Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 30 Nov: Ketika semua media menyuluh apa yang berlaku dalam PAS, Tun Dr Mahathir menulis dalam blognya bahawa seorang bekas pemimpin kanan Umno bercadang untuk menyokong PAS kerana "Umno busuk hingga ke ususnya." "Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong Umno. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan. (Berita ini diambil dari Harakah Daily, 1 Desember 2009) |
BERITA
AMANAH DALAM SEJARAH MELAYU
”Marilah kita (Melayu) tunjukkan bahawa dengan persatuan di antara kita,kita berazam hendak menzahirkan satu bangsa yang lebih tegap dan kuat. Boleh berdiri di atas tapak kaki kita sendiri dan mengambil tempat yang sebenarnya sesuai di sisi bangsa – bangsa lain yang tegap dan bersatu. Marilah kita bersatu dan berusaha bagi faedah bangsa kita ...”
di Kuala Lumpur 1946.
SASTERA MELAYU (Ulangan)
Pulau empedu laut,
Kau telan punahkan segala;
Cita dan semangat bangsa Melayu,
Bagai lahar neraka dirimu.
1948 bermula amanmu jadi neraka,
Angkara penjajah Barat gila kuasa,
Mencabut pancang nasional Melayu,
Merentap hati jihad peribumi,
Mensalih - putihkan para cendekiawanku.
Atas perutmu tanpa pusat,
Terbelenggu ratusan pejuang Melayu,
Abu Bakar Al Baqir putera Gunung Semanggul,
Putera Gunung Tahan Ishak Haji Muhammad,
Tajuddin Kahar putra Lembah Kinta.
Ratusan pejuang nasionalis Melayu,
Membisik cinta pada jatungmu,
Cinta tanah air dan keluarga,
Dalam malam gelita,
Tanpa sinaran Selat Melaka.
Kini wajahmu muram
Menghitung salahmu sendiri,
KL dan dirimu satu,
Suntikan racun imprealis,
Paksa Melayu jadi abdi.
Kau pulau sejarah,
Daramu dimusnah penjajah,
Bangsa Melayu hilang arah,
Berkongsi kuasa atas bumi indah,
Aku tidak mencintaiku,
Walaupun kasih seTitit Wangsa,
Kaujanda penjajah,
Pulau empedu laut indah,
Padamu cintaku punah.
Pulau Jerjak ...................... Mokhtar Petah
BERITA
Najib mungkin jumpa tiga kumpulan bertelagah dalam MCA
PORT OF SPAIN (Trinidad dan Tobago): Datuk Seri Najib Razak berkata, MCA memerlukan masa untuk mengadakan pemilihan semula parti dan beliau akan berjumpa tiga kumpulan bertelagah jika masalah dihadapi sekarang tidak dapat diselesaikan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, beliau berharap timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan pertemuan dengan pihak terbabit malam tadi, dapat menyelesaikan masalah melanda MCA sebelum beliau mendarat di Subang, hari ini.
"Persoalan sekarang bilakah pemilihan semula parti akan diadakan. Inilah perkara akhir yang perlu dibincangkan," katanya pada sidang media kepada wartawan Malaysia di sini.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 30 November 2009)
--------------------------
Projek di tapak LKIM tetap akan diteruskan - Noh
|
|
KUALA SELANGOR 29 Nov. - Projek penempatan semula empat rumah setinggan di tapak pembangunan Kompleks Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Pasir Penambang di sini akan diteruskan mengikut rancangan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.
Beliau berkata, di bawah projek pemindahan semula itu empat rumah setinggan dan sebuah tokong di kawasan berkenaan akan dipindahkan ke satu kawasan seluas satu ekar yang disediakan.
Katanya, di bawah program penempatan semula itu juga pihak pengurusan tokong berkenaan diberi pampasan bernilai RM15,000 manakala pemilik rumah setinggan yang terlibat diberikan hampir RM80,000.
"Jika kerajaan negeri tetap berkeras mahu projek penempatan semula ini dihentikan, saya sedia bawa perkara ini untuk diselesaikan oleh mahkamah," katanya selepas menghadiri sesi dialog bersama empat pemilik rumah setinggan itu, wakil pengurusan tokong berkenaan, serta para penduduk yang tinggal berhampiran projek berkenaan, dan majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu.
