BERITA

Kerajaan setuju bayar RM50,000 gantirugi kepada Mustafa Ali
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 7 Sept: Polis dan kerajaan Malaysia mengaku bersalah kerana menahan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (ketika itu Pengarah Pilihanraya PAS) di bangunan Parlimen hampir dua tahun lalu.

Ekoran itu, mereka bersetuju membayar gantirugi kepada beliau sebanyak RM50,000 hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini merekodkan persetujuan kerajaan itu kerana menahan beliau di bangunan Parlimen pada 11 Disember 2007.

Hakim P.S. Nathan merekodkan persetujuan itu ekoran saman yang dikemukakan oleh Mustafa kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Mustafa yang datang ke Dewan Rakyat untuk mendengar perbahasan untuk menolak cadangan melanjutkan tempoh jawatan Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman.

Beliau telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis. Di sana beliau telah ditahan selama tiga jam setengah mulai jam 1 hingga 4.30 petang.

Mustafa diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat manakala pihak defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Tuan Rosli Ahmad.

Dalam insiden penangkapan itu, Mustafa telah diheret dengan kasar dan secara kurang ajar oleh dua orang polis.

Image(Gambar: Inilah aksi ketika Mustafa ditahan dahulu. Kerajaan setuju bayar gantirugi kepada Mustafa kerana kejadian ini)

Mustafa dan beberapa orang pimpinan PAS serta aktivis Bersih berada di hadapan bangunan Parlimen ketika itu untuk menyerahkan satu memorandum kepada Anggota Parlimen mengenai tuntutan pilihanraya yang bersih dan adil.

Di samping beliau, turut ditahan adalah Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi, Dr Lo' Lo Haji Ghazali; Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Dr Mohd Nasir telah ditangkap oleh pihak polis.

Terdahulu, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua telah ditangkap dalam jarak 200 meter dari tempat kawalan pihak polis.

Mustafa yang ketika itu sedang memasuki pintu Parlimen, telah ditahan oleh dua anggota polis berpakaian preman dan meminta beliau menyerahkan diri kerana didakwa terlibat dengan pelanggaran satu perintah mahkamah.

Bagaimanapun Mustafa yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu menyatakan kehadirannya di Parlimen adalah sebagai tetamu Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar dan sekadar memerhati perbahasan yang berlangsung.

"Apa perintah mahkamah terhadap saya? Bacakan dan arahkan 'superior' awak untuk datang bacakan dan saya akan pergi dengan sukarela tetapi bukan dengan secara kasar begini," kata beliau memarahi pegawai polis yang ingin menangkapnya itu.

Turut hadir segera mempertahankan Mustafa Ali ialah Datuk Kamaruddin Jaffar, Lim Kit Siang, Kunasegaran, Chong Eng dan beberapa ahli Parlimen DAP yang lain.

Namun perbincangan 'hangat' yang berlangsung selama 15 minit itu akhirnya menemui jalan buntu dan lima anggota polis secara kasar memaksa Mustafa untuk ke van polis yang diletakkan berhampiran pintu parlimen.

Turut menyaksikan situasi gawat itu ialah beberapa ahli parlimen BN dan puluhan orang ramai yang berada di kawasan tersebut.

"Don't touch me. Be gentlemen and be nice. Hormati Parlimen ini!" kata Mustafa yang bergelut dengan polis terbabit.

Mustafa bagaimana pun terus di bawa van polis dan seterusnya ke balai polis.

-----------------------

Isu Kartika: Mudahnya undang-undang Islam dikelirukan
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 7 Sept: Kecelaruan yang timbul dalam hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32 atas kesalahan minum arak memperlihatkan betapa mudahnya undang-undang Islam di Malaysia dikelirukan.

Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh berkata, hukuman yang masih gagal dilaksanakan dengan alasan pihak yang bertanggungjawab tiada pengalaman walaupun Kartika sendiri sudah bersedia untuk menghadapinya menunjukkan sikap pemerintah yang tidak bersungguh dalam usaha menegakkan undang-undang Islam.

"Kes kartika ini jelas menunjukkan bahawa sebenarnya Umno bukan menjaga agama Islam tapi menjaga selera mereka sendiri. Ini juga merupakan satu tamparan kepada cerdik pandai Islam di negara kita untuk melihat kembali bagaimana mudahnya undang-undang Islam diperkotak-katikkan,"katanya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Nuridah bersama rombongan Dewan Muslimatnya telah berkunjung ke rumah keluarga Kartika di Kampung Jawang, Sungai Siput Khamis lalu. Turut serta beberapa muslimat lain termasuk dari Dewan Muslimat Negeri Perak sendiri.

Hukuman sebat ke atas Kartika ditangguhkan kerana sekarang dalam bulan Ramadhan. Selepas itu didedahkan hukuman itu ditangguhkan kerana tidak ada tukang sebat untuk undang-undang Syariah.

Kemudian apabila prosedur rayuan hendak dibuat, didedahkan pula bahawa negara ini belum ada penal rayuan syariah .

ImageNuridah turut kesal mendengar cerita Kartika mengenai tawaran peguam kepadanya untuk menyelesaikan kesnya di luar mahkamah.

Menurut Nuridah, Kartika memberitahu bahawa peguam ada menawarkan kepadanya untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah dengan syarat Kartika membayar RM2,000 kepada mahkamah dan tidak perlu hadir ke mahkamah apabila dipanggil untuk perbicaraan.

Dengan berbuat demikian, kes itu akan ditutup dan Kartika terlepas daripada dibicarakan. Menurutnya, 13 orang lagi yang ditangkap bersamanya ketika melakukan kesalahan yang sama melakukan perkara itu.

Dia bagaimanapun, enggan berbuat demikian sebaliknya bersedia untuk dibicarakan.

Beliau turut memuji sikap Kartika yang berani mengaku salah dan sanggup menerima hukuman di atas kesalahannya hatta dihukum di khalayak ramai sekalipun.

"Saya puji sikap Kartika yang sedia dengan hukuman itu. Setelah berjumpa sendiri dengan dia (Kartika) sebenarnya Kartika bersedia untuk menerima enam sebatan tersebut.

"Pada kartika perkara tersebut tidak perlu ditangguh, dan dia minta hukuman tersebut segera dijalankan," katanya.

Ditanya bagaimana keadaan Kartika ketika dikunjungi, Nuridah berkata, ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan itu kelihatan tenang dan bersahaja menerima kunjungan beliau.

"Saya nampak dia tenang sahaja. Tak adalah trauma cuma nampak keletihan sedikit sebab masa kami datang dia baru balik. Tapi dari sudut mental, ustazah tengok dari jawapan-jawapan dia, dia sebenarnya bersedia. Tak nampak macam dia takut untuk melalui hukuman tersebut," ujar Nuridah lagi.

Beliau turut meletakkan harapan agar Kartika dapat menjadikan peristiwa yang berlaku itu sebagai pengajaran kepada dirinya dan benar-benar insaf serta bertaubat kepada Allah SWT.

"Nasihat saya kepada Kartika dan juga kepada mereka yang minum arak, segeralah bertaubat minta ampun kepada Allah kerana peraturan tak boleh minum arak adalah ketentuan Allah. Jadilah hamba yang taat kepada Allah InsyaAllah kita akan bahagia," nasihatnya.

(Berit aini diambil dari Harakah Daily, 8 September 2009)



No response to “BERITA”

Post a Comment