BERITA


Polis selamatkan pengusaha salun



WANITA yang diselamatkan polis selepas menjadi mangsa ugutan seorang lelaki (gambar bawah kanan) di Waterfront 3, Ampang, semalam.

Teman lelaki guna pistol ugut tauke salun ditahan

AMPANG: Seorang pengusaha salun kecantikan melalui detik mendebarkan apabila dijadikan tebusan oleh teman lelakinya sebelum berjaya diselamatkan polis di Ampang Waterfront 3, di sini tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 12.54 tengah hari itu, suspek yang juga anak seorang anak ahli perniagaan terkenal di Pulau Pinang, dikatakan berang apabila mangsa yang sudah berumahtangga tidak menjawab panggilan telefonnya, selain mengesyaki wanita terbabit mempunyai kekasih lain.

Difahamkan, suspek yang baru meraikan ulang tahunnya ke-23 semalam kemudian bergegas menemui mangsa di salun miliknya itu untuk membincangkan masalah mereka sebelum berlaku pertengkaran.

Lelaki itu dipercayai gagal mengawal kemarahannya sebelum mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tiga das tembakan rambang ke arah dinding serta siling salun berkenaan, menyebabkan dua pekerja bertempiaran menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, suspek melepaskan teman wanitanya itu sebelum menyerah diri selepas kira-kira lima minit berunding dengan polis yang tiba di tempat kejadian jam 1 tengah hari sebaik dimaklumkan orang ramai terdengar bunyi tembakan dari premis berkenaan.



Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, berkata siasatan rapi sedang dijalankan bagi me-ngenal pasti motif sebenar kejadian, namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca dari cemburu dan masalah peribadi pasangan itu.

Katanya, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 kerana ada tembakan senjata api dilepaskan dalam kejadian itu.

“Kita akan menyiasat dari mana dan bagaimana senjata api itu diperoleh suspek, selain mengenalpasti sama ada lelaki berkenaan memilikinya secara sah atau sebaliknya,” katanya di tempat kejadian.

Beliau turut mengesahkan polis merampas sepucuk pistol jenis Walter bersama tiga peluru hidup daripada suspek yang kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, selain menemui tiga kelongsong peluru di tempat kejadian.


------------------


Najib digelar 'Pemimpin Reformis Ekonomi'

Daripada Kamarulzaidi Kamis dan Johan Afandi dari SUntec City, Singapura
bhnews@bharian.com.my


NAJIB pada sesi dialog CEO Summit, Apec di Singapura, semalam.

Usaha bendung kesan krisis global dapat pengiktirafan

DATUK Seri Najib Razak semalam diperkenalkan sebagai 'Pemimpin Reformis Ekonomi' pada Sidang Kemuncak Ketua Eksekutif (CEO Summit) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) susulan kejayaannya membendung kesan krisis global dan usahanya dalam merangka pelan transformasi Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Jolokan diberikan oleh moderator sesi dialog sidang itu, Datuk Timothy Ong yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei dan mendapat tepukan gemuruh lebih 1,000 delegasi terdiri tokoh perniagaan global, ketua bank pusat, pegawai kanan kerajaan dan menteri negara anggota Apec yang hadir pada persidangan itu.

CEO Summit adalah dialog perniagaan paling utama bagi rantau Asia Pasifik yang mengumpulkan ketua korporat dan penggubal dasar untuk membincangkan mengenai peluang ekonomi, hala tuju pertumbuhan dan menilai pelbagai bidang kerjasama.

Selain Najib, turut menjadi ahli panel sesi soal jawab itu di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Suntec di sini semalam ialah, Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick; Ketua Eksekutif MEC Group Global, Madhu Konera; Presiden Inter-American Development Bank, Dr Luis Alberto Moreno; Pengerusi Dewan Perniagaan Antarabangsa, Victor Fung dan Pengerusi PricewaterhouseCoopers International Ltd, Dennis M Nally.

Ketika ditanya mengenai keberkesanan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi, Perdana Menteri berkata, dua pakej bernilai RM67 bilion diperkenalkan pada November 2008 dan Mac lalu itu, mewakili kira-kira sembilan peratus daripada KDNK, justeru menjadikannya antara yang tertinggi di dunia.

"Kami menambah perbelanjaan kerajaan kira-kira RM1 bilion setiap bulan sejak pakej itu diperkenalkan. Pada masa sama, kami juga melaksanakan liberalisasi 27 sektor kecil perkhidmatan, kewangan, penawaran lesen bank komersial baru kepada syarikat asing, mengukuhkan kedudukan sektor kewangan Islam dan melonggarkan Garis Panduan Pelaburan Asing.

"Tanpa pakej itu, kita mungkin tidak dapat mencapai pertumbuhan tiga peratus tahun depan. Ia mesti berjaya, jika tidak anda tidak akan dapat melihat saya bertahan terlalu lama," kata Najib secara terus terang dan disambut gelak ketawa perwakilan.

Menjawab pertanyaan delegasi sama ada krisis global semasa sudah berakhir, Najib berkata: "Ya, tetapi dua persoalan perlu diperhati iaitu sama ada pemulihan itu akan berterusan atau adakah kita mampu menjana pertumbuhan sama seperti sebelum berlakunya krisis."

Secara umumnya, katanya, walaupun negara pasaran besar seperti India dan China serta Indonesia akan menjana pertumbuhan baik tahun depan dan seterusnya, namun negara yang lebih terdedah kepada pasaran luar seperti Malaysia adalah seumpama "mangsa kejayaan sendiri."

"Saya letakkan Malaysia dalam kategori ini kerana jumlah perdagangan luarnya adalah dua kali ganda daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Saya rasa Singapura juga dalam kategori sama," katanya.

Justeru, Najib berkata, adalah penting rundingan Pusingan Doha Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) dalam menghapuskan halangan perdagangan dapat dimuktamadkan.

"Saya ingin menjadikan forum Apec di Singapura ini untuk membuat kenyataan politik bahawa kami sama sekali menolak aktiviti perlindungan pasaran dan kami mahu rundingan Pusingan Doha dimuktamadkan.

"Saya juga berharap ketua negara Apec mempunyai pendirian sama dalam hal ini. Dalam perkara ini, komitmen Amerika amat penting," katanya.

(Berita2 ini diambil dri Berita Harian Online, 14 November 2009)






No response to “BERITA”

Post a Comment