BERITA


Bantuan khas Aidilfitri

KUALA LUMPUR 9 Sept. – Kerajaan mengumumkan pembayaran bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada kakitangan awam kumpulan sokongan bagi membantu mereka menghadapi Aidilfitri dan sesi persekolahan akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, bayaran itu akan dibuat dua kali iaitu RM250 sebelum Aidilfitri dan bakinya pada Disember ini.

Menurutnya, bantuan khas kewangan itu akan memanfaatkan 860,000 kakitangan awam dalam kumpulan tersebut.

“Implikasi kewangan kepada kerajaan bagi bayaran tersebut adalah sebanyak RM430 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri menambah, keputusan itu diambil setelah mengambil kira kebajikan kakitangan awam dalam kumpulan itu terutama bagi meringankan beban kos persediaan musim perayaan dan persediaan persekolahan hujung tahun ini.

Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan menimbangkan ‘duit raya’ atau bonus kepada penjawat awam dalam pengumuman Bajet, Oktober ini.

Menurut presidennya, Omar Osman, pihaknya bersetuju jika Elaun Sara Hidup (COLA) tidak dapat dinaikkan memandangkan keadaan ekonomi yang lembap ketika ini.

“Tetapi tetapi kita harap biarlah dalam musim perayaan nanti kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini menikmati ’duit raya’,” katanya.

Malah, Omar dilaporkan memberitahu, perbincangan mengenai bonus itu telah diadakan menerusi dalam mesyuarat tertinggi kongres tersebut dan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Tahun lalu, dua juta kakitangan awam negara ini menerima bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 dalam pembentangan Bajet 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.


------------------


Tiada lagi rundingan politik

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Pas tidak akan berunding dengan UMNO dalam soal kerjasama politik tetapi terbuka untuk berbincang dalam mengukuhkan kerjasama Kerajaan Pusat dan negeri serta yang melibatkan kepentingan negara dan ummah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, Pas dari dulu lagi tidak pernah meletakkan batasan dalam berunding berkaitan hubungan Pusat dan negeri yang diperintah Pas serta soal kepentingan umum seperti dalam isu Palestin dan bahasa.

Tegasnya, justeru apa yang tidak akan dirundingkan dengan UMNO adalah soal kerjasama politik kerana pendirian Pas pada waktu ini ialah untuk meneruskan kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Ada tiga dimensi dalam soal kerjasama Pas dengan mana-mana pihak. Pertama politik, pilihan raya hingga membentuk kerajaan, kedua hubungan 'federalisme' dan ketiga kepentingan umum serta ummah.

"Yang pertama dari segi politik, itu memang tak ada lagi rundingan dengan UMNO kerana dasar kita waktu ini adalah bersama pakatan.

"Dalam soal hubungan antara Kerajaan Pusat yang diterajui UMNO dengan negeri ditadbir Pas dan libatkan kepentingan umum, negara dan ummah seperti isu Palestin, ini Pas dengan sesiapapun boleh berbincang termasuk UMNO," katanya kepada pemberita di pejabat Pas di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad.

Mustafa mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin yang mengulangi kesanggupan sedia berunding dengan Pas bagi melihat masa depan umat Islam terus terbela dan dipertingkatkan.

Bagaimanapun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam reaksinya semalam menyifatkan rundingan antara UMNO dan Pas telah tertutup kecuali yang berkait soal pemberian royalti kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, Mustafa yang ditanya mengenai pandangan Nik Aziz dalam isu tersebut berkata, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu hanyalah bersifat secara umum.

Katanya, walaupun Nik Aziz tidak menyentuh kerjasama Pas secara tiga dimensi seperti yang diulas beliau, namun boleh difahami bahawa yang disifatkan tertutup itu hanyalah dalam rundingan membentuk kerjasama politik.

"Beliau tak bagi tiga dimensi, sebut secara umum saja tapi disebut juga kerajaan dengan kerajaan dia kata boleh (runding) tapi yang politik dia kata tak boleh. Kalau nak bincang bab royalti, itu boleh... samalah," jelasnya.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, beliau sebenarnya sukar untuk memahami secara tepat apa yang dimaksudkan oleh Najib dalam kesediaannya untuk berunding dengan Pas.

