Pihak punca tragedi tidak dilindungi
IPOH 20 Nov. – Ibu bapa mangsa tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar pada 26 Oktober lalu berhak mengambil tindakan undang-undang di atas kematian anak mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kehilangan anak merupakan sesuatu yang sukar diterima dan semua pihak harus faham situasi yang dihadapi keluarga terbabit.
‘‘Kita tidak mahu ada pihak menjadikan tragedi yang mengorbankan tiga nyawa itu sebagai agenda peribadi.
‘‘Kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang dikenal pasti menjadi punca kejadian itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan keluarga tiga mangsa tragedi itu memfailkan saman RM105 juta terhadap kerajaan dan sepuluh responden yang lain di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Kesemua ibu bapa berkenaan diwakili oleh peguam A. Sivanesan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai daripada DAP.
Dalam writ saman itu, keluarga ketiga-tiga mangsa mendakwa responden melakukan kecuaian sehingga N. Dina Deve, 11; M. Devatharshini, 11, dan V. Divyashree, 12, lemas selepas jambatan gantung runtuh di Sungai Kampar.
Kejadian berlaku ketika murid-murid itu menghadiri Kem 1Malaysia di Pusat Kokurikulum Pejabat Daerah Kinta Selatan berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 21 November 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment