BERITA

Pelalian percuma elak barah

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my


MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (tiga dari kanan), melawat sekitar kawasan kenderaan klinik bergerak selepas melancarkan Klinik Bergerak Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) dan kempen kesedaran kesihatan di perkarangan Wisma MCA di Kuala Lumpur, semalam. Turut serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua CRSM Kebangsaan, Senator Datin Paduka Chew Mei Fun (lima, kanan). - Foto Bernama

Remaja perempuan 13 tahun diberi suntikan cegah kanser pangkal rahim

KUALA LUMPUR: Semua remaja perempuan berusia 13 tahun di seluruh negara akan diberikan pelalian human papillomavirus (HPV) secara percuma bagi mencegah dijangkiti barah pangkal rahim, mulai tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata program dengan peruntukan RM150 juta itu membabitkan 300,000 remaja perempuan setiap tahun, dijangka mampu mengurangkan sehingga 70 peratus kes barah pangkal rahim di negara ini.

Beliau berkata, pelalian dijangka diberikan di sekolah dengan setiap pelajar perlu mengambil tiga dos vaksin yang mempunyai kadar keberkesanan sehingga 98 peratus untuk mencegah virus HPV jenis 16 dan 18.

"Program seperti ini dilakukan di negara maju seperti Perancis, Taiwan, Australia dan Itali kepada remaja berusia antara 11 tahun hingga 14 tahun, iaitu purata umur sebelum mereka terdedah kepada aktiviti seks," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Bergerak Skuad Menangani Krisis MCA (CRSM) dan kempen kesedaran kesihatan di Wisma MCA, di sini semalam.
Beliau juga berkata, usaha itu sangat praktikal kerana kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2007 menunjukkan kerajaan membelanjakan kira-kira RM382 juta setahun merawat pesakit barah pangkal rahim, berbanding RM150 juta untuk mencegah penyakit itu.

Katanya, pemberian vaksin secara percuma juga dapat mengurangkan harga di pasaran yang kini mencecah RM1,200 bagi setiap tiga dos.

"Harga vaksin di pasaran terlalu mahal dan menyebabkan ramai wanita tidak mengambilnya. Justeru, kementerian akan berbincang dengan syarikat vaksin untuk mengurangkan harga sehingga RM500 tahun depan dan pembelian vaksin secara pukal untuk program pelalian oleh kerajaan diharap dapat mengurangkan harga pasaran," katanya.

Liow berkata, kanser pangkal rahim adalah kanser kedua paling banyak berlaku di kalangan wanita selepas kanser payu dara dengan hampir 2,000 kes baru dilaporkan setiap tahun atau 16.1 peratus bagi setiap 100,000 wanita.
Katanya, wanita keturunan Cina dikenal pasti berisiko paling tinggi berbanding kaum lain.

"Wanita Cina mempunyai kadar insiden 23.2 peratus bagi setiap 100,000 wanita berbanding wanita India, 16.4 peratus dan Me-layu dengan 8.7 peratus," katanya.
Beliau juga menasihatkan wanita tempatan membuat pemeriksaan awal untuk mengesan segera penyakit itu kerana kadar penyembuhan lebih tinggi berbanding mereka yang lewat mendapatkan rawatan.
"Wanita perlu menjalani pemeriksaan Pap Smear secara berkala. Kejayaan kaedah ini terbukti di United Kingdom di mana insiden kanser pangkal rahim menurun 42 peratus di antara 1988 hingga 1997. Pemeriksaan Pap Smear dilakukan setiap tiga tahun bagi wanita 25 tahun hingga 49 tahun dan setiap lima tahun bagi umur 50 hingga 64 tahun," katanya.

---------------------

Penulis buku jihad dipenjara

SYDNEY: Seorang bekas kakitangan penerbangan Australia dipenjara sembilan tahun kerana menghasilkan buku yang memberi panduan untuk pembaca yang berminat melakukan jihad termasuk cara membuat bom, membunuh dan menembak jatuh pesawat.

Bekas pembersih kabin Qantas, Belal Khazaal ditahan pada Jun 2004 selepas mengeluarkan buku berbahasa Arab bertajuk Peraturan Jihad: Perintah Hukuman Ringkas dan Panduan Organisasi bagi Pejuang dan Mujahidin Menentang Kafir.

Belal, 39, yang berasal dari Lubnan menghasilkan buku setebal 110 halaman termasuk senarai bunuh yang menamakan bekas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush serta ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA), George Tenet selain menjelaskan cara membuat surat bom, jerangkap samar dan menculik.

Belal ditahan kurang setahun selepas menjalani hukuman kerja berat selama 10 tahun oleh sebuah mahkamah Lubnan kerana didakwa terbabit dalam membiayai serangan bom di sebuah restoran McDonald's di Beirut.

