BERITA

Pas pertahan Hasan

Oleh Wan Jailani Razak
wanjai@bharian.com.my



Datuk Dr Hasan Mohamed Ali

Kedudukan Pesuruhjaya, Exco Selangor tak boleh dipertikai

SHAH ALAM: Pas Selangor sentiasa menghormati dan akan terus mempertahankan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai Pesuruhjaya parti itu serta Ahli Exco negeri.

Parti itu menegaskan jawatan Pesuruhjaya Pas dilantik Presiden parti, manakala pelantikan Exco dibuat oleh Ketua Eksekutif Selangor dan kerana itu perkara berkenaan tidak layak dipertikaikan mana-mana pihak.

Ini adalah antara enam ketetapan yang dicapai sebulat suara oleh 60 pemimpin Pas Selangor pada mesyuarat khasnya di sebuah hotel di sini, semalam.

Mesyuarat itu diadakan berikutan desakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) termasuk di kalangan wakil rakyat Pas sendiri supaya Hasan meninggalkan PR Selangor kerana mengkritik secara terbuka Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Yang Dipertua Pas kawasan Shah Alam, Khalid Samad, dilaporkan berkata, wakil rakyat Pas dan penyokong parti itu sepatutnya membuat penilaian terhadap tindakan Hasan yang dilihat sentiasa bertentangan dengan dasar kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago daripada DAP pula meminta Hasan meninggalkan PR jika tidak lagi mampu bekerjasama secara berkumpulan dengan wakil rakyat dalam pakatan itu.

Pada mesyuarat khas itu, Pas Selangor turut mengambil ketetapan memperakui pandangan Hasan berhubung cadangannya mengenai penambahbaikan dan prosedur pendengaran awam Selcat.

Ketetapan berkenaan dibacakan sendiri oleh Hasan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kira-kira tiga jam itu, yang turut dihadiri Khalid.

Ketetapan lain ialah:

  • Menerima dan bersetuju dengan pandangan Pesuruhjaya Pas yang mana penubuhan Selcat penting bagi menjaga prinsip keamanahan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan negeri. Agensi seperti ini boleh berjalan dengan baik dan teratur jika cadangan Pesuruhjaya Pas diambil kira.
  • Meminta kerajaan negeri segera mengambil langkah positif untuk mengkaji cadangan penambahbaikan perjalanan dan pelaksanaan Selcat bagi menjamin kewibawaan Selcat dan dihormati rakyat.

  • Menegaskan akan terus berada bersama kerajaan PR dan perkara itu tidak harus dipertikaikan. Pas Selangor dengan ini bersetuju sebulat suara sehingga kini tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan yang bermaksud meninggalkan kerajaan PR Selangor, dan

  • Pas Selangor ingin menyatakan pendiriannya bahawa hubungan kerajaan negeri dan pegawai mesti berada di peringkat terbaik bagi menjamin kelancaran pentadbiran dan pembangunan negeri ini. Semangat hormat menghormati dan setia kawan antara kedua-dua pihak mesti dipertahankan.

    Hasan berkata, isu yang timbul berikutan cadangannya supaya prosedur Selcat ditambah baik sudah dibincangkan di peringkat dewan harian dan mesyuarat Perhubungan Pas peringkat negeri semalam mengesahkan pendiriannya senada dengan isi hati pemimpin serta penyokong Pas.

    Ditanya bagaimana isu itu boleh timbul, Dr Hasan berkata, ia mungkin disebabkan kesilapannya yang tidak dapat membezakan di antara dasar dan kaedah, tetapi yakin apa yang mahu dibangkitkannya bukan polisi, tetapi prosedur.

    "Teman yang mengulas sama ada dari dalam Pas dan luar parti mungkin sebahagian mereka tidak mendapat maklumat tepat mengenai cadangan saya untuk memperbaiki Selcat supaya ia dipandang sebagai satu organ kerajaan yang bermartabat dan dihormati rakyat.

    "Bagaimanapun, selepas berbincang tiga jam, apa yang dimaksudkan itu difahami. Apabila Yang Dipertua Kawasan faham, ia akan disalurkan ke cawangan bagi membolehkan ahli boleh faham. Apabila mereka faham, saya berasa ini bukan lagi masalah," katanya.

    Sementara itu, Khalid ketika ditemui berkata, beliau secara peribadi tetap berpendapat cadangan Dr Hasan mengenai penambahbaikan Selcat tidak sepatutnya dibincangkan secara terbuka.

    Ditanya sama ada tindakan disiplin terhadap Dr Hasan turut dibincangkan pada mesyuarat itu, beliau berkata, ia tidak disentuh kerana ia adalah perbincangan di peringkat Pas Pusat.

    "Bagaimanapun, ia adalah satu mesyuarat yang `lively'. Saya rasa secara am kita mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Ini boleh dilakukan dan perubahan pada Selcat akan dikemukakan pada Exco," katanya.

  • --------------------------------

    Iran uji peluru berpandu



    PRESS TV menyiarkan pelancaran peluru berpandu jarak dekat Iran semalam.

    Tunjuk kekuatan selepas isu nuklear cetus kemarahan Barat

    TEHERAN: Iran menguji tiga peluru berpandu jarak dekatnya semalam selepas memulakan latihan perang, dua hari selepas pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan negara Teluk itu sedang membina loji pengayaan uranium kedua.

    Selain itu, satu ujian peluru berpandu jarak jauh Shahab 3 dengan jarak sasaran 1,300 hingga 2,000 kilometer yang mampu sampai ke Israel juga akan dilancarkan hari ini, kata panglima tentera udara Pengawal Revolusi Iran, Hossein Salami.

    “Esok (Isnin) kami akan menguji peluru berpandu jarak jauh Shahab,” katanya kepada saluran televisyen bahasa Inggeris Press TV, merujuk kepada Shahab 3.

    Beliau juga berkata, Pengawal Revolusi menguji beberapa peluru berpandu buat kali pertama semalam ketika peluru berpandu jarak sederhana Shahab-1 dan Shahab-2 dilancarkan.

    Hossein menggelar latihan perang peluru berpandu sebagai menunjukkan keinginan kuat Iran mempertahankan nilai dan kepentingannya.

    “Kami mempertingkatkan ketepatan peluru berpandu dengan harapan ujian ini akan menyumbang kepada tentangan dan keupayaan mempertahankan diri,” katanya.

    Beliau menjelaskan, Pengawal Revolusi tidak akan melancarkan mana-mana peluru berpandu jenis baru ketika latihan yang dijangka berlangsung beberapa hari, namun menambah Iran sudah menambah bilangan peluru berpandu dan mampu bertahan dalam konflik membabitkan peluru berpandu jarak jauh.

    Terdahulu, saluran Al-Alam dan Press TV milik kerajaan melaporkan, tiga peluru berpandu jarak dekat yang dilancarkan adalah daripada jenis Tondar-69, Fateh-110 dan Zelzal.

    Semua tiga senjata api menggunakan bahan api pepejal mempunyai jarak antara 150 dan 200 kilometer. Press TV menyiarkan rakaman peluru berpandu itu di kawasan bukit padang pasir.

    Pelancaran peluru berpandu itu dilakukan selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, membuat keputusan awal bulan ini untuk membatalkan perlindungan pertahanan di Eropah yang dipromosi bekas Presiden George W Bush.

    (Berita ini diambil dari Berita Harian Online - AFP, 28 September 2009)

    No response to “BERITA”

    Post a Comment