BERITA


Azmin nafi beli saham RM8.5 juta

SHAH ALAM 14 Nov. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali menafikan beliau, isteri serta iparnya membeli saham bernilai RM8.5 juta seperti yang didakwa oleh bekas Ketua Pemuda MIC, S.A. Vickneswaran.

Beliau menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas kerana maklumat dokumen yang diperolehi Vickneswaran mengenai perkara itu adalah tidak benar.

Menurutnya, dokumen tersebut mungkin dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang mahu menjejaskan imej beliau dan kerjaya politiknya serta ahli keluarga.

"Saya belum melihat dokumen yang didakwa oleh Vickneswaran itu. Akan tetapi, saya percaya dokumen tersebut dimanipulasikan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan saya serta isteri memiliki saham RM8.5 juta dari tahun 1992 hingga 1994," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Semalam, Vickneswaran yang juga Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia mendakwa memiliki dokumen-dokumen berkaitan urusan pembelian saham melibatkan Azmin dan isterinya, Shamshida Tahrin termasuk iparnya, Jamal Tahrin yang mencecah RM8.5 juta pada awal 1990-an.

Menurut Vickneswaran, dokumen tersebut diterima daripada seorang lelaki tidak dikenali yang menyerahkan kepada pengawal di kediamannya di Kota Kemuning kira-kira pukul 3 pagi, kelmarin.

Namun, Vickneswaran semalam turut menyatakan tidak tahu-menahu kenapa dokumen tersebut diserahkan kepada beliau termasuklah pihak yang menghantarnya.

Dokumen itu menyatakan maklumat mengenai urusan peruntukan unit-unit saham, pembelian saham dan jumlah kemasukan wang dalam akaun-akaun yang melibatkan Azmin, Shamshida serta Jamal.

Malah, dokumen itu turut mencatatkan sepanjang tempoh tiga tahun mulai 1992, Azmin telah membelanjakan kira-kira RM800,000 untuk membeli saham manakala jumlah saham yang dibeli Shamshida mencecah RM8.5 juta.

Azmin berkata, kenyataan tersebut berunsurkan fitnah, berniat jahat serta bermotifkan politik untuk merosakkan reputasi beliau sebagai Ahli Parlimen Gombak serta Naib Presiden PKR.

Menurutnya, sejak tahun 1998, beliau dan keluarga sering menjadi sasaran fitnah bertujuan untuk mengaibkan dirinya dan keluarga.

Katanya, sebelum ini, beliau juga disiasat oleh pihak berkuasa seperti polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenai perolehan hartanya.

"Bagaimanapun, saya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk butiran lengkap aset yang dimiliki oleh kami sebelum ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk bertindak melalui prosiding undang-undang terhadap pihak yang membuat kenyataan tersebut termasuklah mereka yang melaporkan mengenai dokumen itu.


-----------------


PAMJ diminta satukan Melayu di seluruh negara

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) memainkan peranan aktif untuk menyatukan orang Melayu bukan sahaja di negeri itu bahkan di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau yakin peranan itu dapat dipikul PAMJ kerana barisan kepimpinannya diterajui oleh tokoh yang kaya dengan pengalaman baik dalam bidang politik, kerajaan, perdagangan, kebudayaan dan kesusasteraan.

"Pengalaman inilah yang saya percaya boleh digunakan dalam usaha meningkatkan sokongan, kepercayaan dan dokongan masyarakat terhadap kerajaan untuk sama-sama memajukan negara.

"Dengan adanya jaringan strategik ini, saya yakin bahawa peranan yang boleh disumbangkan PAMJ akan dapat dilihat lebih terserlah pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Tanjung Puteri anjuran PAMJ yang dihadiri kira-kira 1,000 ahlinya di sini malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Penasihat PAMJ, Tun Musa Hitam, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Puad Zarkashi dan Presiden PAMJ, Siti Zainab Sheikh Abu Bakar.

Sementara itu, Muhyiddin yang merupakan penaung PAMJ menyarankan persatuan itu supaya berperanan sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan profail anak negeri yang telah mencapai kejayaan baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, pencapaian mereka mesti dijadikan contoh untuk diteladani anak Johor supaya lebih ramai insan yang berjaya dapat dilahirkan dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan bangsa dan negara.

"Cara ini boleh menggalakkan perkongsian resipi kejayaan dan mewujudkan jaringan pintar ke arah meningkatkan pencapaian anak Melayu Johor dalam pelbagai bidang khususnya perniagaan, perdagangan, perindustrian, sosial, politik dan kebudayaan.

"Secara tidak langsung, inisiatif seperti ini sekiranya dilaksanakan secara gigih dan bersungguh-sungguh pasti dapat melahirkan lebih ramai lagi golongan kelas menengah Bumiputera yang tentunya menjadi salah satu daripada harapan kita," tegasnya.

(Berita ini diambil dari Mingguan Malaysia Online, 15 November 2009)




No response to “BERITA”

Post a Comment