Malaysia negara yang hebat untuk semua kaum.”

Pada awal ucapannya, Perdana Menteri sempat mencuit hati perwakilan apabila menyentuh laporan Utusan Malaysia kelmarin mengenai Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan bekas timbalannya, Datuk S. Subramaniam yang masing-masing mendakwa mempunyai bom hidrogen dan nuklear.

“Sebelum saya datang pada pagi ini, saya sudah dengar heboh, kononnya ada bom nuklear dan bom hidrogen.

“Saya sudah meminta Unit Pemusnah Bom untuk membuat sweeping (pembersihan) dan mereka beritahu saya tidak ada bom dalam dewan di PWTC, jadi kita boleh bersidang dalam keadaan selamat,” katanya disambut dengan tepukan dan gelak ketawa perwakilan.

(Berita ini diambil dari Utusan Online, 13 September 2009)


***** *****


Lapor siasatan rumah mewah Khir, SPRM diberi tempoh 7 hari

Dzulfikar Mashoor

AMPANG, 12 Sept : Gerakan Rakyat integriti dan Anti Korupsi (Gerak Malaysia) memberi tempoh tujuh hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan perkembangan sisatan kes kediaman mewah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo yang didakwa bernilai RM20 juta.

Pengerusinya, Mohd Nazri Mohd Yunus semalam berkata, SPRM dilihat lambat bertindak sehingga tiada apa apa laporan dikeluarkan sejak kes itu dibangkitkan sejak tiga bulan lalu.

"Kami beri tempoh 7 hari untuk menyatakan perkembangan kes atau dakwaan, jika tidak Jumaat ini Gerak Malaysia akan hantar memorandum pada SPRM. Saya tuntut pendakwaan segera.� katanya.

Ujarnya lagi, SPRM perlu bertindak secara adil dan saksama; tanpa mengira seseorang yang didakwa itu dari Pakatan Rakyat atau pemimpin penting Umno sendiri.

Ditanya mengapa perlu tunggu tujuh hari untuk mengantar memo tersebut, Nazri menjelaskan bahawa pihaknya akan bersemuka dengan SPRM bukan untuk membuat pengaduan atau laporan, sebaliknya menunggu maklum balas siasatan berbangkit.

"Berkaitan banglo mewah Khir Toyo ini, kita sudah hantar dakwaan pada 7 Julai lalu; termasuk beberapa pendedahan laman web berkaitan dan sebagainya," jelasnya.

ImageSambil melahirkan kekesalan atas pendakwaan terpilih SPRM dalam kes Khir Toyo itu, beliau mempersoal komitmen luar biasa SPRM sebelum ini apabila agresif menyisat beberapa kes pendakwaan yang dikaitkan dengan pemimpin Pakatan Rakyat.

"Tentang kes Tan Sri Khalid (Menteri Besar Selangor) dan kes peruntukan Dun yang kita (Gerak) hantar, saya kira dalam tempoh dua minggu siasatan terus dimulakan. Mengapa tidak dalam kes Khir Toyo ini?" soalnya lagi.

Bercakap pada sidang media di Hotel De Palma, Nazri berkata, keengganan SPRM menyiasat kes Khir Toyo bukan sahaja mengakibatkan kredibiliti suruhanjaya itu terus dipertikai khalayak, malah turut mengakibatkan Gerak sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bebas juga terpalit difitnah sebagai "buat laporan terpilih" dan proksi Mohd Ezam Mohd Noor (Umno).

Beliau juga menjelaskan bahawa pertubuhannya mempunyai beberapa dokumen bukti berkaitan kes tersebut.

Pun begitu, beliau masih menunggu mana-mana saksi kes tersebut tampil bersamanya dalam pendakwaan kes Khir itu.

Beliau turut mencabar Khir menafikan segala pendedahan terbuka yang dilakukan oleh beberapa laman web termasuk oleh mereka yang bergelar Umno Reform.

Artikel berjudul Khir Perlu Jawab! dalam Umno Reform 2, 6 Julai lalu mendedahkan Istana gaya Bali yang terletak di Jalan 1/7L, Seksyen 7 Shah Alam bernilai lebih RM20 juta.