Baru-baru ini projek penempatan semula projek itu yang bermula 10 November lepas diarah berhenti oleh Majlis Daerah Kuala Selangor atas arahan Liu, dan ia menimbulkan kemarahan penduduk kawasan berkenaan.
Liu berkata, arahan itu dibuat kerana kerajaan negeri menawarkan satu jalan penyelesaian yang dirasakan lebih sesuai, dan jika ia tidak dipersetujui penduduk.
Perkara itu terpaksa dibawa ke mesyuarat exco kerajaan negeri supaya satu jalan penyelesaian baru dapat dicari.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online - BERNAMA, 30 November 2009)
SISIPAN SEJARAH MELAYU
BANGSA MELAYU
'Apabila telah nyata Raja - Raja Melayu dan Orang Besar – Besar telah mabuk angan – angan, maka diberilah kuat kuasa untuk mengerah rakyat jelata supaya mentaat dengan buta tuli akan Raja – Raja Melayu dan siapa yang menentang dan enggan taat kepada mereka dianggap khianat dan ingkar.
Diberi gelaran – gelaran kepada Raja – Raja Melayu di samping menyusun segala adat istiadat yang ramah tamah dan diadakan pula tingkatan yang berbeza atau kasta.
Tetapi bagi rakyat yang mempunyai semangat pemberontak memandang Raja – Raja dan Sultan – Sultan tidak lebih daripada lanun – lanun yang menang dan mengangkat diri sendiri menjadi Raja dan Sultan.
Tidak cukup dengan cara demikian, oleh Inggeris mencari pula lebai – lebai dan para ulama ujntuk mengajar agama Islam yang dalam pengajaran itu dimasuk kebesaran Raja – Raja dan Sultan - Sultan sehingga rakyat yang tidak mempunyai kesedaran memandang Raja – Raja dan Sultan – Sultan maha tinggi darjah hidup mereka.
’Pada tahun 1948 – 49, Undang – Undang Darurat diistiharkan dan tindakan Kerajaan Inggeris dengan tentera – tentera upahannya pun dijalankan di luar perikemanusiaan.
Dalam masa darurat ini semua parti politik yang berfahaman kebangsaan tulin (Melayu dan Islam) telah diharamkan dan pemimpin – pemimpinnya ditangkap dan ditahan serta diseksa dalam khemah - kehmah tahanan.
Undang – undang darurat disitharkan kepada dunia sebagai menyelamatkan negeri ini (Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura) daripada cengkaman komunis. Tetapi sebenarnya undang – undang darurat dan tindak – tanduk darurat itu dilaksanakan dengan tujuan untuk menumpaskan perjuangan anak negeri ini dan cita – cita bangsa Melayu.
Sesungguhnya, dalam masa darurat ini dan setelah pemimpin – pemimpin (kiri) Melayu ditangkap dan ditahan, maka perjuangan orang Melayu mulai lemah dan masing – masing tinggal dalam ketakutan. Salah cakap dan salah bertindak, akibatnya, kedalam tahananlah.
Pada masa inilah penjajah Inggeris memujuk dan membeli jiwaraga permuda – pemuda Melayu untuk bekerja dalam pasukan polis khas atau dikenali dengan nama ringkasnya S.C.
Anak Melayu dan pemuda pemudi rakyat negeri ini telah masuk menajdi anggota polis khas itu kerana lari dari kebuluran akibat terkanan darurat dan juga kerana beberapa orang ulama di negeri ini (ulama tembolok di pihak Kerajaan Inggeris) mengeluarkan fatwa, bahawa sesiapa yang masuk menjadi anggota polis khas bererti menjalankan tugas yang mulia di sisi agama Islam dan kalau mereka mati terbunuh, kematian mereka itu adalah syahid.
Benar – benar Inggeris berjaya dengan tipu muslihatnya melalui undang – undang darurat, pemuda – pemuda polis khas itu telah diletakakan dalam kawasan estate dan lombong – lombong bijih untuk menjaga dan mengawal kepentingan kapitalis Cina dan Inggeris.