Katanya, apa yang pasti jika rundingan yang dimaksudkan dalam konteks hubungan kerajaan Pusat dengan negeri yang diperintah Pas maka ia bukan saja perlu ada malah perlu dipertingkatkan untuk kepentingan rakyat.

"Banyak perkara berkait pembangunan... peruntukannya daripada Pusat kerana negeri tak ada dana yang banyak sebab hasil Pusat datang daripada pelbagai cukai.

"Tanggungjawab Pusat itu besar dan sudah tentu perlu ada perbincangan antara pemimpin UMNO yang menerajui Pusat dengan pemimpin Pas yang memerintah negeri berkenaan. Itu tak jadi masalah," ujarnya.

(Berita ini diambil dari Utusan Online, 10 September 2009)


******


Bagan Pinang: Salahudin pengarah, Pakatan serah PAS pilih calon

Zulkifli Sulong
Wed | Sep 09, 09 | 9:05:59 pm MYT
KUALA LUMPUR, 9 Sept: Selepas PAS melantik Naib Presidennya, Salahudin Ayub sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Telok Kemang, Pakatan Rakyat Negeri Sembilan pula memutuskan PAS akan bertanding di kerusi itu.

Keputusan melantik Salahudin dibuat oleh Lajnah Politik PAS yang bersidang di sini Isnin lepas. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Di Seremban, keputusan memberi mandat kepada PAS untuk meletakkan calon di situ dibuat dalam mesyuarat bersama PAS, PKR dan DAP.

Dalam sidang media bersama mereka, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar memaklumkan keputusan itu.

Turut serta dalam mesyuarat itu adalah Ketua Perhubungan PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Pengerusi DAP negeri yang juga Anggota Parlimen Rasah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Loke Siew Fook.

Datuk Kamarul yang juga anggota Parlimen Telok Kemang berkata, PKR akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana calon yang dipilih oleh PAS.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Telok Kemang meminta agar calon PKR diletakkan dalam pilihan raya kecil itu.

Image(Gambar: Tokoh-tokoh penting di Bagan Pinang. Dari kiri Isa (Ketua Umno Bahagian), Ramli Ismail (YDP PAS), Husam (AJK PAS) dan Zulkefli (PJ PAS Negeri)

Dalam pilihanraya umum tahun lepas, Azman Mohd Nor, 54, yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi 6,430 menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi. Majoriti kemenangan adalah 2,333.

Halangan besar calon Pakatan dalam pilihanraya ini adalah undi Pos yang melebibihi 5,000 orang atau kira-kira 30 peratus dari pengundi kawasan ini.

Sementara itu, PAS Negeri Sembilan dikatakan mempunyai empat nama untuk menjadi calon di sini.

Mereka adalah Zulkefli sendiri di samping bekas Pesuruhajaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob, Ketua Dewan Ulama negeri, Kassim Tahir dan bekas calon dalam pilihan raya lalu, Ramli Ismail. Ramli adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Telok Kemang.

Di pihak Barisan Nasional pula, nama bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad disebut-sebut bakal menjadi calon.

Namun menurut satu sumber lain, bagi meringankan tekanan kepada calon yang mempunyai rekod tidak baik itu, nama anak beliau Mohd Najib disebut-sebut sebagai ganti.

Keputusan untuk menyerahkan kepada Umno Telok Kemang yang dipimpin Mohd Isa untuk membuat keputusan menamakan calon di situ dibuat oleh Datuk Seri Mohamad Hassan, MB Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.


--------------


Peguam Negara perlu jaga keselamatan rakyat - MB Selangor
Harakahdaily
Wed | Sep 09, 09 | 4:53:21 pm MYT
SHAH ALAM, 9 Sept: Kerajaan Negeri Selangor meminta Peguam Negara bukan hanya perlu menjaga kepentingan SPRM sahaja tetapi juga kepentingan dan keselamatan 18,312 pegawai dan kakitangan Negeri Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, Kerajaan Negeri Selangor komited dalam melindungi kepentingan dan keselamatan semua pegawai dan kakitangannya.