Beliau menafikan buku berkenaan bertujuan mencetuskan perbuatan ganas tetapi didapati bersalah oleh Mahkamah Agung September lalu kerana membuat dokumen berkaitan pembunuhan.
Hakim Megan Latham menyifatkan buku berkenaan sebagai manual latihan keganasan yang menggalakkan perbuatan membunuh, kecederaan dan kehilangan harta benda yang serius.

------------------

Jenazah Noordin diserah kepada isteri pertama

JAKARTA: Jenazah ketua militan, Noordin Mohammed Top akan dibawa pulang ke Malaysia minggu depan, kata ketua polis Indonesia, Bambang Hendarso.

“Pada Khamis ini, insya Allah, keluarga Noordin akan datang ke sini untuk membawa pulang jenazahnya ke Johor,” kata beliau kepada wartawan.

Noordin, 41, yang mengetuai kumpulan radikal Jemaah Islamiah (JI), terbunuh bersama tiga militan lain dalam kepungan dan pertempuran selama sembilan jam di Jawa Tengah minggu lalu.


Polis memberitahu awal minggu ini bahawa mereka mengambil keputusan menyerahkan jenazah Noordin kepada isteri pertamanya di Malaysia, Rahmah Rusdi. Mereka mempunyai tiga orang anak.

Permohonan dua wanita lain yang dikahwini Noordin ketika dalam pelarian di Indonesia sebelum ini, ditolak polis Indonesia berikutan perkahwinan mereka tidak pernah didaftarkan secara rasmi.

Polis turut mengumumkan tiga orang yang ditahan dalam serbuan minggu lalu berhampiran kota Solo, secara rasmi dinamakan sebagai suspek dan ia membolehkan mereka ditahan untuk tempoh lebih lama.

Jurucakap polis, Nanan Soekarna berkata, Supono alias Kedu, berdepan dakwaan melakukan keganasan kerana membantu Noordin dalam rancangan mengebom kediaman Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menggunakan bom trak, tetapi gagal.

Seorang lagi suspek dikenali sebagai Bejo, berdepan dakwaan melindungi Noordin, manakala Putri Munawaroh, isteri kepada seorang militan yang terbunuh dalam serbuan sama, turut berdepan tuduhan melindungi Noordin.

Kematian Noordin mengakhiri pemburuan pihak berkuasa keselamatan Indonesia ke atas ketua pertubuhan yang pernah dilabelkan sebagai ‘al-Qaeda di kepulauan Melayu’. - AFP


(Dua berita ini diambil dari Berita Harian Online, 26 September 2009)


*****************


Rasuah: Malaysia merudum lagi, negara Islam tercorot
Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketika Pulau Pinang diiktiraf kerana usahanya memerangi rasuah oleh Transparency International (TI), Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke 43 pada tahun 2007.

Malah, kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel yang dilabel sebagai entiti haram pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45.

Paling mendukacitakan ialah apabila indeks yang dikelaurkan oleh TI itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah.

Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga paling bawah. Somalia berada di kedudukan tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173.

Negara yang berada di tempat teratas ialah Denmark diikuti oleh New Zealand, Sweden dan Singapura.

Di Malaysia, negara menanggung kerugian sebesar RM10 bilion setahun akibat rasuah - iaitu jumlah yang mencukupi untuk membina lebih dari 150,000 kos rendah jika diambilkira permohonan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) kepada kerajaan untuk menaikkan harga rumah kos rendah kepada RM60,000.

Dalam laporannya, TI membangkitkan amalan keluar masuk yang berterusan di antara bidang politik dan perniagaan di mana pihak tertentu bertukar-tukar tempat dari kedudukan sebagai ahli politik kepada ahli perniagaan atau dari ahli perniagaan kepada ahli politik dan terus keluar masuk di antara kedua-dua bidang itu.

Keadaan itu, menurut TI, mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada konsep semak dan imbang.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa hubungan serba kompleks antara politik, sektor awam dan sektor swasta itu mungkin mengakibatkan rasuah berlaku dengan bebas tanpa sebarang hukuman.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik.

Low berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula tidak memperlihatkan hasil yang diinginkan dan orang ramai menganggap suruhanjaya itu mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan secara berpilih-pilih.

Satu-satunya sisi yang positif dari laporan tersebut mengenai Malaysia ialah pengiktirafan yang diberikan kepada kerajaan Pulau Pinang dalam memerangi rasuah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan pihaknya menerima pujian itu dengan rendah hati.

Beliau juga mengumumkan bahawa Pulau Pinang berjaya mengurangkan RM36 juta atau 12 peratus perbelanjaan operasi hasil usaha memerangi rasuah itu. _

(Berita - berita ini diambil dari Harakah Daily, 26 September 2009)



No response to “BERITA”

Post a Comment