BERITA


18 barang kawalan


Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) mencuba kebolehannya memotong ikan pari ketika membuat lawatan di Pasar Sehari Temerloh, semalam.


TEMERLOH 13 Sept. - Sebanyak 18 jenis barangan disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya tahun ini bermula hari ini sehingga 27 September.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bertujuan membendung tindakan mencatu barangan keperluan oleh para peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.

Beliau bagaimanapun berkata, peniaga perlu mendapatkan lesen menjual barang-barang kawalan yang dikeluarkan secara percuma daripada mana-mana cawangan kementerian.

"Sehingga ini sebanyak 15,057 lesen seumpama itu telah dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara,'' katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barangan di pekan sehari Temerloh di sini hari ini.

Antara barang yang disenaraikan adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau import India, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, kobis bulat import dari Indonesia dan China.

Turut disenaraikan cili merah, tomato, kelapa biji, kelapa parut, ubi kentang import dari Indonesia dan China, kacang tanah import, bawang merah kecil India, bawang putih China dan ikan Kembung.

Ismail Sabri menjelaskan, bekalan barang-barang keperluan untuk hari raya tahun ini mencukupi berikutan jaminan pembekal dan pemborong untuk mengadakan bekalan yang secukupnya.

"Kebiasaannya orang ramai akan membeli barang-barang keperluan itu secara banyak seminggu sebelum hari raya,'' katanya.

Oleh itu kata beliau, seramai 2,000 pegawai penguat kuasa kementerian juga telah diarah supaya meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang.

Beliau juga meminta orang ramai supaya melaporkan kepada mana-mana cawangan penguat kuasa di seluruh negara dengan mengunakan talian tol bebas 1-800-886-800 atau e-aduan@kpdnkk.gov.my jika mendapati ada peniaga yang menaikkan harga barang tersebut untuk diambil tindakan.

(Berita ini diambil dari Utusan Online, 14 September 2009)

***** ******

Pimpinan Umno bakal bertembung dengan akar umbi lagi
Ramlan Joharee
ANALISIS

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Negeri Sembilan tidak lama lagi bakal memulakan satu lagi konfrontasi antara pucuk pimpinan Umno dengan ahli-ahli akar umbinya.

Di Negeri Sembilan, anggota parti itu di Teluk Kemang khusunya mahukan ketua bahagian itu Tan Sri Isa Abdul Samad dinobatkan sebagai calon Barisan Nasional di Bagan Pinang.

Begitu juga dengan para panglima atau warlords parti itu di seluruh negeri tersebut yang rata-ratanya mahukan bekas menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun itu menjadi anggota Dewan Undangan Negeri semula.

Pandangan sepakat pemimpin Umno Negeri Sembilan adalah, jika bukan Isa yang bertanding, pasti Umno akan tewas di kerusi itu.

Kekalahan di kerusi itu bermakna majoriti BN dalam Dewan Undangan Negeri semakin mengecil. Selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu, BN mengawal 21 daripada 36 kerusi yang bermakna ia memerintah tanpa majoriti dua pertiga.

Walau bagaimanapun dilema di peringkat persekutan adalah, adakah seorang yang telah disabitkan kesalahan politik wang layak bertanding? Kerana Isa pernah digantung keahlian Umnonya pada awal 2005 selepas menang besar sebagai naib presiden parti itu.

Baru-baru ini timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan enggan mengulas apabila ditanya adakah Isa layak menjadi calon BN di Bagan Pinang.

Sebaliknya, pengarah pilihan raya BN itu hanya meminta supaya semua pihak supaya jangan membuat spekulasi.

Namun apa yang mengejutkan adalah tindakan Muhyiddin buat kali pertama Selasa lalu, secara terus-terang mengatakan partinya telah tersilap memilih Rohaizat Othman, seorang peguam yang dilucutkan kelayakannya kerana mencabuli etika guaman, dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir penghujung Ogos lalu.

�Kita memang sentiasa berhati-hati, kecuali di Permatang Pasir, apabila terdapat sedikit kesilapan,� katanya seperti dilaporkan media.

Kenyataannya itu memperlihatkan pihak pucuk pimpinan di pusat tidak bersedia untuk mencalonkan Isa dan seolah-olah sanggup menanggung risiko kekalahan di Bagan Pinang demi menjaga imej parti di peringkat nasional.

Sekiranya Isa ditolak pimpinan parti Melayu itu, akan berulanglah episod pertembungan antara pusat dengan akar umbi seperti yang berlaku pada era pentadbiran Tun Abdullah Badawi.

Jika pada zaman Abdullah dahulu, usaha-usahanya untuk memulihkan sistem kehakiman, pasukan polis dan pencegahan rasuah ditentang kuat oleh akar umbi Umno, kerana ia ditafsirkan sebagai tindakan melemahkan kekuatan Melayu.

Di bawah pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib Razak, proses reformasi itu menjadi semakin radikal � Umno kini sedang melalui proses perubahan yang mengecilkan pengaruh para panglima dan pimpinan di akar umbinya melalui pindaan perlembagaan parti itu yang membesarkan saiz pemilih daripada 2,500 kepada sekurang-kurangya 60,000 bagi memberikan peluang kepada lebih ramai ahli menzahirkan pandangan dalam pilihan raya parti.

Usaha pindaan ini adalah manifestasi hasrat Najib yang mahu menjadi pemimpin yang mendahulukan rakyat daripada parti.

Isa adalah contoh pemimpin yang mewakili era lama, yang menjadi simbol sistem penglima perang, apabila satu dua pemimpin, melalui partinya mengawal seluruh jentera kerajaan dan rakyat.

Walaupun amalan sebegini sukar dihapuskan pihak pimpinan pusat, sekurang-kurangnya Umno pasti tidak mahu lagi dilihat menyokong kewujudan sistem ini.

Jika Isa tidak dicalonkan di Bagan Pinang, maka bermulalah episod baru dalam pertembungan antara pimpinan Umno dengan akar umbinya.

(Berita ini dari Harakah Daily, 14 September 2009)


******

SPRM ambil keterangan Khir Toyo, termasuk kes rumah agam

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo tampil memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, pagi tadi berhubung siasatan beberapa kes, termasuk rumah agam miliknya yang didakwa bernilai RM24 juta.

Beliau difahamkan memberi keterangan lebih enam jam, dilaporkan tiba di Ibu Pejabat SPRM jam 8.30 pagi sebelum keluar jam 2.30 petang.

Sebelum ini, Adun Sekinchan dari DAP, Ng Suee Lim, mendakwa Dr Mohamad Khir memiliki rumah agam itu bernilai RM24 juta tetapi menafikannya.

Sebaliknya, Dr Mohamad Khir mengakui membeli dua lot tanah berserta sebuah rumah di Seksyen 7, Shah Alam menerusi pinjaman bank sebanyak RM3.5 juta.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Daily, 14 September 2009)



No response to “BERITA”

Post a Comment