BERITA

Tiga nama calon, yakin peluang cerah - Presiden PAS
Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 14 Sept: PAS yakin mempunyai peluang yang cerah untuk menang dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang Negeri Sembilan berdasarkan lonjakan sokongan rakyat dalam tujuh pilihan raya kecil di Semenanjung dan pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sungguhpun persoalan undi pos menjadi perhatian utama kerana mampu mempengaruhi keputusan, namun ianya tidak semestinya memihak kepada Barisan Nasional (BN) seperti tanggapan umum.

"Undi pos tidak semestinya memihak kepada mereka kerana kita juga pernah mendapat sokongan daripada undi pos ini.

"Cuma yang kita mahu ialah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telus dalam proses undi pos termasuk membenarkan kempen kepada pengundi pos dan mereka juga boleh hadir sama-sama mendengar kempen kita," katanya.

Sementara itu ketika ditanya calon PAS yang bakal bertanding, beliau memberitahu setakat ini tiga nama calon telah dikemukakan kepada Mesyuarat PAS Pusat untuk dipertimbangkan namun akan mengumumkan satu nama setelah SPR mengisyhtiharkan tarikh penamaan calon.

"PAS negeri (Negeri Sembilan) telah kemukakan nama tiga orang calon yang telah dikenalpasti berpengalaman dan diyakini boleh berkhidmat kepada rakyat. Semuanya adalah anak tempatan. Image

"Kita akan lawan sesiapa sahaja," jelasnya ketika disoal tentang ciri calon dan spekulasi lawan PAS yang bakal bertanding iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohamad Noor, 54, daripada Barisan Nasional (BN) yang meninggal dunia pada 4 Sept lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, calon PAS, Ramli Ismail memperolehi 4,097 manakala Azman memperolehi Azman 6,430 undi.

Mengenai peluang PAS untuk menang, Ustaz Hadi berkata ianya adalah cerah berikutan momentum kemenangan yang semakin melonjak yang diperolehi parti itu sejak Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

"Pada pilihan raya umum lalu kita hanya kalah dengan kira-kira 2,000 undi sahaja dan berdasarkan momentum kemenangan yang diperolehi menerusi beberapa pilihan raya kecil, peluang untuk menang adalah cerah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Program Semarak dan Semerbak Ramadan PAS di Pejabat Agung Jalan Raja Laut petang semalam.

Program tersebut bertujuan mendekatkan PAS serta menyantuni masyarakat warga kota khususnya penghuni-penghuni lorong gelap - Lorong Haji Taib yang terdiri daripada penagih dadah, golongan gelandangan, maknyah,pekerja seks dan anak-anak mereka, anak-anak yatim, saudara baru dan fakir miskin.

Turut hadir sama dalam program anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyrakatan PAS (LKKPP) ialah pengerusinya sendiri iaitu Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Ustaz Mohammad Nor, Pengarah Program Brig Jen (B) Abdul Ghani Mahludin.

Terdahulu Ustaz Hadi menyampaikan tazkirah Ramadan kepada kira-kira 200 hadirin yang sejak awal jam 2.00 petang telah turut serta menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan antaranya perkhidmatan kesihatan percuma, guaman dan kaunselling.

Ustaz Hadi dalam ucapannya menyeru kelompok masyarakat yang tersasar dan terlibat ke kancah yang tidak diingini khususnya di Lorong Haji Taib dan Chow Kit agar kembali ke pangkal jalan kerana ruang pengampunan yang disediakan oleh Allah SWT sangat luas kepada seiapa sahaja.

"Tidak ada manusia yang tidak ada dosa. Malahan saya sendiri ada dosa. Para Nabi juga pernah buat silap. Image

"Ini kelemahan manusia, justeru tuhan memberi peluang untuk kita bertaubat dan merahmati. Allah beri peluang supaya kita tidak terlambat. Oleh itu rebutlah peluang itu khususnya di bulan Ramadan ini," katanya yang membuat hadirin, masing-masing pegun dan khusyuk mendengar suntikan semangat daripada Presiden PAS itu.