Polis khasa menjadi hamba dalam kawasan – kawasan harta punya penjajah'. (Dari buku Bangsa Melayu Menggugat Dunia, (1966), oleh: Mokhtar Petah)
SASTERA MELAYU
PANTUN
Biduk kecil laju ke seberang;
Jika tidak kurang ajar,
Hudup jadi hamba orang
PERUTUSAN PEMIMPIN
Perutusan hari Raya Aidil Adha | | | |
Datuk Seri Abdul Hadi Awang |
Pada hari yang sangat besar ertinya kepada umat Islam ini, ketika mana Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa dan keturunan berhimpun di tempat letaknya kiblat umat Islam, kita dipersatukan dengan Islam yang menjadi panduan hidup manusia sehinggalah ke hari kiamat. Iman yang dimiliki oleh umat manusia inilah yang juga mempersaudarakan kalangan manusia dari pelbagai rupa bangsa samada dekat atau jauh, semuanya adalah bersaudara di antara satu sama lain. |
KHUTBAH JUMAAT
IHRAM SIMBOL KERENDAHAN DIRI
(27 NOVEMBER 2009 / 10 ZULHIJJAH 1430
Pada hari Jumaat yang penuh berkat dan dalam masjid yang suci ini, marilah kita bersama-sama tingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya, sesungguhnya orang yang paling baik di sisi tuhan ialah orang yang paling bertaqwa. Tajuk khutbah kita pada hari ini ialah “IHRAM SIMBOL KERENDAHAN DIRI”.
Bersyukur kita kepada Allah SWT kerana memberi keistimewaan besar pada hari ini. Selain menghayati sambutan Iduladha, kita juga dapat melaksanakan ibadah di hari Jumaat yang mulia ini. Manakala bagi saudara kita di tanah suci, hari ini adalah saat terindah kerana dapat menyahut seruan haji. Sesungguhnya amal ibadah yang dilakukan atas dasar jemaah, menjadi paksi kecintaan umat Islam kepada Allah SWT.
Justeru tidak hairan, perhimpunan yang diadakan pada hari ini telah menarik jutaan manusia dari tanah kelahiran dan rumah mereka untuk datang berbondong-bondong ke Makkah yang aman dan suci. Juga umat yang Islam yang tidak berkesempatan menunaikan haji berbondong-bondong pula ke masjid menunaikan solat Jumaat. Semua itu adalah bukti keimanan, ketakwaan, ketaatan, keikhlasan dan keteguhan akidah umat Islam.
Firman Allah SWT dalam surah al-Bayyinah ayat 5:
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.
Ihram menurut syarak ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang ditentukan oleh Allah SWT selama memakai ihram itu. Orang yang berihram dikehendaki bermula dari miqat iaitu tempat yang telah ditetapkan untuk memakai ihram. Selain itu syarak menetapkan warna putih sebagai pakaian rasmi bagi ihram. Hal ini tidak menyebabkan sesiapa pun berasa janggal kerana apa yang mereka lakukan adalah perkara yang serupa.
Ihram dalam konteks ibadah yang lebih menyeluruh bermaksud pantang larang yang membuktikan ketaatan seseorang hamba kepada Allah SWT. Demikian juga apabila kita mengucapkan syahadah, maka kita sebenarnya telah berihram. Bermula dari sini segala gerak geri, tuturkata dan niat hanya tertumpu kepada Allah semata-mata. Amalan ini sama juga dengan pekerjaan ihram dalam ibadat haji dan umrah atau takbiratul ihram dalam solat; ada perbuatan-perbuatan tertentu yang dilarang meskipun sebelumnya ia dibenarkan oleh syarak.
Persoalan besar timbul ialah kenapa Allah SWT meletakkan sempadan tertentu sebagai pantang larang bagi umat Islam?. Apa yang jelas, dalam kehidupan manusia kita tidak dibenarkan bebas sesuka hati. Kebebasan yang dianugerahkan oleh Allah bukanlah bersifat mutlak. Oleh itu kita dilarang minum arak, berzina, berjudi, membunuh tanpa hak, derhaka kepada ibu bapa dan sebagainya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 32:
Demikianlah ajaran Allah; dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka termasuklah dia orang yang bertaqwa.
