BERITA




Wang ehsan: Kelantan cadang perjanjian carigali dibatal!
Salma Husin
KOTA BHARU, 5 Nov: Kerajaan negeri akan melantik peguam bagi membuat kajian mungkin membatal hak carigali kepada Petronas yang ditandatangani pada 1975 sekiranya tuntutan royalti minyak tidak dipatuhi kerajaan pusat.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, penal peguam terbabit akan membuat kajian terperinci berhubung tindakan yang perlu diambil berikutan royalti ditukar kepada wang ehsan.

Selain itu, kerajaan negeri juga mungkin mengambil tindakan mahkamah di luar negara termasuk perintah injunksi menghentikan pengeluaran di kawasan pembangunan bersama Malaysia-Thailand (JDA) kawasan pengurusan komersial Malaysia-Vietnam (CAA).

�Ini kerana CAA dan JDA adalah entiti yang melibatkan antarabangsa dan operator mereka juga ialah syarikat yang berdaftar di luar negara,� ujarnya selepas mesyuarat Exco Rabu lalu.

Di persidangan parlimen hari yang sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu wang ehsan akan diberi kepada rakyat Kelantan dan bukan royalti sebagaimana dituntut kerajaan negeri.

Husam berkata, kemungkinan juga kerajaan negeri akan mendapat perintah injuksi pengeluaran sementara kepada operator pengeluaran sama ada di CAA dan JDA di mahkamah di luar Malaysia.

Bagaimanapun ia tertakluk kepada persetujuan panel guaman yang bakal dilantik nanti.

Bagaimanapun kata beliau usaha perbincangan dengan kerajaan pusat tetap diteruskan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan hak royalti.

Katanya juga pembayaran royalti kepada Terengganu, Sabah dan Sarawak dibuat walaupun pelantar cari gali berada di luar tiga batu nautika.

�Persoalannya sekarang, kenapa Sabah, Sarawak dan Terengganu dibayar royalti sedangkan kedudukannya lebih daripada tiga batu nautika berbanding Kelantan hanya tiga batu nautika,� ujarnya.

Pada masa yang sama Husam turut melahirkan bimbangan jika kerajaan pusat tidak menyalurkan wang berkenaan kepada kerajaan negeri sebaliknya melalui agensinya.

Beliau yakin pembangunan tidak akan dapat dinikmati dengan baik rakyat di negeri ini seperti yang berlaku di Terengganu, biar pun negeri itu sudah 20 tahun mendapat royalti minyak.

�Ini kerana negeri itu masih tersenarai antara negeri yang mempunyai bilangan penduduk miskin ramai di negara ini,� ujarnya.

Tuntutan royalti sebanyak RM1 bilion yang dibuat kerajaan Kelantan sebelum ini berdasar laporan Jabatan Statistik yang mendedahkan negeri ini tersenarai sebagai negeri pengeluar minyak.


-----------------------


Persoal keputusan Najib, Mohamad Aziz patut kena tindakan disiplin
Abdul Aziz Ismail
PENDAPAT

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz menimbulkan kekecohan dalam Barisan Nasional baru-baru ini apabila mengkritik secara terbuka presiden Gerakan dan MCA.

Sepatutnya Mohamad menulis surat atau bertemu secara peribadi Perdana Menteri atau timbalannya bagi meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap prestasi presiden MCA dan Gerakan.

Bukan caranya mendedahkan di Parlimen dengan nada marah menyelak kelemahan pemimpin-pemimpin rakan komponennya dalam BN kerana ada cara lain lebih tertib boleh dilakukan.

Apatah lagi mempersoal keputusan Najib melantik presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai menteri yang seharusnya dimengerti sebagai kuasa prerogatif perdana menteri yang tidak boleh dipertikai.

Mohamad, yang terkenal bermulut celupar dan lantang bersuara di parlimen - menyokong dan mengkritik dasar kerajaan - lebih berani mendesak presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat meletak jawatan kerana tidak mendapat sokongan daripada ahlinya berdasarkan EGM lalu.

Gesaan beliau juga berdasarkan alasan Ong yang masih belum dapat merungkaikan segera kemelut dalaman partinya yang disifatkan sebagai beban besar kepada Najib dan BN.

Tindakan di luar jangkaan Mohamad mengkritik keras rakan pemimpin komponan dalam BN mendapat reaksi positif segelintir penyokong kerajaan dan ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Tetapi tidak bagi Najib yang mempersoal keterlanjuran dan kelancangan beliau mencampuri urusan kuasa istimewa beliau melantik seseorang sebagai menteri yang seharusnya tidak didedah dan dihebuhkan kepada umum di dalam Parlimen.

Tindakan Mohamad itu - secara langsung atau tidak - sudah mempertikai kebijaksanaan Najib melantik pemimpin tersebut sebagai ahli kabinetnya. Ini sudah menimbulkan kemarahan Najib yang menegaskan tidak sesiapa pun boleh mempertikai hak beliau sebagai orang nombor satu negara yang berhak melantik siapa saja yang difikirkan layak dan sesuai termasuk Koh.

Menurut Najib, perlantikan Koh dibuat bersandarkan pertimbangan jauh demi kebaikan BN. Katanya, Koh dilantik menteri kerana mahu menghargai peranan parti komponen itu dalam BN walaupun beliau tewas dalam pilihan raya lalu.

Kes Mohamad sudah dicadangkan supaya dirujuk kepada Lembaga Disiplin Parlimen tetapi pengerusinya, juga timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekedar memberi amaran mulut tanpa tindakan tegas seperti yang diharapkan.