Tambahnya lagi, apa yang ditentukan baik buruk oleh al-Quran merupakan kata-kata benar daripada pencipta manusia yang mengetahui segala kelemahan dan kelebihan makhluk ciptaan-Nya.

Umpamanya pengharaman tuhan terhadap daging babi kerana mempunyai kesan buruk yang kini telah dipercayai oleh masyarakat dunia tentang kebenaran al-Quran itu apabila terjadinya wabak Selesema Babi yang menular sehingga membawa maut, katanya.

"Bagaimana bijak manusia sekalipun tidak mampun mencipta manusia. Justeru yang mencipta manusia wajib kita taati dan taqwa.

"Kita sama sahaja di sisi Tuhan. Yang dipandang Allah ialah ketaatan dan ketaqwaan seseorang,"katanya yang juga Ahli Parlimen Marang dan mengakhiri ucapannya kira-kira jam 7.00 malam.

Program yang bermula jam 2.00 petang itu berakhir pada jam 8.30 malam, seusia majlis penyampaian sumbangan PAS kepada hadirin.

-----------------------

Nostalgia corat-coret Aidilfitri pimpinan PAS
Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Mengacah meriam buluh dan bergasak mengumpul duit raya walaupun 10 sen cuma antara rakaman kehidupan yang tidak dilupakan mereka yang kini sudah bergelar pemimpin. Hakikatnya mereka juga orang biasa, yang punyai memori Aidilfitri sama seperti yang lain.

Seperti AJK PAS Pusat Haji Mohammad Sabu, yang ketika kanak-kanaknya terpaksa memakai baju sekolah sebagai baju raya kerana kemiskinan. Namun dalam serba kedaifan, mampu kumpul duit raya yang banyak lantas ke pekan berhampiran untuk menonton wayang.

Walaupun tika itu comot dan tidak bersikat, jauh sekali anak gadis jatuh minat namun baginya Syawal cukup seronok dan mengujakan!

Bagi Presiden Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Seluruh Malaysia (Anak) dan bekas AJK PAS Mazlan Aliman pula, tidak dapat dilupakan zaman kecilnya ketika demam dan sakit di bulan Ramadan.

Apa tidaknya, malu terasa apabila neneknya mengikat tali kasut di lehernya, sebagai petua mengelak muntah dan bayangkan apabila rakan-rakan menziarah. Tebal mukanya.

Lain pula kenakalan zaman budak-budak Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli terasa begitu berselera dan hampir berbuka puasa hanya semata-mata kerana melihat kerak kuih sepit.

Begitu juga 'kerajinan' Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar bermain mercun dan 'melawan' meriam buluh paling kuat tanpa menghirau bahaya dan sering mengunjungi rumah terbuka bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kedah ketika zaman remajanya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula tidak lupa kesusahan yang dilaluinya sehingga tidak mampu membeli baju raya untuk isteri tercinta dan istimewanya, kini isteri beliau masih menerima tempahan menjahit baju raya walaupun Salahuddin bergelar Ahli Parlimen.

Bagi Pengarah Urusan Harakah Dato' Kamarudin Jaffar menceritakan pengalamannya kerana tuntutan masa dan pengajian memaksanya berhari raya di asrama Malay College Kuala Kangsar (MCKK) sejak tingkatan satu dari tahun 1964 sehinggalah 1970.

Image"Kami beraya di rumah guru-guru dan warden, walaupun terpaksa berjalan kaki dari rumah ke rumah yang cukup jauh dan penat, kami tetap seronok dan semangat Raya itu ada.

"Zaman itu cuti pendek. Tak dapat untuk balik kampung," katanya yang juga berhari raya selama menuntut di United Kingdom.

10 sen cukup tinggi nilainya

Beliau yang menganggotai Persatuan Pelajar Islam London pernah menganjurkan solat Hari Raya di Malaysian Hall dan dan melahirkan rasa pilu bila kedua-dua ayah bonda telah pergi kerahmatullah ketika menuntut di UK.

Kini beliau beraya bersama keluarga dan seorang cucu yang menjadi teman hiburnya.

