BERITA


Lawatan Jintao kukuhkan hubungan Malaysia-China


Najib Tun Razak menunjukkan keindahan seni bina bangunan Perdana Putra kepada Hu Jintao sebelum mengadakan rundingan dua hala di Putrajaya, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 11 Nov. - Lawatan dua hari Presiden China, Hu Jintao ke Malaysia berjaya meningkatkan lagi keakraban hubungan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedua-dua negara juga bersetuju untuk menjalinkan lebih banyak kerjasama dalam pendidikan, pembangunan pelancongan, keselamatan dan hubungan di peringkat antarabangsa.

Malaysia-China juga sepakat untuk menggalakkan pembabitan lebih banyak sektor swasta dari kedua-dua negara bagi membangunkan projek-projek yang telah dipersetujui.

"Sepanjang tempoh lawatan ini kami telah bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang yang akhirnya boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara sekali gus menjadikan hubungan lebih akrab,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan tengah hari bagi meraikan lawatan Jintao di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Najib turut mengimbau sejarah Laksamana Cheng Ho ketika membawa Puteri Hang Li Po untuk dikahwinkan dengan Sultan Melaka ketika itu.

"Laksamana Cheng Ho datang ke Melaka membawa Puteri Hang Li Po tetapi Presiden Juintao membawa nilai persahabatan kepada negara kita,'' tambahnya.

Sementara itu Jintao dalam ucapan balasnya telah menyatakan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama strategik khususnya dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Katanya, China turut berminat untuk meneroka bidang-bidang baru yang berpotensi untuk dimajukan.

"Kami juga komited untuk mengadakan kerjasama dengan Malaysia bagi mempromosi hubungan China dan ASEAN.

"Malaysia adalah anggota penting dalam ASEAN dan kami yakin dengan sumbangan yang boleh diberikan oleh Kuala Lumpur untuk menguatkan lagi hubungan kami dengan rantau ini,'' ujarnya.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 12 November 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment