BERITA







Letakkan Garis Panduan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa kepimpinan parti meletakkan garis panduan yang jelas berhubung isu tahaluf dengan parti-parti lain.

Timbalannya, Azman Shapawi berkata, parti harus menyatakan segala perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam mengadakan tahaluf.

Kepimpinan parti juga diminta agar lebih adil dalam pembahagian kerusi untuk menghadapi pilihanraya akan datang.

"Adil ni maksudnya pimpinan mesti tengok dari semua aspek. Mesti lihat kebolehan jentera dan sejauh mana keberkesanan pengurusan parti agar lebih bersedia menghadapi pihak lawan," katanya.

Pemuda juga menyokong penuh keputusan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi yang akan meneruskan komitmen parti untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Pemuda turut mencadangkan agar kejayaan Pakatan Rakyat di setiap negeri yang diperintah dibentangkan dalam muktamar tahunan parti.

Laporan lengkap perlu diberikan kepada setiap perwakilan agar segala kekurangan dan kelebihan dapat dianalisis untuk memperkasakan parti.

Bercakap sewaktu membahaskan ucapan dasar presiden dalam seminar pemerkasaan parti di Dewan Datuk Fadzil Nor, Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar, petang tadi, Azman turut menegaskan, setiap konflik dalaman parti yang berlaku mestilah diambil tindakan segera untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan ahli.

"Segala konflik mesti diselesaikan segera kerana kami bimbang jika tidak diselesaikan segera, akan merosakkan fikiran ahli,"ujarnya.

Turut dicadangkan agar jawatankuasan disiplin parti bersikap lebih tegas kepada mana-mana ahli yang melakukan perkara yang bertentangan dengan parti termasuk mengenai kebocoran rahsia parti.

Beliau turut menyeru agar ahli tidak menggunakan media baru dengan sewenang-wenangnya untuk menulis pandangan peribadi yang dapat mencemarkan imej parti.


----------------------


Perbahasan ucapan utama Presiden

l
Harakahdaily

3.08 petang

Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shafawi mencadang agar tindakan tegas mesti diambil kepada siapa sahaja pembocor maklumat parti selama ini.

Katanya, beliau bertanya kenapa seminar ini dibuat secara terbuka, ada pimpinan memjawab, "kalau tertutup bagaimana pun, pagi esok akan keluar juga secara lengkap dalam blog dan media."

Katanya, imej dua pemimpin besar kita telah tercalar di mata masyarakat, bagaimana ada orang boleh tuduh Tuan Guru Presiden hendak masuk Umno dan mengajak ahli PAS ke arah itu.

"Dewan Pemuda PAS PUsat memberikan sokongan padu kepada kedua pimpinan parti dan mengucapkan tahniah kepada Ketuanya, Ustaz Nasruddin yang menulis di blog mempertahankan maruah pemimpin parti," tegasnya.

3.02 petang

Wakil Negeri Sembilan mengingatkan usaha tahaluf siyasi yang sewajarya mendatangkan keuntungan kepada Islam dan bukan merugikan.

Beliau membangkitkan tentang beberapa kejadian terutamanya di Selangor yang pengamalan agama terhalang dan menjadi perbincangan umum pula.

"Sebarang tindakan yang bercanggah dengan disiplin parti perlu diperteguhkan dan mereka yang bercanggah, tindakan mesti diambil," tegasnya.

Beliau juga berkata tidak mahu keadaan dua nakhoda dalam satu kapal yang boleh mengkaramkan kapal, ketika meminta penjelasan siapakah yang paling berautoriti membuat keputusan antara Presiden atau Mursyidul Am.

2.53 petang

Wakil Pahang sedang berucap dengan mengatakan, seminar ini sewajarnya melihat bagaimana untuk berjaya di dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

"Kita tidak perlu melihat dan mengambil isu dari luar untuk dibincangkan di dalam seminar ini," tegasnya.