Zaman kecilnya sama seperti yang lain, berjalan mengutip duit raya walaupun setiap rumah kadarnya sejumlah 10 sen cuma.

"10 sen boleh membeli bukan setakat ais krim tetapi macam-macam lagi.

"Dulu saya main meriam buluh pakai karbait tetapi taklah sampai putus tangan seperti sekarang ini. Dulu cerita putus-putus ni tak da...," katanya yang kini seorang Ahli Parlimen Tumpat.

Beliau bersyukur kerana berpeluang berbuka puasa, bertarawikh dan solat subuh bersama penduduk di sekitar Parlimen Tumpat walaupun tidak dapat memenuhi semua jemputan kerana mempunyai 4 Dun dan kawasan yang cukup luas. Sungguhpun begitu ketua-ketua kampung dan pimpinan peringkat cawangan dapat beliau raikan.

Kali ini beliau akan beraya di Kuala Lumpur memandangkan isterinya uzur dan akan memaklumkan kepada umum, Rumah Terbukanya di Tumpat.

"Saya ucapkan Salam Aidilfitri dan mahu rakyat menyambut hari lebaran dengan mendekatkan diri kepada Allah di samping memperbaiki kehidupan dunia dan akhirat.

"Saya menyeru umat Islam akan terus bersama perjuangan Islam dan bersama PAS sebagai harapan rakyat untuk alternatif yang baru...dan parti ini mampu mengisi harapan rakyat itu," jelasnya mengakhiri perbualan.

Seiring dan senada ucapan itu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali juga turut merakamkan Selamat Hari Raya kepada semua pendokong dan ahli PAS kerana telah menjalani proses pentarbiyahan dalam bulan ujian penuh berkah ini

"Manfaatkan Ramadan dan Syawal yang menjelma dan jangan lupa tanggungjawab sebagai pejuang Islam di samping menjaga etika jemaah Islam.

"Menjadikan diri contoh Islam yang baik dan jangan lupa perjuangan yang terdekat ini di Bagan Pinang,"katanya ringkas akibat keterbatasan masa dan kesibukan tugas.

ImageBagi Ahli Parlimen Kuala Terengganu Mohd Wahid Endut yang berkongsi cerita dengan Harakahdaily berkata beliau menghadapi 'masalah' untuk pusing dan jelajah seluruh masjid di kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang mempunyai 36 buah masjid termasuk DUN Wakaf Mempelam yang ada 15 buah masjid kesemuanya.

'Mereka sayang wakil rakyat'

Adakalanya sukar untuk memenuhi jemputan Iftar berbuka puasa dan solat tarawikh di masjid terbabit yang terlalu banyak dan mengambil sikap 'first come-first serve' iaitu mana yang menjemput lebih awal, itulah yang dipenuhi terlebih dahulu.

"Ada juga yang merajuk ...kata tahun lepas YB dah ke sana, bila nak datang sini pula...saya faham mereka sayang kepada wakil rakyat tetapi terpaksa mohon maaf," katanya sambil bergurau tentang tubuh fizikalnya yang semakin sihat di bulan Ramadan ini.

"Bulan Puasa ini terasa makin sihat kerana makan pun sedikit dan mana seluar yang ketat dah boleh pakai," katanya sesekali ketawa.

Beliau akan berhari raya di Seberang Baruh di Dun Wakaf Mempelam dan terpaksa 'menangguhkan' konsep rumah terbuka kerana lazimnya di Terengganu pada Hari Raya kedua, jemputan kenduri kahwin dan kesyukuran terlalu banyak sekaligus sukar untuk beliau membuat rumah terbuka kepada umum kerana perlu memenuhi jemputan.

"Selamat Hari Raya kepada para pengundi dan rakyat yang saya wakili di Parlimen Kuala Terengganu dan DUN Wakaf Mempeleam.

"Kita selepas ini bukan sahaja nak menghadapi Hari Raya tetapi pilihan raya. Oleh itu, bersedialah untuk bekerja keras selain bergembira di Hari Raya,"katanya yang akan ke Negeri Sembilan esok bersama Presiden PAS untuk persiapan menghadapi pilihan raya DUN Bagan Pinang.

