BERITA


Pindaan Akta Dewan Bahasa

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 diharap dapat memberi lebih kuasa kepada DBP untuk menangani penggunaan 'bahasa rojak' di kalangan masyarakat negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kuasa itu bukan untuk menghukum sebaliknya lebih kepada memberi pendidikan.

Justeru katanya, penerangan perlu dibuat kepada pihak-pihak yang sangsi terhadap usaha berkenaan agar ia dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Sebagai contoh, penggunaan 'bahasa rojak' kini semakin menggerunkan kita. Saya semakin risau dengan masalah ini terutama terhadap masalah penggunaan bahasa Melayu yang semakin parah di dalam masyarakat.

"Mungkin kerana perkembangan teknologi yang pesat, modenisasi, sikap dan faktor globalisasi, DBP dilihat sukar untuk menangani cabaran-cabaran bahasa Melayu kini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Kualiti DBP 2009 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaffar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Mohd. Puad memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa draf pindaan Akta DBP 1959 sedang disemak oleh penasihat undang-undang kementerian itu dan dijangka akan dibawa ke Kabinet sebelum dibentang ke Parlimen pada tahun depan.

"Jika sebelum ini DBP tidak berpeluang untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat, dengan pindaan ini diharapkan keadaan tersebut akan berubah,'' ujarnya.

Katanya, salah satu aspek berkenaan adalah dari segi penggunaan bahasa Melayu pada papan-papan tanda.

Beliau mencadangkan salah satu usaha ke arah memperkasakan bahasa Melayu adalah perbincangan secara berterusan antara DBP dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung hal itu.

"Bahasa Melayu amat penting dalam menjayakan gagasan 1Malaysia kerana melalui bahasa semua kaum di negara ini dapat disatukan," tambahnya.


-----------------------


Jawatankuasa masjid kena tindakan

SHAH ALAM 5 Nov. - Ahli jawatankuasa sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang akan dikenakan tindakan undang-undang kerana membenarkan Ahli Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar berucap di dewan utama masjid itu bulan lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohamed Khusrin Munawi (gambar) menegaskan, orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita didatangi haid.

"Orang bukan Islam dibenarkan datang dan melawat masjid tetapi tidak boleh masuk dewan utama solat, lebih-lebih lagi berucap di tempat kita bersolat.

"Semua perkara ini patut diketahui oleh nazir masjid demi menjaga kesucian masjid serta perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas desakan wakil Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja, Misnan Ahmad supaya JAIS menyiasat tindakan jawatankuasa masjid tersebut membenarkan Xavier berucap di dewan masjid tersebut pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan pada 31 Ogos lalu.

Misnan turut mengetuai 20 anggota Pemuda UMNO bahagian itu menyerahkan memorandum bantahan berhubung perkara itu kepada Mohamed Khusrin di sini hari ini.

Bagaimanapun Mohamed Khusrin tiada di pejabat dan memorandum itu diterima oleh Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Mohd. Hidayat Abd. Rani.

Misnan berkata, tindakan jawatankuasa masjid itu amat dikesali kerana ADUN tersebut tidak akan berbuat demikian jika tidak dijemput.

"Beliau sebenarnya boleh berucap di pekarangan masjid tanpa perlu menggunakan dewan utama solat," katanya.

Sementara itu Mohd, Hidayat memberitahu, pihaknya akan meminta nazir masjid terlibat memberi laporan bertulis berhubung kejadian berkenaan.

"Kes itu pertama kali berlaku di Selangor dan ia akan disiasat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan mengikut peraturan yang ada,'' katanya.

Menurutnya, JAIS akan mengeluarkan surat pekeliling kepada semua masjid di Selangor supaya semua pihak faham dan jelas tentang peraturan berkenaan.

Dalam pada itu Xavier yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan, Kerajaan Prihatin Selangor ketika dihubungi menjelaskan beliau hanya memberi ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, November 2009)




No response to “BERITA”

Post a Comment