Beliau juga bertanya apa yang PAS setiap negeri lakukan sekarang ini dalam usaha memenangi pengundi muda sedangkan Umno Trengganu peruntukkan sebanyak RM700 untuk seorang.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan mengamalkan akhlak berjemaah kerana sangat malang jika asas utama ini dikesampingkan dan mengajak sidang seminar agar bertekad teguhkan jemaah teruskan jihad.

2.50 petang

Wakil Selangor, Ustaz Solehin Mohyi di dalam ucapannya meminta Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Ali menjawab sendiri tentang berapa kali dan mengapa tidak dapat hadir di dalam beberapa pertemuan penting parti.

Beliau juga bertanya apakah perancangan Dr Hassan sebagai exco agama di Selangor dalam usaha meningkatkan usaha menarik minat masyarakat kepada parti dan kondisi Islam di Selangor.


2.40 petang

Wakil Kedah, Senator Mohamad Yusof Hussin berkata, Kedah pernah mengalami keadaan di mana PAS hanya tinggal lima kerusi sahaja pada satu ketika tetapi mengambil pendekatan untuk jadikannya sebagai cabaran.

Sehubungan itu, beliau yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Kedah berharap Presiden parti akan menerima situasi kini sebagai cabaran untuk menyusun langkah seterusnya bagi memenangi hari rakyat dalam negara ini.

Dalam melayani pihak media, beliau berharap jangan terlalu ramai jurucakap parti yang cakap berlainan antara satu sama lain yang akhirnya mengkucar-kacirkan pergerakan parti di peringkat bawah.

Sementara itu, Yusof juga meminta pimpinan Dewan Pemuda di semua peringkat agar dapat usahakan agar dilakukan usaha kembalikan sokongan golongan muda terhadap PAS.

Beliau juga mencadangkan agar kursus kepimpinan dan pengurusan parti sehingga ke peringkat cawangan yang pernah dianjurkan oleh Setiausaha Agong pada 1987, Ustaz Hassan Shukri dilakukan semula.


--------------------


Elak tindakan mengundang fitnah - Tuan Ibrahim

il
Azamin Amin
KUALA LUMPUR, 7 Nov : Selain agama melarang membuat dan menyebarkan fitmah, tindakan dan perbuatan yang mengundang fitnah juga wajib dielakkan.

Naib Presiden PAS Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tanggapan atau persepsi salah terhadap parti dan pimpinan mestilah dicegah supaya ianya tidak merebak menjadi besar dan merosakkan perjuangan parti itu sendiri.

Justeru katanya lagi PAS mempunyai akhlak jemaah yang mesti dipelihara dan sebarang perselisihan pendapat mestilah dikemukakan melalui saluran yang sedia ada.

"Jangan emosi walaupun berselisih pendapat sehingga sahabat satu jemaah kita hentam. Kita ada saluran.

"Jangan kemukakan ketidak-puasan hati melalui media baru," katanya sewaktu menyampaikan ucapan di 'Seminar Memperkasa Parti', di Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar, dekat sini pagi tadi.

Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa PAS sebuah parti yang sentiasa terbuka kepada kritikan dan teguran.

Tambahnya lagi, sebarang matlamat yang baik tidak menghalal cara atau perbuatan yang menyalahi agama atau dasar parti.

Yang penting ialah untuk uruskan perbezaan pendapat dan bukannya 'melebarkan' lagi perbezaan pendapat yang sedia ada, kata Naib Presiden itu.

"Jangan gadai prinsip Islam. Nak menang tapi jangan gadai untuk dapatkan undi," katanya kepada lebih 1,000 peserta yang hadir.

Selain itu, beliau turut menasihati agar PAS dan pimpinan serta ahlinya tidak leka dengan pujian yang mengundang rebah malah para penceramah juga mesti memastikan hujah dan ceramah disampaikan bukan sekadar 'syok sendiri'.

"Ceramah berjaya memperkukuhkan semangat antara kita tetapi belum tentu dapat menarik generasi baru yang lain," katanya.

Selain itu, beliau juga yakin, sebarang masalah yang dihadapi parti dapat diurus dengan baik, sungguhpun acapkali menghadapi pelbagai cabaran dan fitnah.

"Setakat ini, PAS membuktikan tiada antara wakil rakyatnya yang lompat parti dan PAS juga terbukti berjaya dalam menguruskan masalah," katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa PAS mahu menajdi parti yang besar untuk mengambil alih kerajaan sedia ada dan oleh itu soal untuk berkerjasama dengan Umno tidak timbul sama sekali.

"Kita nak ganti Umno, bukannya bersama Umno.

"Akhir sekali yang penting ialah, kita mesti mendukung keputusan parti," katanya yang berucap 20 minit selepas dua ahli akademik, Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangasa (UIA) dan Dr Abu Hassan Hasbullah (Universiti Malaya) membentang hujah dan kajian mereka.

----------------------


Terus bersama Pakatan Rakyat - Presiden PAS


Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 7 Nov : "Bukan setakat mahu menang tetapi yang penting adalah mengisi kemenangan itu." Demikian antara kata-kata azimat Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang sewaktu menyampaikan ucaptamanya di 'Seminar Memperkasa Parti', di Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar, dekat sini pagi tadi.

Kata Abdul Hadi, PAS sama seperti gerakan dan perjuangan Islam yang lain, senantiasa diasak dengan pelbagai fitnah serta mendapat tentangan hebat daripada masyarakat yang jahil dan parti memerintah yang tidak adil selama ini.

Oleh yang demikian katanya, menjadi tanggungjawab PAS untuk memperkasakan ahli-ahli dan mengatur startegi sebaik mungkin bagi menghadapi sebarang cabaran dan ujian yang mendatang sekaligus mengajak umat Islam menjadi penganut yang kuat dan golongan bukan Islam menjadi penyokong kepada perjuangan ini.

"PAS merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya.

"Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini," katanya di hadapan lebih 1,000 peserta yang memenuhi ruang dalam dan luar Dewan Fadzil Noor hari ini.

Walaupun, berdepan dengan demokrasi yang tidak adil di negara ini, PAS terus sabar dan cekal menyertai pilihan raya yang diadakan dan natijahnya, kini telah berjaya menguasai jumlah kerusi Parlimen yang besar dan lima negeri bersama Pakatan Rakyat, kata Abdul Hadi.

Sungguhpun begitu, kata Presiden PAS itu, sebarang pencapaian kejayaan dan kelemahan mestilah dikaji semula untuk memastikan parti tersu kukuh dan kuat di persada politi tanah harir seterusnya dapat mencapai kemenangan yang besar dalam pilihan raya akan datang.

"Kita mestilah memerangi penyelewengan, rasuah tanpa korbankan dasar kita," katanya.

Sementara itu, beliau terut mengulangi pendirian dan menyatakan bahawa hasil daripada 'Tahalul Siyasi' dan kerjasama bersama Pakatan Rakyat telah berjaya melumpuhkan ego kerajan Barisan Nasinonal (BN) yang begitu takbur sebelum ini

"Kita akan berdiri teguh dan terus bersama Pakatan Rakyat," katanya yang mahu ianya seiring dengan tujuan menguatkan perjuangan Islam yang menjadi dasar parti itu selama ini.

"KIta mesti menguatkan PAS yang perjuangkan Islam.

"Kita juga sentiasa terbuka dengan semua pihak demi untuk Islam dan hanya dengan Islam sahaja boleh memberi kemenangan dunia dan akhirat," katanya

Beliau memberikan ucapan utama yang bertajuk 'Memperkasakan Peranan PAS Dalam Pengukuhan Pakatan Rakyat Mendepani Pilihan raya ke-13' sebelum sesi perbahasan dengan dua ahli akademik, Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangasa (UIA) dan Dr Abu Hassan Hasbullah (Universiti Malaya).

Mursyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz dijadualkan menutup seminar sehari suntuk ini yang bermula kira-kira 9.30 pagi.

Ketika ini, majlis berehat seketika dan akan di sambung pada sebelah petang dengan perbahasan wakil daripada setiap negeri sehingga jam 4.30 petang ini.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 8 November 2009)



No response to “BERITA”

Post a Comment