BERITA


Tiada rakyat dipencilkan - TPM


Muhyiddin Yassin bersama isteri, Noorainee Abdul Rahman dan Rais Yatim meletakkan pelita di atas kolam pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali di Ladang Siliau, Port Dickson, semalam.


PORT DICKSON 1 Nov. - Hak semua warganegara dalam gagasan 1Malaysia akan sentiasa terjamin dan tiada seorang pun yang akan merasa terpencil atau dipencilkan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan terus memberikan komitmen berteraskan prinsip pentadbiran yang adil untuk semua yang berlunaskan perlembagaan dan Rukun Negara.

Beliau menegaskan, hanya di Malaysia, rakyatnya yang berbilang kaum sama ada mereka tinggal di bandar, estet, kampung baru atau di ceruk belantara tetap menerima hak yang sama.

"Kita tiada rakyat kelas satu atau kelas kedua, begitu juga kelas ketiga sebagaimana berlaku di negara lain. Ini tidak berlaku di Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali di Ladang Siliau di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Kata Muhyiddin, banyak insentif disediakan oleh kerajaan untuk memperkasakan kaum India khususnya dalam pendidikan yang mampu menjamin masa depan yang lebih baik.

"Identiti masyarakat India yang dahulunya dikenali sebagai buruh estet, akan kita ubah dengan meningkatkan peratusan pendidikan, termasuklah memberi peluang yang lebih baik dalam perkhidmatan awam," jelas beliau.

Dalam hubungan ini kata beliau, perpaduan kaum yang berlaku sekarang adalah hasil kerja kuat semua pihak terutama kerajaan sendiri dalam menyatukan rakyat menerusi pelbagai dasar dan yang terkini ialah 1Malaysia.

"Hari ini gagasan itu sudah mula diterima oleh rakyat. Marilah kita jadikan negara Malaysia ini sebagai contoh kepada dunia dalam pentingnya penjagaan perpaduan semua kaum," jelas beliau.

Mengenai majlis rumah terbuka yang diadakan di Ladang Siliau ini, beliau berkata, ia bagi menunaikan janji kerajaan untuk menganjurkannya selepas penduduk memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, baru-baru ini.

"Orang berbudi, kita berbahasa. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat dan pengundi di Bagan Pinang ini kerana terus memberi kepercayaan kepada kerajaan dan BN.

"Sebab itulah, kita memilih lokasi di sini kerana ia ada signifikan dan bertepatan sekali di atas budi baik di Bagan Pinang dan Negeri Sembilan yang telah memberikan kemenangan kita pada pilihan raya kecil yang lalu," katanya.

----------------------

Penubuhan jawatankuasa siasat penyelewengan

IPOH 1 Nov. - Penubuhan jawatankuasa petugas untuk menyiasat unsur penyelewengan dan rasuah bukan bertujuan menghukum sesiapa, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan usaha kerajaan untuk memastikan sistem penyampaian berkesan pada masa depan.

Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa itu kerana ia merupakan penanda aras kepada mana-mana jabatan kerajaan supaya tidak berlakunya ketirisan.

"Jangan pula ada pihak-pihak yang memanipulasikan Laporan Audit Negara kerana laporan itu harus dilihat secara positif dalam usaha untuk mengemas kini sistem penyampaian.

"Saya tidak anggap Laporan Audit Negara itu tidak baik kepada kerajaan, tetapi untuk membaiki sistem penyampaian kita yang berkesan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Sijil Perakuan Layak Menduduki (CF) kepada 73 pembeli rumah di Taman Klebang Putra dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Kabinet semalam supaya satu jawatankuasa petugas ditubuhkan untuk menyiasat unsur penyelewengan dan rasuah yang didedahkan dalam Laporan Audit Negara 2008.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Ia dianggotai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan awam (JPA), Ketua Audit Negara, Peguam Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada masa yang sama, Zambry berkata, rakyat boleh mengemukakan aduan kepada pihaknya dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian di negeri ini.

"Saya telah mengarahkan setiap rungutan rakyat di negeri ini dapat dijawab dalam tempoh 14 hari," katanya.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 2 November 2009)



No response to “BERITA”

Post a Comment