Sehubungan itu, katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, setelah mendapat persetujuan EXCO, telah mengeluarkan Pekeliling No. 4 bertarikh 22 Julai 2009 yang menyatakan bahawa Pegawai dan Kakitangan perlu memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di antara 8.00 pagi sehingga 6.30 petang di dalam pejabat masing-masing dan dengan diberi akses kepada khidmat guaman.

Malangnya, kata beliau, keputusan ini ini telah ditentang oleh Peguam Negara Malaysia yang telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Ogos 2009 untuk membatalkan pekeliling tersebut.

"Saya sebagai Menteri Besar dan bagi pihak Kerajaan Negeri telah pun menjawab afidavit Peguam Negara dan antara lain telah menyenaraikan kes-kes penyiasatan dan soal-siasat yang telah dilakukan oleh SPRM di semua peringkat.

"Ia bermula dengan saya, sebagai (i) Menteri Besar, (ii) Pegawai Kewangan Selangor (iii) pekerja-pekerja di Pejabat Menteri Besar (iv) Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) dan (v) pembantu mereka, (vi) Ahli Dewan Negeri Selangor, (vii) kakitangan awam di Pejabat Tanah dan Daerah dan Majlis Perbandaran di negeri Selangor dan juga (viii) kakitangan Syarikat-syarikat Negeri dan anak-anak syarikatnya," katanya.

Siasatan yang dijalankan, katanya, akan dibuat secara mengejut tanpa mengira masa, sehingga ada yang melewati tengah malam dan keesokan harinya.

"Malah, saya juga telah memperincikan bagaimana siasatan SPRM telah dilakukan secara rambang sehingga kerapkali berlaku pemancingan bukti semata-mata," katanya.

ImageSelain daripada afidavit tersebut, Kerajaan Negeri Selamgor juga telah memfailkan satu Saman Dalam Kamar juga di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membatalkan permohonan Peguam Negara.

"Kami berasa perlu membuat permohonan ini kerana, kami berpendapat, antara lain, Peguam Negara tiada locus standi untuk memulakan prosiding ini yang sepatutnya dimulakan oleh SPRM," katanya.

Beliau menyatakan bahawa Seksyen 30 Akta SPRM yang membenarkan para pegawai SPRM menyoal siasat pada bila-bila masa dengan menggunakan apa cara sekalipun perlu dilaksanakan dengan mengambil kira hak-hak di bawah Perlembagaan dengan pendekatan penyiasatan yang professional.

Di dalam kes ini, hak-hak asasi telah dikesampingkan dan berlaku pelanggaran hak kebebasan asasi atau kebebasan diri yang diperuntukkan dalam Perkara 5(1) dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Kerajan Negeri juga, katanya, berpendirian bahawa peruntukan SPRM tersebut juga tidak konsisten dengan hak seorang pekerja Kerajaan Negeri Selangor yang telah ditahan untuk dinasihati oleh seorang peguam pilihannya seperti yang disebut dalam perkara 5(3) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri juga berpendapat tindakan SPRM merupakan satu bentuk diskriminasi yang nyata terhadap Kerajaan Negeri Selangor berbanding dengan kes-kes lain yang disiasat di negeri-negeri lain di Malaysia pada masa yang sama.