Lain pula cerita Mantan Menteri Besar Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin tentang pengalaman manisnya ketika Ramadan tahun lalu. Image

Pengalaman paling manis ialah ketika menjadi Menteri Besar Perak di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat sewaktu menganjurkan Majlis Iftar dan solat tarawikh di Dataran Bandaraya Ipoh.

"Cukup menyemarak Ramadan itu bilamana penduduk dan rakyat Perak berpeluang berbuka puasa di tengah-tengah bandar Ipoh sambil menjamu selera juadah berbuka yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri.

"Seronok melihat orang bukan Islam, Mat-mat rempit, kutu rayau, remaja yang bersidai, lepak sampai bawa makwe datang berbuka sekali lepas itu mereka pun cabut...,"katanya ketawa.

Beliau menjelaskan setiap hari di bulan puasa, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah lebih 500 bungkusan makanan percuma kepada orang ramai yang datang berbuka puasa dan di samping itu, beliau turut diundang menjadi imam solat tarawikh dan menyampaikan tazkirah.

"Dalam bulan Ramadan, saya cuba penuhi jemputan di masjid-masjid di seluruh Perak. Hanya awal-awal dulu berbuka bersama keluarga selebihnya bersama rakyat di Perak

"Alhamdulillah stamina, Allah izinkan kekuatan diberikan untuk menjelajah.

"Saya ucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat Perak, pendokong Islam dan PAS dan Salam Bubar DUN Perak !" katanya yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Adun Pasir Panjang.

Makan serdak, saki baki kuih raya

Biarpun sudah seminggu Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Tantawi demam dan berehat di rumah, namun beliau tetap gagah bercerita kepada Harakahdaily imbauan kenangan lama menyambut Aidilfitri di rantauan orang selama 10 tahun.

Ketika itu beliau melanjutkan pelajaran di Syria dan Mesir, dan hanya pada tahun 1997, kembali ke tanahair meraikan bersama keluarga dirindu.

Berbeza di negara timur tengah ini, katanya orang Arab berpesta hanya pada bulan Ramadan dan menjalani kehidupan seperti biasa dan 'sepi' kembali tatkala masuk hari raya kedua.

"Kenangan paling indah, apabila keluarga hantar kuih-kuih raya kepada kami di sini dan bila sampai semuanya sudah hancur... dan serdak kuih dan biskut raya itulah nikmat yang kami rasai di hari raya.

"Mana tidaknya, kuih raya ini berada dalam sebulan atau tiga minggu perjalanan sebelum sampai ke tangan kami.." katanya dengan nada yang serak akibat demam.

Sementara itu beliau menyeru pendokong gerakan Islam dan PAS agar benar-benar terima dan menghayati "Madrasah Ramadan" atau "University of Ramadan" supaya menjadi mujahid yang bertaqwa.

Pesannya bahawa kemenangan Islam itu pasti sebagai pernah dicapai oleh generasi terdahulu dan umat Islam mesti menang daripada ideologi yang dicipta oleh manusia.

"Jiwa yang menang, belenggu daripada sebarang ideologi yang kufur.

"Dengan kedatangan Syawal, lebih meningkatkan kualiti diri di samping memburu kemenangan Islam," jelasnya.

ImageBagi Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah, kenangan paling indah apabila melihat anak-anaknya seramai 10 orang bergembira di Hari Raya di samping menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

"Alhamdullilah, yang bongsu 6 tahun pun puasa penuh. Sungguhpun nak kejut sahur mereka merupakan satu perjuangan, tapi saya tetap gembira," katanya yang tidak meletakkan sebarang syarat 'ganjaran hadiah' kepada anak-anaknya itu.

"Saya tanamkan kesedaran puasa kepada mereka dan mereka pun tak tanya ganjaran sebab akhirnya menjelang Syawal memang ada hadiah dan duit raya untuk mereka yang saya berikan," katanya yang akan berhari Raya di rumah mentua di Klang dan Pahang selepas itu.