Walaupun SPRM masih belum membuat sebarang pendakwaan kes terbabit, khalayak amnya percaya seseorang ahli politik yang bersih sebenarnya tidak mampu memiliki rumah bernilai RM20 juta, dengan menjawat jawatan Menteri Besar Selangor selama dua penggal pemerintahan sahaja.

----------------------

BN mungkin akan ditolak seperti LDP - Dr M

Abdul Aziz Mustafa
Sat | Sep 12, 09 | 9:14:13 am MYT
KUALA LUMPUR, 12 Sept: Umno dan Barisan Nasional (BN) mungkin akan mengalami nasib yang sama seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun yang ditolak rakyat negara itu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Adakah pilihan raya yang akan datang akan menyaksikan fenomena yang sama seperti di Jepun? Ia tidak mustahil sama sekali," kata bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN itu.

Para pengundi muda, katanya, dikatakan kecewa dengan "parti yang mendapatkan kemerdekaan" kerana perkara itu telah menjadi sejarah dan tidak begitu bermakna kepada mereka.

Menurut beliau, di beberapa negara lain, parti-parti yang "berjuang dan mencapai kemerdekaan" telah hilang lenyap seolah-olah rakyat tidak tahu berterima kasih dan tidak peduli "pejuangan dan pengorbanan" parti-parti tersebut dan para pemimpinnya.

"Adakah mereka tidak tahu berterima kasih? Ada kebenarannya tetapi jika kita mahu mengkaji, kita akan dapati sikap para pejuang kemerdekaan itu dan mereka yang mengggantikan para pejuang tersebut telah berubah hampir sepenuhnya," kata beliau dalam blognya.

Mereka, kata Dr Mahathir, menjadi tamak dan angkuh serta tidak lagi mempedulikan negara dan rakyat.

Walaupun menyatakan bahawa para pengundi Melayu begitu setia kepada BN, tetapi Dr Mahathir mengingatkan wujudnya bukti di dalam pilihan raya umum tahun lalu bahawa para pengundi setia itu telah memberikan undi kepada pembangkang.

Menyentuh keadaan Umno kini, Dr Mahathir berkata, gejala yang melanda parti itu tidak boleh dinafikan lagi.

"Rasuah menjadi-jadi di dalam Umno dan parti-parti komponen (BN) yang lain. Perebutan kuasa telah melemahkan mereka. Para pemimpin begitu ghairah untuk terus berkuasa walaupun tidak lagi mampu berperanan.

"Dengan para pemimpin sedemikian, negara dan rakyat diabaikan. Pada dekad yang lepas, walaupun berdegar-degar dengan cakap-cakap bahawa berbilion ringgit diperuntukkan kepada koridor dan sebagainya, tidak ada bukti yang ketara dan boleh dilihat.

"Tidak ada apa-apa pun yang boleh ditunjukkan walaupun Petronas membayar RM250 bilion lebihan kepada kerajaan," katanya.

Adalah menghairankan, kata Dr Mahathir, apabila didapati Malaysia ketinggalan di belakang jiran-jirannya.

Negara ini, kata beliau, "bukan lagi negara yang terkehadapan di rantau ini. Tentunya tidak lagi boleh disifatkan sebagai negara contoh".

Beliau berpendapat, BN hanya boleh diselamatkan oleh prestasi lemah pembangkang.

"Tetapi, jika prestasi kerajaan BN dan parti-parti di dalamnya gagal meyakinkan, pera pengundi yang kecewa mungkin akan melakukan apa yang telah dilakukan para pengundi Jepun - menyingkirkan parti yang mereka sokong sejak lebih dari separuh abad," kata Dr Mahathir.

Tsunami revolusi pilihan raya di Jepun 30 Ogos lalu menyaksikan kemenangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) menyingkirkan pemerintahan Parti Liberal Demokratik (LDP) di negara itu sejak Perang Dunia Kedua.

Kehancuran kuasa LDP itu menyaksikan DPJ memenangi 308 dari 480 kerusi parlimen negara itu.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 13 September 2009)




No response to “BERITA”

Post a Comment