"Oleh itu, kami juga berpendirian bahawa peruntukan tersebut adalah tidak konsisten dengan perlindungan Kesamarataan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan dan merupakan satu bentuk diskriminasi kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor dalam perkara 8(2) dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, pada pandangan saya, adalah wajar bahawa sebagai penjaga kepentingan awam, Peguam Negara Malaysia bukan hanya perlu menjaga kepentingan SPRM sahaja tetapi juga kepentingan dan keselamatan 18,312 pegawai dan kakitangan Negeri Selangor," tegas beliau dalam kenyataannya. _

(Berita - berita ini diambil dri Harakah Daily, 10 September 2009)


*****

Bimbang provokasi

Oleh Johari Ibrahim dan Saufi Hamzah
bhnews@bharian.com.my

PM minta Jakarta lindungi rakyat kita

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sudah menyuarakan kebimbangannya terhadap keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia selepas laporan mengenai sekumpulan rakyat republik itu yang mempersiapkan diri kononnya untuk berperang dengan Malaysia.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah menyampaikan perkara berkenaan kepada Pengerusi Kumpulan Tokoh Terkemuka (Eminent Persons Group-EPG) di Indonesia, Try Sutrisno.

"Beliau (Sutrisno) berjanji akan menyampaikan perkara itu kepada pemerintah Indonesia," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama jemaah menteri, Menteri Besar dan tokoh korporat di Sri Satria di sini, malam tadi.


Najib diminta mengulas laporan agensi berita asing mengenai sekumpulan 486 sukarelawan di Indonesia yang mempersiapkan diri kononnya untuk berperang dengan Malaysia.

Kelmarin, penyelaras kempen anjuran Kumpulan Pemuda Nasionalis Bendera, Mustar Bonaventura memberitahu agensi berita AFP, sukarelawan itu sudah menyimpan stok makanan, ubat-ubatan termasuk senjata seperti pedang samurai bagi menghadapi kemungkinan perang.

Tindakan itu diambil berikutan tuduhan Malaysia mencuri Tarian Pendet yang berasal dari Bali yang dilemparkan oleh media massa Indonesia terhadap Malaysia.

Najib berkata, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Dai Bachtiar, tengah hari semalam memberitahu Kerajaan Indonesia juga sedang mengambil tindakan bagi memastikan tidak ada apa-apa berlaku terhadap rakyat Malaysia di republik berkenaan.

Ditanya adakah Kerajaan Malaysia memberi jaminan terhadap keselamatan kira-kira tiga juta rakyat Indonesia di Malaysia, Perdana Menteri berkata: "Mereka sering selamat di sini, tidak perlu beri jaminan begitu."

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata walau apa juga keadaan dan provokasi yang sedang berlaku di Indonesia, beliau memberi jaminan bahawa keselamatan rakyat negara itu yang berada di sini, terjamin.

Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang turut ditemui pada majlis sama pula berkata, Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur melahirkan rasa kesal mengenai kedudukan dan suasana yang meletus di Indonesia termasuk perbuatan menahan kenderaan.

"Duta Besar Indonesia memberi penjelasan bahawa beliau sudah menghubungi Ketua Polis Jakarta dan Menteri Luar Indonesia dan memberi jaminan keselamatan rakyat Malaysia tak akan terjejas," katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di sana bagi mendapatkan sebarang maklumat terkini mengenai keselamatan ahli keluarga termasuk anak yang sedang mengikuti pengajian dan saudara mara mereka.

"Setakat ini tak sampai ke tahap untuk mengehadkan pergerakan pelajar di sana. Kita akan pantau dari semasa ke semasa dan menghubungi duta Malaysia di sana,” katanya.

"Duta kita tahu apa nak buat, ini kerja biasa mereka bagi menjaga rakyat Malaysia di sana. Mereka tahu apa tindakan yang perlu diambil dan mereka ada kemampuan untuk melakukannya.

"Saya diberitahu kejadian di Indonesia bukan ancaman serius, jika di pihak sana (nampak serius)...nampak di televisyen seperti ada demonstrasi di sana," katanya.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 10 Septembere 2009)


*****


Kepala lembu: Tuduhan di bawah Akta Hasutan dan perhimpunan haram



Seramai 12 penduduk Seksyen 23, Shah Alam yang terlibat dalam perhimpunan membantah pembinaan kuil di hadapan bangunan Sultan Salahuddin Jumaat lalu dengan membawa kepala lembu sebagai simbolik pimpinan kerajaan negeri Selangor "ibarat lembu dicucuk hidung", hari Rabu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret bagi menghadapi dua tuduhan berlainan.

