Pantau satu projek sebulan - PM
PUTRAJAYA 6 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengarahkan setiap menteri Kabinet memantau keberkesanan sekurang-kurangnya satu projek setiap bulan sebagai tindakan susulan memastikan pelaksanaan Bajet 2010 mengikut jadual.
Dalam pendekatan yang pertama kali dilaksanakan itu, Perdana Menteri turut mempertanggungjawabkan pemantauan tiga projek masing-masing di bawah setiap seorang Ketua Setiausaha (KSU) kementerian.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, arahan itu dikeluarkan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Tindakan Susulan Bajet 2010 yang dipengerusikan oleh Najib di Kementerian Kewangan di sini petang ini.
Kata Muhyiddin, setakat ini sejumlah 160 projek telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di bawah Bajet 2010 dengan diketuai semua kementerian.
''Pada masa sama, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) telah diberi kuasa untuk bertindak sebagai penyelesai masalah (troubleshooter) bagi projek yang sedang dilaksanakan.
''Jika sebelum ini ia hanya bertindak sebagai pemantau sahaja, tetapi kali ini kalau projek itu menghadapi masalah misalnya berkaitan soal tanah, maka dia kenalah turun padang jumpa Menteri Besar atau kerajaan negeri terlibat.
''Kesemua pendekatan ini dilakukan bagi memastikan kesan Bajet 2010 ini dapat dirasai oleh rakyat dari segi positifnya menerusi kejayaan pelaksanaannya yang mengikut jadual," katanya yang juga Menteri Pelajaran.
Muhyiddin ditemui pemberita selepas mesyuarat khas selama tiga jam itu yang dihadiri sebahagian besar menteri Kabinet dan semua ketua jabatan.
Mengulas pelaksanaan projek di bawah Kementerian Pelajaran yang diketuainya, Muhyiddin berkata, pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 20 buah sekolah berprestasi tinggi yang akan diumumkan dalam seminggu dua ini.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 7 November 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment