BERITA

'Jais guna kuasa untuk elak berhujah secara ilmiah'
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 5 Nov: Sokongan kepada bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertambah lagi apabila dua badan bukan kerajaan, Forum Profesional Muslim (MPF) dan Barisan Perubahan Islam (IRF) melahirkan sokongan kepada Asri dan mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Badan tersebut mengkritik Jais sebagai menggunakan kuasa kerana tidak mampu untuk berdabat secara ilmiah dalam menangani isu pentauliahan Asri untuk mengajar agama di negeri Selangor.

Mengulas serbuan yang dilakukan ke atas majlis agama oleh Asri itu, kenyataan itu menjelaskan bahawa "tindakan Jais ini hanya menzahirkan bahawa institusi itu tidak bersedia dan berkemampuan untuk berhujah dengan pengkritiknya di pentas intelektual dan terpaksa beralih kepada penggunaan kuasa kekerasan."

Menurut kenyataan itu lagi, alasan pentauliahan Asri yang dijadikan alasan Jais bercanggah dengan "prinsip kebebasan intelektual" yang dilihat sepanjang sejarah Islam, dan ini memudahkan pengkritik jabatan agama itu untuk menuduhnya sebagai alat "segelintir tokoh-tokoh agama" untuk memaksa pandangan mereka diterima.

MPF dan IRF juga dalam kenyataan itu menggesa kumpulan dan gerakan Islam menerima kebebasan pendapat dengan menghadapi perbezaan melalui hujah dan mengelakkan serangan peribadi.

Kenyataan ini meningkatkan lagi sokongan kepada tokoh agama popular itu dan meletakkan Jais dalam kedudukan defensif, ditambah dengan sokongan terbuka pemimpin-pemimpin politik dan tokoh-tokoh berpengaruh daripada pelbagai latar politik terhadap Asri.


---------------------


Ahli Parlimen PR wilayah mahu jumpa Menteri bincang isu PPR
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 5 Nov: Ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan akan menghantar satu memorandum khas kepada Menteri Wilayah Persekutuan mengenai isu penjualan perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Projek Perumahan Awam (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negera (MTEN).

Memorandum berkenaan juga bagi membantah perlantikan lima orang ahli politik Barisan Nasional ke dalam Ahli Lembaga Penasihat DBKL yang jelas melanggar undang-undang akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Dalam satu kenyataan bersama di lobi parlimen pagi tadi, mereka berkata, meskipun ahli-ahli parlimen Pakatan Wilayah Persekutuan menyambut baik penjualan ini, namun mereka mendapati terlalu banyak kesan negatif kepada pembeli dan penyewa unit-unit perumahan berkenaan pada masa akan datang.

Mereka juga mengambil kira keluhan dan kebimbangan penyewa dan penghuni akibat daripada dasar dan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.

Keputusan itu juga dibuat kementerian terbabit tanpa mengadakan perbincangan dengan ahli parlimen Pakatan Wilayah Persekutuan.

Image Memorandum yang akan dihantar itu mengandungi lapan gesaan serta cadangan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, iaitu:

1) Mengkaji semula syarat dan terma penjualan yang ditetapkan.

2) Memastikan DBKL terus menyelenggara unit dan kawasa perumahan yang telah dijual, bukan 'joint management body' (JMB)

3) Membaik pulih semua unit yang rosak serta prasarana dan kemudahan awam kawasan perumahan sebelum dijual

4) Memberi peluang kepada semua penyewa unit di keseluruhan kawasan perumahan di Wilayah Persekutuan

5) Memberi peluang kepada pembeli melantik peguam mereka sendiri bagi perjanjian sewa beli

6) Menyelesaikan masalah strata pembeli terdahulu yamg masih belum memiliki hak strata mereka yang melebihi sepuluh tahun iaitu di Loke Yew/Sri Pulau Pinang, Hang Tuah dan Razak Mansion)

7) Memberi kemudahan pinjaman yang dibiayai oleh kerajaan dengan menubuhkan satu dana khas faedah rendah

8) Mengadakan perbincangan dan taklimat kepada semua ahli parlimen Wilayah Persekutuan terlebih dahulu mengenai program penjualan ini.

Turut dipersoalkan kenapa lima ahli politik BN iaitu Ketua Bahagian Umno Seputeh, Musthapa Kama Moh Yusof, Keyua Wanita Umno Lembah Pantai, Datuk Sharifah Aminah Syeh Ahmad, Ketua Umno Bahagian Batu, Yahaya Mat Ghani, Ketua Bahagian MIC Batu, Ramanathan Chinu, dan Ketua Gerakan Batu, Lim Si Pin.

Pelantikan mereka ini dilihat membelakangi wakil rakyat Pakatan yang telah dipilih oleh rakyat.

Sehubungan itu, mereka akan mengatur pertemuan dengan Menteri Wilayah PErsekutuan, Datuk Raja Nong Chick dalam waktu terdekat ini bagi menyerahkan memorandum itu.

10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sebanyak 29, 562 unit PPR di bawah seliaan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di 20 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dijual pada harga RM35,000.

Namun penduduk mendakwa mereka tidak diberikan penerangan yang jelas berkenaan proses jual beli dan prosedur yang harus dilakukan bagi mereka yang tidak mahu membeli rumah berkenaan sebaliknya ingin terus menyewa.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 6 November 2009)


No response to “BERITA”

Post a Comment