Kesemuanya mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

Di Mahkamah Sesyen, enam daripada mereka dituduh bersama-sama berniat pada 28 Ogos 2009, dalam satu perhimpunan haram yang berlangsung 2.25 petang di depan Bangunan Sultan Salahuddin Abdu Aziz Shah, telah membawa dan memijak kepala lembu yang boleh mempunyai kecenderungan menghasut yang mana perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan permusuhan terhadap rakyat beragama Hindu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda tidak lebih RM5ribu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Mohd Azmir Mohd Zain, Ahmad Suhairy Zakaria dan Mohd Hilmi Ni menghadapi pertuduhan membawa dan memijak kepala lembu, sementara Ibrahim Sabri dan Ahmad Mahayudin dituduh memijak kepala lembu sementara Eyzva Ezhar dituduh membawa kepala lembu.

Hakim Hasbi Hasan yang mendengar sebutan kes berkenaan kemudiannya menetapkan ikat jamin RM4,000 setiap seorang dan menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh perbicaraan.

Kesemua yang dituduh diwakili oleh Datuk Salahuddin Saidin yang dibantu oleh enam peguam lain manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Mohd Dusuki Mokhtar.

Sejurus prosiding sebutan kes berkenaan selesai di Mahkamah Sesyen, keenam-enam tertuduh kemudiannya dibawa pula ke Mahkamah Majistret untuk menyertai enam lagi rakan mereka bagi menghadapi tuduhan menyertai perhimpunan awam pada masa dan tempat yang sama di bawah seksyen 27 (5) di bawah Akta Polis 1967 yang tertakluk di bawah seksyen 37693) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

Enam lagi penduduk yang dituduh itu ialah Jainudin Yusof, Mohd Junit Ramli, Mohd Nordin Zakaria, Jamil Mohamad Isa, Rahimuddin Harun dan Azhari Shaari.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda minima RM2 ribu atau maksimum RM10 ribu, atau setahun penjara.

Kesemua 12 tertuduh diwakili peguam yang sama, iaitu Datuk Salehuddin Saidin sementara pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Shahidani Aziz.

Majistret Norkamilah Aziz menetapkan ikat jamin sebanyak RM300 setiap seorang terhadap enam yang menghadapi tuduhan di mahkamah sesyen terdahulu dan enam lagi dikenakan ikat jamin RM500 setiap seorang. Tarikh bicara juga ditetapkan pada 21 Oktober.

Datuk Salehuddin yang ditemui selepas prosiding, berkata, sebenarnya terdapat lebih 50 orang yang disyaki terbabit dalam perhimpunan berkenaan, tetapi 12 yang dituduh itu telah dikenalpasti dan dicam melakukan kesalahan berkenaan.

Sementara itu, seorang pemuda yang mendakwa mewakili jawatankuasa bertindak penduduk Seksyen 23 Shah Alam, Ramzi Ramli, mengesyaki mereka telah disabotaj pihak tertentu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa penduduk kami terbabit dalam kes membawa dan memijak kepala lembu itu. Kami berhimpun untuk memprotes dan langsung tidak ada niat atau perancangan untuk menimbulkan isu perkauman. Saya percaya kami telah disabotaj oleh orang luar,” katanya.

Seorang lagi wakil, Shahril Mohd Noor pula berkata, jawatankuasa bertindak telah bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengalihkan tapak kuil baru itu di sebuah kawasan yang terletak 800 meter daripada kawasan perumahan.

“Kami tidak ada masalah dengan cadangan itu dan kini hanya menunggu persetujuan pihak kuil,” katanya.


--------------


Rundingan buat apa, ini cerita lama…

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat tetap bermegah mendakwa dasar Islam seperti yang diamalkan pentabiran PAS di Kelantan selama 20 tahun adalah yang terbaik sekalipun semua orang tahu ‘macam-macam hal’ termasuk gejala sosial terus berlaku di negeri itu sama macam di negeri-negeri lain.

"Kalau nak jaga Islam lebih baik tukar dasar daripada kebangsaan kepada dasar Islam barulah nampak ikhlas."Kelantan sudah hidup 20 tahun di bawah dasar Islam. Kami tukar pemikiran rakyat daripada pak turut Eropah kepada pak turut nabi."

Itulah antara katanya pada para wartawan Selasa ketika diminta mengulas kenytaan terbaru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kesediaan UMNO berunding dengan PAS demi kepentingan agama.

Nik Aziz secara tidak langsung tetap mendakwa PAS lebih Islam dari orang lain.

Mursyidul Am PAS itu nampaknya sudah tidak mahu melayan langsung bab nak berunding seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.

"Rundingan buat apa, ini cerita lama, nak berunding apa lagi. Tak perlu runding apa, kalau runding beri royalti saya setujulah,katanya.

Diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri Isnin beri peruntukan RM8.9 juta kepada Manek Urai,Naik Aziz menggangap adalah tanggungjawab kerajaan pusat membantu Kelantan.

Katanya ia selaras dengan konsep federalisme dimana Kelantan adalah salah sebuah negeri di Malaysia.




Najib hulur lagi salam pada PAS…tapi jangan hina UMNO

Sewaktu ditanya dalam satu sidang akhbar baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menolak andaian bahawa UMNO desperate hendak berbaik-baik dengan PAS.Katanya tujuannya semata-mata demi kepentingan agama.

Hal ini berbangkit kerana UMNO berulangkali menghulurkan salam kepada PAS tetapi parti itu bukan sahaja semacam memperlekehkannya malah Tok Guru Nik Aziz terus mempersoalkan akidah orang-orang UMNO.

Malah Najib sendiri telah menegur Menteri Besar Kelantan itu secara berdepan agar tidak melukakan hati orang UMNO dengan kenyataan seumpama itu semasa beliau menyambut ketibaannya di lapangan terbang Kota Bharu baru-baru ini.

Petang Isnin Perdana Menteri mengulangi kenyataannya UMNO bersedia untuk berunding dengan PAS demi kepentingan dan membangunkan umat Islam di negara ini.

Beliau menyatakan demikian depan kira-kira 4,000 orang Kuala Krai dan Manek Urai semasa berucap pada majlis ramah mesra dengan rakyat dan berbuka puasa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai,Kelantan.

Juga sekali lagi Najib menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan yang menghina orang UMNO.

"Nak buat baik, saya sanggup runding dengan PAS untuk kepentingan Islam. Tapi saya tidak rela kalau UMNO dihina oleh sesiapapun," katanya.

Sebelum ini, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mengeluarkan kenyataan bahawa penyokong UMNO tidak masuk syurga .

Beliau tetap mempertahankan kenyataanya sekalipun Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan isu masuk syurga itu adalah hak mutlak Allah.

Tindak tanduk Nik Aziz menghina UMNO bukan merupakan kali pertama malah sebelum ini beliau pernah menyamakannya dengan ajaran sesat dan komunis.

Najib berkata perbincangan antara PAS itu haruslah mementingkan pembangunan umat Islam di negara ini.

Katanya jika mahu perbincangan itu berjaya PAS tidak sepatutnya mempertikai dan mempersoal akidah orang UMNO kerana mereka juga adalah orang Islam.

Najib berkata perkara seumpama itu tidak perlu disebut-sebutkan kerana ia bukan membentuk perpaduan di kalangan umat Islam sebaliknya memecahkan perpaduan di kalangan mereka.

"Jangan persoalkan akidah kita... Sebab ini akan menimbulkan kekecohan dalam masyarakat," katanya.

Beliau berkata PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tidak sepatutnya berlagak warak dan menilai akidah orang Islam yang lain kerana mereka daripada parti berlainan.

Katanya tindakan mempersoal keIslaman seseorang umat Islam bukanlah kerja manusia tetapi hak mutlak Tuhan untuk menentukannya.

"Dan (tindakan) persoalkan keIslaman kita ini bukan kerja manusia, ini kerja Allah. Ia jelas dalam Quran dan hadis," katanya.










No response to “BERITA”

Post a Comment