BERITA



PR akan bebaskan sistem maklumat



Oleh Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, pendekatan dan tawaran yang perlu dibuat oleh Pakatan Rakyat adalah membebaskan maklumat sepenuhnya apabila berjaya memerintah negara nanti.

Ini kerana, dengan cara inilah sistem demokrasi akan dapat berjalan dengan baik dan rakyat mendapat peluang untuk memilih dengan tepat berdasarkan maklumat di masa depan.

Beliau berkata demikian dalam seminar anjuran Parti Sosialis Malaysia petang semalam.

Dalam forum itu juga, Khalid melahirkan keyakinan, sistem dua parti adalah yang terbaik untuk negara ini dalam suasana sekarang.
"Walaupun (dari) segi ideologi kita mungkin dari sumber yang berbeza, tapi akhirnya akan perjuang pada matlamat yang sama iaitu menggantikan Umno BN...dengan syarat perlu liberalisasi pendekatan agar sesuai dengan keperluan politik semasa.

"Apa yang kita nak buat sekali pun, kita perlu lihat realiti politik. Saya rasa sistem dua parti (sistem) penyelesaian terbaik di Malaysia, tidak ada retorik (dan) tidak lagi ideal. Ia lebih praktikal," jelas Khalid dalam Seminar Sosialisme 2009 anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Beliau yang juga AJK Lajnah Politik PAS Pusat berpendapat usaha meliberalisasikan pendekatan parti-parti pembangkang tersebut termasuk saling kerjasama dalam memperbetulkan semula beberapa persepsi salah rakyat terhadap perjuangan Pakatan Rakyat.

"Kalau nak laksana ia (sistem dua parti) secara realistik, saya sebagai ahli PAS perlu bersedia jelaskan pada Melayu (bahawa) DAP bukan cauvenis Cina dan DAP juga kena cakap pada orang Cina yang PAS ini bukan parti pelampau Islam seperti yang dipropaganda BN dalam media."

Baginya, propaganda perkauman yang dilakukan Umno mengakibatkan rakyat berpegang pada persepsi yang salah terhadap Pakatan Rakyat sendiri.

"Masalah utama orang Melayu adalah terlalu percaya pada propagada Umno lebih 52 tahun, isu kedudukan Melayu, bahasa, tanah dan sebagainya, persepsi orang Melayu masih anggap Umno segalanya. Walaupun Umno rasuah, orang Melayu masih jauh dari kita (Pakatan)," jelasnya.

"Segelintir orang Cina dan India pula percaya PAS adalah parti ekstrem Islam disebabkan propaganda televisyen (dan) radio (yang dikatakan milik) Umno masuk ke setiap rumah, setiap hari."

Beliau berharap Pakatan Rakyat tidak memandang remeh isu persepsi tersebut.

"Ini (isu perkauman) bukan saja persepsi (rakyat) yang tidak boleh PR tolak (abaikan), tapi ia sudah jadi sensitiviti yang menyebabkan rakyat (khususnya) undi Melayu kian berkurang pada PR, begitu juga yang lain," jelasnya.

Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat juga perlu meliberalisasikan maklumat serta media dalam sistem dua parti tersebut.

"Liberalisasi dari segi maklumat supaya media ini lebih bebas, akta-akta seperti OSA (Akta Rahsia Rasmi) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu dimansuhkan supaya masyarakat lebih tahu apa yang berlaku dan boleh buat keputusan paling bijaksana dalam sistem ini (sistem dua parti)."

Selain Khalid, dua panel lain yang membincangkan sistem dua parti tersebut adalah saintis politik, Wong Chee Huat dan pengganti kepada Pengarah Pilihanraya PKR Saifuddin Nasution, Wong Phean Yow.

Terdahulu, PAS, DAP dan PKR mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai parti yang sah demi memastikan ketiga-tiga parti boleh saling bekerjasama dalam satu-satu pilihanraya, sama seperti Barisan Nasional.

Pendaftaran tersebut dibuat setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang PKR dan DAP berkempen secara terbuka dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang beberapa bula lepas, kerana hanya parti bertanding iaitu PAS sahaja dibenarkan berbuat demikian.

