BERITA


Jais dibidas, tiada pertuduhan!
Azamin Amin

Kemaskini 1.00 petang:|GOMBAK, 2 Nov: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin membidas sikap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana tidak profesional, sambil lewa dan memungkiri janji apabila tiada wakil atau pendakwa daripada Jais yang hadir ke Mahkamah Syariah sebentar tadi.

Beliau yang dibebaskan oleh pihak mahkamah tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan menyifatkan Jais tidak wajar memperlakukannya seperti itu sehingga menyusahkan pelbagai pihak.

Berita sebelum ini:

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin akan menunggu di Mahkamah Syariah sehingga jam 1 petang nanti untuk menunggu pertuduhan ataupun dokumen berkaitan difailkan ke atasnya.

Sebelum ini, Dr Asri yang tiba di mahkamah sejak jam 9 pagi tadi diberitahu tiada pertuduhan difailkan.

Demikian siri episod tangkapan terhadap Dr Asri yang dianggap aneh oleh pelbagai pihak hari ini apabila diberitahu bahawa tiada pertuduhan atau dokumen berkaitan difailkan pagi ini.

Dr Asri dilihat tiba pada jam 9 pagi tadi kerana diarahkan untuk hadir di mahkamah atas alasan secara lisan oleh pihak Jais bahawa beliau mengajar tanpa tauliah.

Image

(Gambar:Dr Asri di Mahkamah Syariah Gombak hari ini)

Dalam kejadian malam tadi,beliau ditahan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika mengadakan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang termasuk Anggota Parlimen Ampang (KeADILan), Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang (PAS), Saari Sungib.

Namun,Dr Asri yang ditahan tengah malam tadi telah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi. Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi ini.

Di pekarangan mahkamah pagi tadi, Dr Asri menbidas sikap pihak berkuasa dan pendakwa yang tidak hadir lagi sehingga kini.

"Mereka tangkap saya dulu baru tuduh. Tetapi mahkamah kata belum ada apa-apa pertuduhan lagi. Saya pun tak tahu sebab apa nak datang sini

"Pihak Jais yang bagi arahan, tetapi saya nak tahu 'tangan ghaib' siapa di sebaliknya,"tegas Dr Asri.

Menurutnya, tindakan tidak profesional ini menyebabkan membuang masa beliau, para penyokongnya, termasuk wakil-wakil rakyat (Saari Sungib dan Zuraida Kamaruddin) dan wakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.Turut kelihatan di pekarangan mahkamah yang memberikan sokongan kepada beliau adalah Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Hj Ghazali, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani, Marina Mahathir dan Zainah Anwar (SIS).

Ketika ini, Dr Asri berada di luar mahkamah dan sedang berbincang dengan wakil NGO dan wakil-wakil rakyat.

Beliau difahamkan akan bertemu dengan Datuk Jamil Khir sebentar lagi.

Hampir 100 orang hadir untuk memberikan sokongan kepada beliau termasuk puluhan wartawan.

11.00 pagi:Ketika ini, Dr Asri sedang menunggu di dalam Mahkamah Syariah dan beliau berkata akan menunggu pertuduhan sehingga jam 1 petang nanti.

1.00 petang:Dr Asri sebentar tadi dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan dengan jaminan pihak mahkamah.

Menurut beliau, semasa ditemui wartawan, penantian (menunggu pendakwa dan wakil Jais) adalah sesuatu yang sia-sia.

Beliau juga mengkritik Jais kerana tidak hadir untuk memberitahu jenis pertuduhan ke atasnya dan mempersoalkan kenapa badan agama itu memungkiri janji sedangkan beliau telah menunggu sejak jam 9 pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa ada perjanjian antara pihak peguam dan mahkamah bahawa mereka boleh dipanggil bila-bila masa atau sebaliknya.

Bertanyakan sebarang tindakan lanjut di pihaknya, beliau memberitahu, pihaknya akan merujuk kepada peguam.

Dr Asri kini akan menuju ke Hotel Putra, Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Datuk Jamil Khir dan selepas itu satu sidang media akan diadakan.


-----------------------


Umno pengumpul sampah dan barang lusuh kata Aziz Bari
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 2 Nov: Tindakan Umno mahu menerima Adun Perlabuhan Klang, Badrol Hisham Abdullah mengesahkan kedudukan Umno sebagai pengumpul sampah dan barang lusuh sebagaimana yang mereka lakukan di Perak, di Kedah dan sekarang di Selangor, kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Abdul Aziz, profesor undang-undang perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa berkata demikian dalam tulisan terbaru beliau dalam sebuah akhbar tempatan.

