BERITA


Lelaki tiga isteri jadikan ipar hamba seks diburu

Oleh Jaafar Mulup
bhnews@bharian.com.my

GEMAS: Polis memburu seorang kontraktor yang mempunyai tiga isteri kerana dipercayai menjadikan adik iparnya berusia 13 tahun sebagai hamba seks sejak tiga tahun lalu

Lelaki berusia 53 tahun itu didakwa menawarkan pelbagai hadiah termasuk barangan berjenama dan wang bagi memujuk mangsa mengadakan hubungan seks setiap kali adik isteri ketiganya itu datang ke rumahnya pada cuti persekolahan.
Bagaimanapun, perbuatan lelaki itu akhirnya terbongkar apabila mangsa membuat pengakuan selepas didesak seorang lagi kakaknya sebelum membuat laporan di Balai Polis Gemas di sini pada hari raya kedua, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Zull Aznam Haron, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa, tetapi enggan mengulas kerana siasatan masih dijalankan.
Difahamkan, pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Jempol itu kali pertama dirogol abang iparnya pada Jun 2006 ketika mangsa berusia 10 tahun dan perbuatan itu tidak disedari isteri ketiga lelaki berkenaan yang berusia lingkungan 20-an.

Mangsa dikatakan diberi pelbagai hadiah, termasuk barangan berjenama dan wang bagi merahsiakan perbuatan itu.

Perbuatan lelaki itu bagaimanapun terbongkar selepas seorang lagi kakak mangsa, yang juga seorang guru, mengesyaki sesuatu apabila mendapati adiknya memiliki barangan mewah termasuk telefon bimbit ketika pulang bercuti sempena Aidilfitri.

Selepas didesak, mangsa akhirnya menceritakan perkara sebenar dan membuat laporan di Balai Polis Gemas di sini. Kakak mangsa turut membawa pelajar itu ke Hospital Tampin untuk pemeriksaan perubatan.

(Berita ini diambil dari Berita harian Online, 24 September 2009)


***** ******

Malaysia masih perlukan ISA

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Malaysia masih memerlukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang setaraf dengan emergency law (undang-undang darurat) bagi mengatasi masalah perkauman dan agama yang timbul dari semasa ke semasa.

Pandangan tersebut dikemukakan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah yang berpendapat tanpa ISA, kerajaan seolah-olah membiarkan negara berkecamuk pada masa depan.

‘‘Ini kerana unsur-unsur perkauman sedang membara sekarang ini. Saya lihat isu perkauman yang dimainkan orang politik tidak kira sama ada dari Barisan Nasional (BN) atau pembangkang, jika tidak terkawal akan menyebabkan negara menghadapi masalah.

‘‘Kita perlukan ISA. Apa yang berlaku baru-baru ini di Selangor seperti isu pemindahan kuil dan demonstrasi membawa kepala lembu adalah tanda-tanda yang negara akan menjurus kepada pergaduhan kaum dan agama,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

----------------------

Ciri bersih tidak cukup pastikan kemenangan BN - Noh Omar

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Beberapa pemimpin UMNO menyifatkan calon yang bersih tidak cukup untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Noh Omar berkata, faktor penerimaan masyarakat setempat terhadap calon juga perlu dijadikan kriteria utama pemilihan.

"Jika calon itu bersih sahaja tapi tidak mempunyai semangat berkhidmat kepada rakyat dan belum diakui kepimpinannya, ia boleh menjejaskan peluang kemenangan BN.

"Calon berkenaan mesti mampu menyatupadukan rakyat di kawasan yang diwakilinya dan parti," katanya semasa dihubungi oleh Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini yang menegaskan UMNO perlu memilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk bertanding di DUN Bagan Pinang.

Dr. Mahathir berkata, UMNO boleh mendapat majoriti besar pada pilihan raya kecil DUN tersebut yang merupakan kubu kuat parti jika memilih calon benar-benar bersih.

Mengulas lanjut, Noh berkata, soal calon di Bagan Pinang perlu diberikan perhatian teliti kerana ia banyak menyumbang kepada kemenangan BN.

"Sebagai sebuah parti yang tradisinya membela rakyat, seorang calon BN juga mesti mempunyai aspirasi berkenaan supaya kita mampu meraih kemenangan besar pada pilihan raya kecil itu nanti," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, beliau menghargai pandangan Dr. Mahathir namun dalam masa sama berpendapat, soal kepimpinan calon perlu diberikan perhatian.