Beliau juga turut memperuntukkan sejumlah duit raya untuk 'tetamu-tetamu kecil' yang bertandang ke rumahnya kelak kerana menjadi satu kepuasan melihat si kecil dan kanak-kanak gembira pada hari tersebut apatah lagi apabila mendapat duit raya.

Beli bunga api, gembirakan hati anak

Mencuit hati adalah soalan-soalan lazim yang ditanya oleh anak-anaknya yang sama seperti kanak-kanak lain antaranya "Berapa hari lagi nak puasa?" dan "Nak raya di mana?", yang katanya tidak pernah berubah biarpun saban tahun menyambut Ramadan dan Syawal.

"Saya beli juga baju-baju raya dan bunga api kat anak-anak saya yang kecil ni, sebab nak tengok mereka riang.

"Ada masa kita kena 'give and take' juga supaya mereka akan sentiasa mendengar cakap kita," katanya.

Sambil mengucapkan Salam Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada muslimat seluruh negara khusnya pendokong PAS dan Pakatan Rakyat agar segala amalan baik di Bulan Ramadan diteruskan untuk memantapkan jiwa dan iman masing-masing.

"Banyakkan berdoa di akhir Ramadan dan di Hari Raya kerana waktu itu sangat mustajab.

"dan jangan lupa doakan kemenangan kita di Bagan Pinang akan datang di samping berkerja keras ke arahnya," katanya.

Bagi yang muslimat ingin bertamu ke rumahnya pada Hari Raya atau hari berikutnya, Ustazah Nuridah dengan senang hati menyisipkan nombor telefonnya untuk dihubungi untuk memastikan sama ada beliau ada di rumah atau sebaliknya.

"Tak pa, insya-allah beri nombor hp saya ni..013-9205012. Telefon dulu kalau nak datang ya. Dan Maaf Zahir Batin kepada semua," katanya dengan ramah dan mengakhiri perbualan.

(Berita ini diambil dari Harakah Daioy, 15 Septembr 2009)


***** *****

Kalung selipar dikecam

Oleh Johari Ibrahim, Nazura Ngah dan Khairul Azran Hussin
bhnews@bharian.com.my


Datuk Seri S Samy Vellu

Perwakilan MIC biadab cerca Dr Mahathir akan kena tindakan

KUALA LUMPUR: Perwakilan MIC yang dikecam kerana mencadangkan supaya diletakkan 'kalungan selipar' pada gambar Tun Dr Mahathir Mohamad ketika perhimpunan agung parti itu kelmarin, akan dikenakan tindakan disiplin.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu yang kecewa dan kesal dengan cadangan itu, berkata jawatankuasa disiplin MIC akan memanggil perwakilan berkenaan bagi tindakan selanjutnya diambil.

"Saya sedar kenyataan Dr Mahathir mengenai MIC telah menyinggung perasaan ramai perwakilan, MIC tetapi tidak perlu untuk mencerca beliau sampai begitu," katanya.

Namun, semalam pelbagai pihak menyatakan rasa tidak puas hati dengan tindakan perwakilan MIC itu yang menurut mereka bersikap biadab, kurang ajar dan tidak bertamadun.
Mereka mahu MIC memohon maaf secara terbuka kepada bekas Perdana Menteri itu yang dianggap sebagai satu penghinaan kepada negarawan yang banyak berjasa kepada semua kaum.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata walaupun tidak bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir yang didakwa mencampuri urusan dalaman MIC berhubung kepimpinan parti itu, cadangan seumpama itu tidak wajar.

"Ia biadap, kurang ajar dan melampau. Jangan kita lupa peradaban, asal usul dan nilai bangsa kita. Kalau mahu dihormati, mereka juga mesti menunjukkan kepimpinan bersopan santun dan hormat menghormati seperti yang kita warisi daripada pemimpin sebelum ini,"

"Sikap saling hormat adalah antara cara untuk pemimpin mengajar generasi muda mengenai gagasan 1Malaysia," katanya.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata kenyataan perwakilan MIC itu tidak akan memberi keuntungan kepada mana-mana pihak dan jangan diulangi pada masa depan.