Berdasarkan ayat tadi, jelas bahawa pantang larang yang ditetapkan oleh Allah SWT sebagai panduan umat Islam. Oleh itu, tugas penting umat Islam adalah memahami dengan bijaksana hakikat haji, solat, zakat dan perintah Allah yang lain. Jangan kita menjadi sombong disebabkan banyaknya melakukan ibadah haji, solat, berpuasa dan sebagainya tetapi kita gagal menjadi umat Islam yang taat.
Pihak berkuasa telah menyediakan pelbagai undang-undang dan peraturan untuk mengawal dan mendisiplinkan orang ramai seperti Akta Jenayah Syariah, peraturan lalulintas, Akta Pencegahan Rasuah, peraturan imigresen, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Pilihanraya dan sebagainya. Semua ini bertujuan mewujudkan keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara. Kita sering mendengar dalam perbicaraan kes-kes di mahkamah sebahagian mereka besar pangkatnya, hebat penampilannya, banyak hartanya tetapi melakukan kesalahan dan tiada integriti.
Semua peraturan ini adalah bertujuan untuk membendung ajaran sesat, pelampau agama dan tidak menimbulkan kegelisahan dan perpecahan di kalangan umat Islam. Adalah menjadi tanggungjawab para ulamak, penjawat awam, ahli politik, para jemaah dan umat Islam sekalian agar menghayati sifat jujur, amanah atau berintegriti dengan menghormati undang-undang. Masyarakat sedang memantau dan memerhatikan sejauhmana intergriti dihayati seperimana yang diperjuangkan oleh Institut Intergiri
Ihram haji mengajar kita mematuhi peraturan dan bersikap insaf diri. Apabila kita insaf dan beramal dengan falsafah ini, maka kita telah sanggup melutut dengan kerendahan batin. Tiada lagi sifat-sifat takabbur di hadapan Allah SWT. Kita sentiasa mengawal diri kita, ahli keluarga kita dan sesama manusia untuk menentukan kecemerlangan agama Islam. Akhirnya kita bersedia menyerahkan diri di bawah tadbir Allah Yang Maha Adil seluruh jiwa raga, segenap perasaan dan semua anggota zahir bergerak ke arah pengabdian yang hakiki kepada Allah tanpa berbelah bahagi.
Hasilnya, sudah pasti seseorang hamba itu akan menjadi hamba yang mukhlis (ikhlas), soleh (baik), siddiq (dipercayai), dan sebagainya. Mereka akan memperolehi keistimewaan yang banyak sama ada di dunia dan di akhirat kelak.
Mengakhiri khutbah, mimbar ingin berpesan ihram haji dan peraturan dalam solat memberi pengajaran bahawa pertama, mematuhi segala pantang larang Allah adalah petunjuk insan soleh yang tunduk secara mutlak kepada-Nya. Kedua, bahawa Islam mengajarkan kesamaan dan tiada perbezaan antara manusia berpangkat besar atau kecil. Dan ketiga, bersiap sedia menerima pembalasan yang lebih adil di hari akhirat.
Dan tinggalkanlah dosa yang nyata dan tersembunyi. Sesungguhnya orang yang melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An’aam:120)
UCAPAN IKHLAS
SELAMAT HARI RAYA KORBAN
kepada semua yang melayari laman ini.
Mudah - mudahan kita semua terus berjuang
pada jalan Allah dan dalam keredaan - Nya
BERITA
Husam tak mahu jadi MB
Oleh Nazura Ngah, Wan Faizal Ismayatim dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my
Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri anggap tak layak
KOTA BHARU: Datuk Husam Musa yang selama ini dikatakan calon paling sesuai menggantikan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan, semalam mengumumkan beliau bukan calon yang layak memegang jawatan itu.
Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan itu berkata, beliau tidak mahu menggantikan Nik Aziz, sebaliknya menamakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, sebagai pemimpin paling layak mengambil alih jawatan itu.
Namun, beliau menghargai pujian Nik Aziz terhadap sumbangannya kepada kerajaan Kelantan, walaupun menderita selama dua tahun difitnah kerana lantang menentang cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.
"Selain difitnah menerusi laman blog, ada pihak sengaja mengatur program untuk menganiaya saya. Saya tak boleh balas balik (fitnah) sebab nak jaga perpaduan dan imej parti... keadaan saya sangat sukar, kalau jawab nanti rosak parti.