"Bagi saya, ia tidak menjadi satu masalah besar jika seorang calon itu hanya pernah diberikan hukuman mengikut disiplin parti dan tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah.

"Saya yakin seorang pemimpin yang pernah dihukum akibat gejala politik wang, sudah mengambil pengajaran di atas hukuman yang pernah dikenakan pada atas dirinya," ujarnya.

Beliau memberi contoh bagaimana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mampu memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh walaupun mempunyai kes di mahkamah.

"Ia menunjukkan jika seorang calon sudah dikenali oleh masyarakat, mereka tetap akan yakin dengan pemimpin berkenaan walaupun berada di dalam penjara," katanya.

Ahmad juga memberitahu seorang pemimpin yang pernah bersalah akibat politik wang masih boleh diberikan peluang jika benar-benar insaf di atas perbuatan tersebut di samping telah menunjukkan kesetiaan kepada UMNO.

(Berita ini diambil dari Utusan Online, 24 September 2009)

***** *****

Tangkap anggota kabinet yang lulus kos tambahan tidak wajar PKFZ

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 24 Sept: Pihak polis sepatutnya menangkap anggota kabinet yang terlibat memberikan kelulusan yang membawa kepada peningkatan kos Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau kesal dengan tindakan polis membazirkan wang rakyat dengan membuang masa hendak memburu mereka yang terlibat membocorkan kertas kabinet mengenai perkara itu.

"Kenyataan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebelum ini bahawa dalam kes PKFZ, apa-apa yang boleh dimaklumkan akan dimaklumkan, tetapi (ia) bukan alasan untuk mendedahkan Kertas Kabinet membuktikan bahawa kertas kabinet yang didedahkan oleh Malaysia Today itu adalah dokumen tulen.

"Lebih dari itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat sendiri dipetik oleh akhbar Kwong Wah Yit Poh bahawa beliau tahu mengenai kebocoran tersebut sebelum menjadi menteri lagi.

"Polis jangan buang duit rakyat dengan menghabiskan masa untuk menyiasat siapa yang membocorkan kertas itu," kata Mahfuz.

Kesalahan kabinet meluluskan peningkatan kos PKFZ seperti yang dicatatkan oleh kertas tersebut adalah lebih besar dari dari kesalahan membocorkan kertas kabinet di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu bimbang sikap kerajaan dan polis membesar-besarkan isu kebocoran itu akan berakhir dengan dakwaan bahawa kertas yang disiarkan oleh Malaysia Today itu adalah dokumen palsu dan bukan kertas kabinet.

"Jika polis mendakwa kertas tersebut bukan kertas kabinet, akhirnya tidak ada siapa yang ditangkap kerana melakukan kesalahan meluluskan kos peningkatan PKFZ yang dibuat dalam bentuk syubhat dan bertentangan dengan peraturan kewangan kerajaan itu," katanya.

Beliau juga bimbang keghairahan polis membesar-besarkan isu kebocoran kertas kabinet itu bertujuan mengalihkan siasatan ke atas perkara yang sepatutnya disiasat, antaranya untuk menyiasat adakah benar Menteri Pengangkutan memberikan surat jaminan bagi beberapa penerbitan bon.

"Adakah polis akan menyiasat adakah benar perkara itu berlaku kerana jika ia berlaku, jaminan Menteri Pengangkutan itu boleh dianggap tidak sah kerana jaminan kerajaan hanya boleh dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan atas persetujuan jemaah menteri. Itu peraturan kewangan kerajaan," katanya.

Beliau juga menuntut polis menyiasat benarkah Menteri Pengangkutan telah mendapat kelulusan dasar Perdana Menteri untuk melaksanakan keseluruhan projek tersebut tanpa merujuk kepada agensi pusat sedangkan, setelah dilaksanakan projek tersebut didapati tidak berdaya maju dan kos projek pula telah meningkat kepada RM4,632,732,000.00 sedangkan anggaran kos asal hanya RM1.088 bilion sahaja.

"Polis juga sepatutnya menyiasat adakah pertambahan skop kerja yang melebihi RM100 juta dari kos asal sebanyak sebanyak RM1.088 bilion itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan atau tidak," katanya lagi.

Mahfuz melihat tumpuan polis untuk menyiasat kebocoran kertas kabinet itu semakin menguatkan jangkaan umum bahawa tidak ada siapa pun akan dihukum berikutan skandal PKFZ itu.