"Dr Mahathir adalah bekas negarawan dan berhak bercakap jika ada perkara yang tidak betul," katanya.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan saranan itu sebagai kurang ajar dan melampau terhadap pemimpin yang banyak berjasa kepada semua kaum, termasuk kaum India.

"Kalau pun tidak setuju dengan teguran Mahathir, ada kaedah lain untuk menyatakannya. Jadi, Pemuda Umno mendesak MIC mengambil tindakan disiplin kepada perwakilan itu dan gantung keahliannya serta-merta. Sikap emosi itu sangat mendukacitakan dan mahu MIC mengemukakan permohonan maaf kepada Tun Mahathir," katanya.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata setakat ini beliau tidak tahu reaksi bapanya terhadap cadangan itu kerana belum sempat bercakap mengenainya, tetapi sebagai anak, beliau kecewa, sedih, marah dan terkejut sehingga terfikir bukan hanya Melayu yang mudah lupa, sebaliknya kaum lain juga mempunyai sikap yang sama.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu enggan campur tangan dan menyerahkan kepada pimpinan MIC untuk membuat keputusan.

Ketua Umno Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mengingatkan MIC jangan terlalu biadap dan mahu parti itu segera memohon maaf secara terbuka kepada bekas Perdana Menteri itu.

"Perbandingan selipar, iaitu tempat alas kaki untuk menjatuhkan maruah amat biadap dan kurang ajar. Ia penghinaan yang tidak boleh dimaafkan," katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, mahu individu yang mencadangkan perkara itu melihat kemampuan sendiri sebelum memberi cadangan yang disifatkannya sebagai 'bodoh.'

"Saya mahu siapa yang memberi cadangan itu mencermin diri dan lihat kemampuan sendiri dulu dan dibandingkan dengan Dr Mahathir," katanya.

Pengerusi Gerakan Selangor, Senator A Kohilan Pillay yang mengakui terkejut dengan kenyataan itu meminta semua pihak menghentikan budaya politik tidak matang.

"Mengeluarkan kenyataan yang dianggap kasar bukan cara dan budaya kita kerana ia bertentangan dengan amalan kita. Kalau tidak puas hati, kita boleh bincang," katanya.

Veteran Umno, Tan Sri Zaleha Ismail, berkata cadangan itu tidak patut dikeluarkan oleh perwakilan MIC yang seolah-olah menidakkan sumbangan Dr Mahathir kepada negara.

"Jangan cepat melenting dengan apa yang Tun (Mahathir) ucapkan kerana ia adalah nasihat dan teguran ikhlas. Saya tahu siapa Tun dan saya kenal dia kerana beliau sentiasa ikhlas dengan apa yang dicakapkan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, berkata perwakilan MIC perlu bijak mengawal emosi, selain tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung Tun Dr Mahathir.

"Saya khuatir ia akan menjadi pertembungan antara penyokong Mahathir dan Datuk Seri S Samy Vellu kerana ia boleh menjadi isu besar. Malah, saya pasti sukar untuk mengatur pertemuan kedua-dua pemimpin utama kaum Melayu dan India itu. Yang penting, kedua-duanya dapat mengawal perasaan marah," katanya.

Pakar Sejarah yang juga pemerhati politik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, mengakui kecewa dengan sikap 'liar' sesetengah pemimpin politik sejak akhir-akhir ini sehingga sanggup meminggirkan nilai murni.

"Ke mana hilangnya sifat sopan-santun. Saya lihat orang politik kita dipengaruhi budaya Amerika Syarikat yang tidak seharusnya berlaku di tempat kita," katanya.

Presiden Gabungan Persatuan India Malaysia, P Mukuntha, pula mahu budaya seperti itu dihentikan segera kerana akan merosakkan hubungan antara kaum.

"Dulu MIC cakap Mahathir itu Tuhan, tetapi sekarang mereka hendak kalung selipar pula. Saya sendiri tidak faham apa yang mereka cuba buktikan dengan mengeluarkan kenyataan seperti itu," katanya.







No response to “BERITA”

Post a Comment