Pemerhati politik berpendapat, jika ahli Parlimen pembangkang yang membangkitkan isu itu hal sebaliknya mungkin berlaku. Mereka itu boleh didakwa menghina parlimen dan mempertikai kuasa istimewa seorang perdana menteri.

Soalan juga dibangkitkan, kenapa Mohamad begitu berani membangkitkan isu itu di Parlimen yang dianggap remeh pada hal ada banyak isu terdesak lain yang boleh disuarakan menyentuh kepentingan rakyat?

Siapakah yang mendesak beliau membangkitkan isu itu yang secara langsung mempertikai kebolehan Dr Koh dan Ong sebagai ketua parti masing-masing?

Ada teori mendedahkan Mohamad mewakili suara pihak dan pemimpin tertentu yang mahukan Ong meletak jawatan kerana ketegasannya menangani isu PKFZ.

Pemimpin itu dikatakan ketua kelab penyokong kerajaan yang sekarang ini menghadapi kes mahkamah dengan presdien MCA itu yang menuntut gantirugi RM 500 juta.

Menurut Mohamad, Ong juga gagal menyelesaikan kemelut MCA yang semakin meruncing dan berterusan tanpa jalan keluar yang konkrit. Ong telah membuat Najib susah hati dan bimbang tentang nasib MCA yang bakal tidak mendapat sokongan kaum Cina dalam pilihan raya ke-13 kelak.

Jika MCA tidak segera menamatkan krisis dalamannya peluang BN untuk memenangi undi orang Cina semakin sukar dan ini pasti menghampakan pemimpin Umno.

Katanya lagi, beliau tidak berpuashati dengan prestasi Koh sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai KPI kerana tidak menunjukkan KPI yang sepatutnya kepada menteri lain.

Beliau tidak mempertikai kuasa Najib melantik Koh sebagai menteri, cuma mendedahkan perasaan tidak puas hati tentang ketidakhadiran kerap Koh di Parlimen kecuali apabila perdana menteri hadir.

Katanya, Koh harus menunjukkan kesungguhan menjalankan tugas sebagai menteri dan membuktikan komitmennya kepada kerajaan dan Najib yang sudah memberi kepercayaan besar kepadanya.

Pendapat umum mungkin memihak Mohamad kerana tindakan berani beliau membangkitkan isu itu kepada rakyat demi kepentingan rakyat. Tetapi ia juga boleh berlaku sebaliknya dan menjejas peluang beliau dipilih semula sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Najib mungkin tersinggung dan sedikit terhiris dengan tindak tanduk Mohamad yang agak melampau.

Beliau boleh mengambil tindakan drastik jika menganggap ahli Parlimen Sri Gading itu sudah bertindak keterlaluan dan melintasi garisan moral yang dibenarkan dengan mempersoal kebijaksanaan beliau mengambil keputusan sebagai perdana menteri.


-------------------------


Kedudukan MB Perak, lima hakim dengar rayuan Nizar

Azamin Amin
Thu | Nov 05, 09 | 11:03:54 am MYT

Kemaskini:12.45 tengahari|PUTRAJAYA, 5 Nov: Rayuan Datuk Seri Nizar Jamaluddin dalam menentukan kedudukan Menteri Besar Perak yang sah hari ini sedang didengarkan di hadapan lima panel hakim.

12.45 tgh:Dalam pada itu, Nizar sewaktu ditemui menjelaskan, lima hakim yang ditetapkan tidak menggambarkan 1 Malaysia.

Katanya, jika kes dadah boleh didengar oleh lima hakim tentunya kes ini memerlukan hakim lebih besar kerana ia membawa kesan lebih besar.

"Sepatutnya ada hakim dari Borneo juga,"katanya semasa ditemui pada sesi rehat sebentar tadi.

Beliau berharap inilah peluang keemasan untuk membuat keputusan yang memulihkan sistem kehakiman negara.

12.00 tengahari: Sementara itu, menurut Hanifa Maidin yang hadir hari ini, permohonan untuk mendapatkan 11 hakim adalah untuk memastikan tiada unsur 'bias', para hakim membuat keputusan yang tepat dan tidak wujud unsur-unsur yang memihak apabila membuat keputusan.

Beliau juga melahirkan kebimbangan kerana lima panel hakim yang dilantik kini adalah hakim-hakim yang pernah mendengar kes terdahulu dan dibimbangi akan mempengaruhi kes tersebut.

Sementara itu, ditanya mengenai hujah yang dikemukakan oleh pihak Nizar, beliau mengulas bahawa antara yang ditegaskan oleh barisan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah adalah;telah termaktub dalam undang-undang bahawa Tuanku Sultan Perak tiada hak dan kuasa dalam memecat Menteri Besar dan juga jika ingin memecat maka mesti ada undi tidak percaya dalam dewan.

Tambahnya, berkemungkinan keputusan tidak akan diketahui hari ini, tetapi diharapkan Nizar akan menang bersandarkan kepada hujah-hujah yang dikemukakan.

Mahkamah ketika ini berhenti rehat.

Berita sebelum ini

10.15 pagi:Ketika ini, panel lima hakim sedang mendengar rayuan tersebut. Sebelum ini, Nizar memohon supaya panel 11 hakim mendengar kes rayuan tersebut tetapi telah ditolak oleh mahkamah.

Panel hakim tersebut diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Nizar diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili menteri besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

9.00 pagi:Para wartawan dan orang ramai sudah tiba di kompleks mahkamah Putrajaya seawal jam 7 pagi, bagi mengikuti prosiding rayuan tersebut.

Kawalan keselamatan juga ketat di mana anggota polis dan anggota keselamatan mewajibkan mereka yang ingin masuk ke dewan mahkamah, mendapatkan pas khas.


(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 5 November 2009)





No response to “BERITA”

Post a Comment