Semalam, perkembangan lebih mencurigakan berlaku apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menafikan laporan berita Bernama yang memetik beliau sebagai berkata bahawa ada menteri akan dipanggil bagi membantu siasatan kes penyiaran dan penyebaran kertas kabinet mengenai skandal PKFZ itu.

Bukit Aman dalam satu kenyataan di sini menjelaskan bahawa Musa tidak pernah menyatakan bahawa menteri akan dipanggil bagi tujuan itu ketika menghadiri satu majlis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pagi ini.

"Apa yang beliau (Musa) katakan adalah saksi atau individu akan dipanggil bagi membantu siasatan dan kenyataan mereka diambil," kata Penolong Pengarah Pengurusan bagi Hal Ehwal Awam ACP Lai Yong Heng dalam kenyataan itu.

Polis dijangka mengesan mereka yang dipercayai terlibat dalam kes penyiaran dan penyebaran Kertas Kabinet itu yang melibatkan isu PKFZ.

Penyiaran Kertas Kabinet itu di sebuah laman web, yang berkaitan projek PKFZ bernilai RM12.5 bilion telah mengundang kemarahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengecam tindakan itu, kerana dokumen berkenaan membabitkan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Kertas Kabinet 18 muka surat itu didakwa sebagai memorandum daripada Kementerian Kewangan pada Jun 2007, untuk mendapatkan persetujuan kabinet bagi memikirkan semula untuk meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM4.6 bilion bagi membiayai projek PKFZ.

Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik Lembaga Pelabuhyan Kelang (LPK) bagi menyiasat skandal PKFZ, menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan.

---------------------

Royalti: Kelantan tetap tuntut selagi tidak diberi

Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU, 23 Sept: Kerajaan Kelantan akan terus membuat tuntutan selagi tiada sebarang jawapan kepastian dari kerajaan pusat untuk membayar royalti minyak sejumlah RM1 bilion.

Menteri Besar ,Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, selain prosedur biasa, kerajaan negeri juga tidak akan berputus asa bermunajat pada Allah agar dilembutkan hati kerajaan pusat bagi menunaikan hak rakyat negeri itu.

Beliau ditemui di majlis Mesra Aidil Fitri Pimpinan Kerajaan Negeri bersama Anak-anak Kelantan diPerantauan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan Di Perantauan(Perakan) di Dewan Konvesyen Kelantan Trade Centre semalam.

"Rakyat Kelantan seharusnya bersabar dan diseru agar berdoa untuk melembut hati mereka agar dibayar tuntutan dan hak milik rakyat negeri ini" katanya.

"Kita tidak akan berputus asa dalam menuntut hak ini dan banyak lagi langkah yang akan diambil,tetapi yang penting sekarang ini ialah rakyat Kelantan bersabar dan terus berdoa" ujarnya lagi.

Menyentuh hubungan kerajaan negeri dengan Pusat,beliau berkata ia mesti diteruskan kerana Kelantan adalah sebahagian dari Kerajaan Pusat dan segala peruntukan hak negeri ini wajib disalurkan Pusat .

"Begitu juga dengan tuntutan yang kita buat ini, Tengku Razaleigh Hamzah, pengerusi pertama Petronas telahpun mengakui hal ini" jelasnya lagi.

ImageSementara itu ketika berucap meraikan perantau, beliau berharap rakyat negeri ini yang tinggal di merata negeri agar menjadikan konsep Membangun Bersama Islam dalam kehidupan harian mereka dan sentiasa menjaga maruah keluarga dan negeri ini.

"Saya amat berbangga kerana setiap kali musim Pilihanraya,rakyat negeri ini yang berada di luar sentiasa pulang memberi sokongan kepada kerajaan dan ini menggambarkan konsep Membangun Bersama Islam itu membawa erti yang besar kepada tuan-tuan semua"katanya lagi.

Kehadiran yang mencecah hampir 2000 anak Kelantan yang berada di luar menghadiri majlis tersebut adalah melambangkan sokongan padu mereka kepada kepimpinan Islam negeri itu.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Besar,Datuk Ahmad Yakob,Speaker Dun Kelantan Ustaz Nasrudin Haji Daud,Exco negeri, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Haji Shafie Ismail,Wakil Rakyat,Ketua Jabatan serta isteri masing-masing serta barisan Pimpinan PERAKAN yang diketuai oleh Timbalan Presiden Muhammad Radhi Yusof dan Setiausahanya Ir.Hamdzah Abdul Rahman.-mna _










No response to “BERITA”

Post a Comment