"Anak Tok Guru (Nik Aziz) serang kononnya saya itu dan ini. Jika dijawab, nampak pula macam saya bergaduh dengan keluarga Tok Guru... jadi saya bersabar," katanya kepada pemberita selepas menziarah satu keluarga miskin, dekat Bechah Keranji, di sini.
Husam juga berkata, beliau akan menyokong siapa saja yang dinamakan sebagai pengganti Nik Aziz, tetapi tidak mahu namanya dicalonkan kerana tidak mahu disangka sumbangannya kepada parti dan negeri selama ini semata-mata mahu mengejar jawatan.
"Timbalan Menteri Besar (Ahmad Yakob) paling senior dan semua Exco lain pun layak kecuali saya seorang saja yang tak layak. Jangan calon nama saya.... saya tak mahu dicalonkan sebagai pengganti Tok Guru.
"Saya serius, saudara (media) nak suruh sebut kata nak (jadi Menteri Besar), nanti orang marah kata saya bekerja sebab nak jadi Menteri Besar, padahal jika hantar balik ke Parlimen pun, saya tak ada masalah," katanya.
Bekas Naib Presiden Pas yang tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan lalu itu mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyarankan Nik Aziz menamakan penggantinya lebih awal supaya tidak timbul kekalutan apabila beliau meletakkan jawatan kelak.
Mengulas lanjut keputusannya itu, Husam secara sinis berkata: "Kalau tawar Perdana Menteri saya nak... Menteri Besar ini kolam kecil sangat... saya jenis badan besar suka berenang kolam besar."
Husam juga berkata, proses peralihan jawatan Menteri Besar tidak perlu diperbesarkan, malah mencadangkan Nik Aziz memper-tahankan kerusi DUN dan bertanding di Parlimen pada pilihan raya akan datang bagi membolehkannya menjadi Perdana Menteri jika pembangkang membentuk Kerajaan Persekutuan.
Mengenai laporan media internet yang mendakwa beliau keletihan dalam mengharungi keadaan politik semasa di Kelantan, Husam berkata, beliau sedang 'enjoy' dengan kerja dan tidak timbul persoalan untuk berhenti atau keletihan.
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas, Wakaf Baru, Ramli Abu Bakar menyifatkan saranan Nik Aziz menamakan penggantinya tidak kena pada masanya dan satu 'desakan' supaya beliau segera melepaskan jawatan.
"Tok Guru pemimpin, ibarat anak dengan bapa. Mana boleh anak mengajar bapa. Apatah lagi saranan berkenaan seolah-oleh mahu memaksa beliau. Bagi saya cara ini tidak betul," katanya.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, pula berpendapat, walaupun saranan berkenaan dikemukakan secara diplomasi, ramai melihat ia adalah desakan supaya Nik Aziz berhenti dan mungkin kehendak akar umbi.
Katanya, beliau orang pertama menyuarakan 10 sebab kenapa Nik Aziz patut berundur, malah kenyataan Nik Aziz yang menyatakan beliau tertekan dan fikiran bercelaru serta uzur menggambarkan perlunya beliau berundur.
"Masanya sangat sesuai untuk beliau berhenti supaya baki hayatnya diteruskan untuk kegiatan dakwah. Sebagai Menteri Besar, beliau kena memahami dan turun padang melihat masalah rakyat, bukan setakat mengajar agama," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Kesihatan Kelantan, Wan Ubaidah Omar pula menyokong saranan Mohd Amar dengan alasan ia penting bagi mengelak spekulasi kerana setakat ini belum nampak bayangan pemimpin yang akan menggantikannya.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula berkata, walaupun kepemimpinan Nik Aziz masih relevan, beliau sedar pemimpin silih berganti dan akan lahir pemimpin lain mengambil alih tampuk pemerintahan.
Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Nik Aziz untuk memberikan isyarat berundur, tetapi tidak menolak saranan itu mungkin dibuat berdasarkan kebimbangan rakyat Kelantan mengenai siapa penggantinya.