Abdul Aziz mengulas tindakan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamafd Khir Toyo yang berkata, Umno sedia menerima Adun Perlabuhan Klang itu menyertai parti itu.

Khir yang juga ketua pembangkang Dun Selangor membuat tawaran itu ekoran tindakan Badrol mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi Adun Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Bagi Dr Abdul Aziz, langkah ini mengesahkan Umno sebagai pengumpul sampah dan bahan lusuh.

Ini kerana, sebelum Badrol mengumumkan keluar parti, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah membuatkan kenyataan mencadangkan PKR meminta Badrol meletakkan jawatan kerana gagal menjalankan tugasnya sebagai Adun.

Badrol bukan sahaja tidak memberikan khidmat, dia juga telah menutup pusat khidmatnya dan tidak mengangkat panggilan telefon dari pejabat MB dan pihak yang ingin mendapatkan khidmat beliau sebagai Adun.

Sebelum Badrol, Umno menerima dua Adun di Perak yang sedang dibicarakan kerana dakwaan rasuah iaitu Adun Behrang, Jamaludin Md Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu.

Umno juga menerima Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh yang memberikan pelbagai jenis masalah kepada kerajaan negeri Kedah.


-------------------------


Tangkapan Dr Asri, Jais tidak profesional

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menangkap Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin dianggap tidak profesional dan mengunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi melahirkan rasa kesal dengan tindakan Jais kerana menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk menangkap penceramah agama dan alim ulama semata - mata kerana mereka tidak memiliki tauliah.

"Saya difahamkan Dr. Mohd Asri ditangkap kerana menyampaikan kuliah tanpa memiliki tauliah. Alasan yang sama membuatkan saya juga hampir tertangkap ketika menyampaikan kuliah dhuha di Surau Ar Raafiq Kota Damansara pada satu ketika dahulu.

"Saya sangat kesal...sedang JAIS boleh menumpukan operasi membenteras aktiviti maksiat dan mungkar yang masih berleluasa di negeri Selangor,"jelasnya dalam laman blog peribadinya hari ini.

Tambahnya, jika soal tauliah menjadi alasan, maka sepatutnya pihak Jais boleh memanggil para penceramah agama ini untuk sessi temuduga bagi menganugerahkan tauliah jika itu merupakan satu prosuder yang mesti diambil, bukannya dengan menggunakan kuasa menghalang dan menangkap sedang penceramah - penceramah ini berbakti kepada agama dan masyarakat untuk membasmi kejahilan.

"Tambah malang apabila mereka turut mensasarkan penceramah agama yang sememangnya memiliki ijazah dalam bidang agama , pula diiktiraf kesarjanaan mereka oleh universiti yang menganugerahkan sijil pengiktirafan ilmu seperti BA, MA dan Phd,"ulasnya lagi.

Dalam kejadian semalam,Dr Asri telah ditangkap oleh pihak polis dan pegawai JAIS pada jam 12.15 tengah malam.

Sebelum itu, kira-kira jam 10 malam tadi,sepasukan lapan anggota daripada Jabatan Agama Islam(JAIS) telah tiba ketika Dr Asri baru selesai menyampaikan kuliahnya yang dilakukan secara rutin setiap bulan, di kediaman di Taman Sri Ukay,dekat sini.

Suasana menjadi agak tegang apaila orang ramai dan para jemaah yang mengikuti kuliah,terkejut dengan kehadiran sepasukan anggota polis sejumlah kira-kira 40 orang,yang mula mengepung pekarangan rumah tersebut.

Beberapa jemaah yang ditemui Harakahdaily,membayangkan situasi tersebut tidak ubah seperti suasana penangkapan bekas Timbalan Perdana Menteri Dato'Seri Anwar Ibrahim dirumahnya di Damansara pada tahun 1998 lalu.

Sungguhpun begitu,Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin,yang berada di kediaman itu,berjaya meminta orang ramai dan pihak polis yang berada di situ bertenang.

Dalam pada itu,kira-kira 2 jam, para pegawai Jais berunding untuk meminta Dr Asri ke pejabat agama atau balai polis berdekatan.

Pada awalnya,Dr Asri mahu para pegawai itu mengambil keterangan di rumah tersebut, namun setelah berbincang agak lama,Dr Adsri akur untuk ke balai polis berdekatan.

Beliau kelihatan menaiki van JAIS dan diiringi oleh beberapa buah kereta peronda polis.

Dipercayai tangkapan itu,berikutan dakwaan beliau yang dikatakan mengajar tanpa tauliah dan ada kaitannya dengan sidang media sebelum ini serta memo bantahan lantikan beliau selaku Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim).

(Berita - berita ini diambil dari Harakah Daily, 2 November 2009)






No response to “BERITA”

Post a Comment