------------------

400 rumah dilanda banjir di Lenggong
Oleh Mohd Syamil Azhar

LENGGONG, 14 Nov: Banjir yang melanda lebih 400 rumah termasuk masjid, surau, sekolah agama rakyat, dewan serbaguna, dewan Tabika Kemas, dewan orang ramai premis kedai dan lain-lain di taman dan beberapa kampung dekat sini mendapat perhatian PAS Perak.

Sebanyak 30 mangsa banjir di beberapa kampung di sini yang dianggap paling layak menerima bantuan, diberi sumbangan berupa beras dan barangan dapur ala kadar oleh Pesuruh Jaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain sehari selepas banjir besar baru-baru ini.

Ustaz Abu Bakar yang datang bersama Setiausaha Politik Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat, Ustaz Misbahul Munir Masduki turut membuat penyerahan sukarelawan daripada Unit Amal (UA) dan pemuda-pemuda PAS tempatan yang ditugaskan untuk membersih rumah-rumah mangsa banjir.

(Gambar: Ustaz Abu Bakar menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Lenggong)

Kehadiran mereka berdua yang sampai jam 10.45 pagi disambut oleh Yang Dipertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria serta AJK PAS Kawasan. AJK Dewan Pemuda PAS Lenggong dan anggota-anggota UA di Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (PASTI) Kota Tampan Air.

Sebelum itu YDP PAS Lenggong, Razman Zakaria seawal jam 3 pagi melawat rumah-rumah mangsa di Taman Kota Tampan (TKT) dekat sini.

Beliau yang bersimpati dengan nasib dialami 72 keluarga dari lapan blok rumah awam di TKT itu sanggup mengharungi air bersama mangsa untuk melihat lebih dekat derita penduduk.

Beliau sempat berbual dengan seorang ketua keluarga di TKT, Ghazali Abdullah, 62, yang tinggal di dalam rumahnya bersama isteri dan seorang cucu, di mana sejak 19 tahun tinggal di situ itu pertama kali dilanda banjir lumpur.

(Gambar: Razman melawat mangsa banjir)

Ghazali, ketika ditemui, berkata kerana tidak menyangka sama sekali banjir akan berlaku sebesar itu, dia dan isterinya tidak sempat berbuat apa-apa menyebabkan banyak barangan berharga di dalam rumah mengalami kerosakan.

"Peti ais, mesin basuh, sofa, karpet, tikar, almari, katil, tilam dan lain-lain rosak tidak sempat diselamatkan apabila air naik dengan deras hingga separas hampir semeter di dalam rumah," katanya.

Ghazali berkata, akibat pelbagai barangan di dalam rumahnya rosak, dia mengalami kerugian kira-kira RM5,000, manakala malam kedua berlaku lagi banjir barangan-barang sama tidak dapat diselamatkan juga,' katanya.

Selain rumah Ghazali, Razman sempat melawat mangsa-mangsa lain, termasuk masyarakat Cina dan India yang turut menjadi mangsa banjir lumpur malam partama itu.

Sementara itu, banjir lumpur dua malam berturut-turut itu adalah akibat limpahan air Sungai Kerok selepas hujan lebih enam jam pada malam pertama dan lima jam malam kedua.

Banjir yang berlaku mulai jam 12.30 malam hingga jam 8 pagi itu turut dialami lebih 30 keluarga di Kampung Banggol Batu, lebih 30 keluarga di Kampung Banggol Belimbing dan lebih 20 keluarga di Kampung Chain dan Batu Dinding.

Premis-Premis lain yang turut ditenggelami air berlumpur kuning ialah Masjid Banggol Batu, Dewan Tabika Kemas Banggol Batu dan Dewan Orang Ramai Banggol Batu.

Di TKT, dua bangunan Sekolah Agama Rakyat turut ditenggelami air menyebabkan berlaku kerosakan ke atas beratus-ratus buku teks selain al-Quran, kitab, malah set komputer turut rosak dimasuki air lumpur.

Turut di landa banjir di TKT ialah Dewan Serbaguna TKT, Surau TKT dan lima buah kedai, manakala berpuluh kereta dan motorsikal turut ditenggelami air.




No response to “BERITA”

Post a Comment