BERITA

Sistem ganjaran lebih berkesan

PUTRAJAYA 2 Nov. – Sistem ganjaran yang lebih berkesan akan diperkenalkan bagi memperkasakan budaya prestasi cemerlang di kalangan penjawat awam dan pentadbiran kerajaan, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, dengan adanya sistem sedemikian, ia dapat memberi motivasi kepada penjawat awam untuk sentiasa menghasilkan kerja berkualiti tinggi yang seterusnya memberi faedah kepada rakyat.

“Perlu ada sistem ganjaran yang menunjukkan kita tidak bertoleransi dengan penyalahgunaan kuasa dan kesederhanaan (mediocrity) dalam kerja.

“Kita nak gubal sistem ganjaran yang lebih bermakna, bukan seperti sistem terdahulu yang menegak dan melintang, ia tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini.

Kata Perdana Menteri, penyalahgunaan kuasa seperti yang dilaporkan pada setiap kali dalam Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan menunjukkan tiada penambahbaikan dalam prestasi kerja penjawat awam.

“Kita perlu buat sesuatu supaya perkara-perkara yang dilaporkan seperti ini tidak berulang sehingga rakyat mencemuh kita dan kata tiada apa-apa tindakan dibuat,” ujarnya.

Perdana Menteri menjelaskan, sistem ganjaran yang bakal diperkenalkan nanti tidak bermakna hanya mereka yang menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai akan diberikan ganjaran, sebaliknya melibatkan semua jabatan.

“Misalnya jabatan yang menunjukkan peningkatan dalam hasil kutipan cukai, kita mungkin memberi ganjaran kepada jabatan yang berjaya dalam setiap pendakwaan yang dibuat atau kita boleh beri kepada jabatan yang menghasilkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) luar biasa,” ujarnya.

Najib memberitahu, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jemaah Menteri sedang mengusahakan kaedah terbaik untuk melaksanakan sistem berkenaan.

Beliau menambah, Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan merupakan antara inisiatif ke arah budaya prestasi cemerlang, di mana setiap kerja yang dilakukan akan diukur serta dinilai secara objektif.

Katanya, amalan budaya cemerlang di kalangan penjawat awam amat penting supaya Malaysia tidak terus berada pada tahap sebuah negara berpendapatan sederhana.

“Kalau kita tidak buat sesuatu, negara akan terus terperangkap dalam ancaman pendapatan sederhana, maknanya kita tidak miskin, juga tidak kaya.

“Ini cabaran besar bagi Malaysia iaitu macam mana nak beri motivasi supaya kita tidak terus melekat pada tahap sekarang tapi menjadi negara yang berjaya mengikut definisi kita,” katanya.

---------------------

Najib persoal penahanan Asri

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan motif penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam.

Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan, tindakan menahan Mohd. Asri adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan tidak ada kena mengena dengan kerajaan Pusat.

"Saya tidak tahu motif penahanan Mohd. Asri yang bercakap berterus-terang dalam ceramahnya dan disokong dengan dalil serta nas-nas yang konkrit berdasarkan al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.

"Saya tidak tahu apa yang didakwa mengenai fahamannya tetapi banyak lagi penceramah yang memberi ceramah tidak pula ditahan, tetapi Mohd. Asri ditahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pasar Tani Peringkat Kebangsaan 2009 dan pelancaran Karavan Pasar Tani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib mengulas penahanan Mohd. Asri ketika berceramah di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang yang dihadiri kira-kira 100 orang malam tadi.

Perdana Menteri menegaskan, persoalan mengenai motif penahanan Mohd. Asri perlu ditanya kepada kerajaan negeri Selangor.

Mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu hanya bersedia berunding dengan UMNO ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib memberitahu, UMNO bersedia berunding kerana ia merupakan tuntutan agama.

Najib memberitahu, UMNO sentiasa mempunyai pendirian jelas bahawa selagi rundingan itu membawa kebaikan maka bersedia untuk mengadakan rundingan.

"UMNO bersedia berunding kerana ia merupakan tuntutan agama, kami buat kerana tuntutan agama bukan kerana politik, itu adalah pendirian kita," katanya.

Perdana Menteri berkata, rundingan antara UMNO dan Pas tidak bermakna kedua-dua pihak terikat tangan.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 4 November 2009)


-----------------------


Kerajaan Perpaduan tumpu agama bukan motif politik

KUALA LUMPUR - UMNO sanggup bekerjasama dengan Pas ke arah membentuk Kerajaan Perpaduan adalah bagi memenuhi tuntutan agama dan bukan berdasarkan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, idea Kerajaan Perpaduan adalah perkara yang baik dan justeru itu, UMNO sanggup mengadakan rundingan itu dengan Pas.

“Kita mempunyai pendirian jelas bahawa asalkan untuk kebaikan, kita sanggup mengadakan rundingan. Ia bukan semestinya kita terikat tangan atas apa-apa persetujuan.

“Kita hendak cari sesuatu yang baik... sesuatu yang baik adalah tuntutan agama. UMNO membuat sesuatu itu bukan berdasarkan politik tetapi tuntutan agama,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Pasar Tani Peringkat Kebangsaan 2009 dan pelancaran Karavan Pasar Tani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Najib diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang minggu lepas bahawa isu kerajaan perpaduan mahu pun cadangan bekerjasama dengan UMNO “tidak lagi wujud dalam kamus” Pas.

Abdul Hadi berkata, cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan dikemukakan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Mengenai kenyataan Abdul Hadi yang beliau tidak tahu sikap pemimpin UMNO sekarang berhubung idea kerajaan perpaduan itu, Najib berkata, pendirian UMNO jelas iaitu jika sesuatu perkara itu memberi kebaikan, ia sanggup mengadakan rundingan dengan Pas.

“Saya tidak tahu apa pendirian Pas sebenar. Kalau nak jelas (mengenai perkara itu), kena tanya mereka (pemimpin Pas),” katanya.
(Berita ini diambil dari Sinar Harian Online - Bernama, 4 November 2009)






No response to “BERITA”

Post a Comment