------------------
Ditahan masuk wang palsu dalam mesin deposit tunai
Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my
ASRI (dua dari kanan) bersama pegawai penyiasat, Inspektor Bibi Jan Ali Haiders menunjukkan wang kertas RM50 palsu yang dirampas dari sepasang suami isteri pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, semalam. |
ALOR SETAR: Polis Kedah menumpaskan kegiatan mencetak wang palsu dan memasukkannya dalam akaun menerusi mesin deposit tunai (CDM) sebelum mengeluarkan wang tulen selepas menahan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 20 tahun serta merampas 232 keping wang RM50 berjumlah RM11,600 di sini, malam kelmarin.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Asri Yusuf, berkata modus operandi pasangan itu ialah membelah dua wang RM50 tulen dan dilekatkan dengan satu lagi bahagian yang dicetak atas kertas bersaiz A4 yang dipotong mengikut saiz wang sebenar serta dikeringkan menggunakan haba lampu dan seterika.
"Selepas itu, mereka memasukkan wang berkenaan dalam akaun bank melalui CDM dan mengeluarkan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM). Bagi setiap wang tulen RM50 dipalsukan, mereka mampu memperoleh RM100.
"Sejak memulakan kegiatan pada Julai lalu, suspek memasukkan wang melalui CDM dalam jumlah yang kecil, tetapi makin aktif pada pertengahan September lalu sehingga mencecah RM26,000.
"Wang palsu dalam mesin CDM itu ditemui pegawai bank dan syarikat kawalan keselamatan yang kemudian membuat laporan polis," katanya semalam.
Suspek melakukan kegiatan mencetak wang palsu di sebuah motel di Hentian Bas Shahab Perdana, di sini dan dipercayai mempelajari teknik itu melalui seorang rakan berusia 20-an yang masih bebas.
Difahamkan, suspek hanya menggunakan akaun bank tertentu yang mesin CDM bank berkenaan tidak mempunyai ciri keselamatan ketat dan gagal mengesan wang palsu.
Azri berkata, dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Wira Mergong, di sini polis menemui sejumlah wang kertas palsu, seterika, gam, pengimbas wang kertas, gunting, dakwat, mesin pencetak dan pisau.
Beliau berkata, kejayaan itu hasil penubuhan pasukan petugas khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Kedah selepas menerima 105 laporan penemuan wang palsu dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.
"Sepanjang tempoh itu, polis menemui 2,172 wang palsu bernilai RM110,155," katanya.
Suspek ditahan reman selama enam hari mulai semalam dan disiasat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan.
(Berita ini diambil dari Berita Harian, 26 November 2009)
UNTUK FIKIR - FIKIR
PESAN PERANTAU
Jika anda tidak berani berjihad, anda tidak kenal Ilahi!
Jika anda takut bercinta, anda manusia tidak kenal diri!
Jika tidak berbudi bahasa, anda bukan manusia mulia!
Jika tidak amanah, anda manusia tidak berharga!
Jika anda tidak percaya diri, anda meraba mencari diri!
Jika anda kesepian, ingatkan Allah dan rakan sejati!
TANGGUNGJAWAB
IBADAH HAJI DAN KORBAN
Dan (ingatkanlah perisitwa) pada ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Ka’abah (untuk mebinanya bersama puteranya Nabi Ismail, lalu Kami berfirman): Jangan anda sekutukan sesuatupun dengan Aku dan bersihkanlah rumahKu (Ka’abah) ini bagi orang – orang yang tawaf (mengelilingi Ka’abah tujuh kali) dan mereka yang berdiri dan ruku’ serta yang sujud (mengerjakan ibadah sembahyang).
Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah HAHI, nescaya mereka akan datang ke (rumah Allah) anda dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis – jenis unta yang kurus (sekarang dengan kenderaan darat, udara dan laut), yang datang dari berbagai jalan yang jauh (seluruh dunia).
Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari – hari yang tertentu, kerana pengurniaan – Nya kepada mereka dengan haiwan – haiwan ternakan (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian kalian makanlah dari (daging haiwan – haiwan korban itu) dan berilah makan kepada orang – orang yang susah, fakir miskin.
Kemudian hendaklah mereka membersihkan diri (setelah menyempurnakan ibadat haji yang tertentu, hendaklah membuka ihram dan membersihkan diri serta bercukur atau menggunting rambut dan dilengkapkan dengan zikir takbir dan tahmid), hendaklah mereka menunaikan nazar – nazar, dan hendaklah mereka tawaf (menglilingi) baitullah (Ka’abah) yang tua itu. – Al Haj: 26 - 29