BERITA


Abu Hassan tetap tidak berhak hadir sidang DUN - Speaker

ALOR SETAR 13 Nov. - Speaker Dewan Undangan negeri Kedah (DUN) Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail tetap dengan pendiriannya bahawa Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Shariff tidak berhak untuk menghadiri Persidangan DUN pada Selasa ini.

Abdul Isa memberitahu, jika Abu Hassan ingin menghadiri sidang Dewan, beliau hanya akan diberikan status pemerhati dan bukan sebagai ADUN.

"Orang luar tidak perlu masuk campur dalam urusan ini kerana ini hal rumah tangga kerajaan negeri Kedah.

"Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Timbalan Perdana Menteri dan beliau telah mengarahkan Abu Hassan untuk hadir ke Dewan namun saya rasa beliau tidak perlu masuk campur dalam urusan speaker," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Isa diminta mengulas kenyataan Muhyiddin semalam yang mengarahkan Abu Hassan menghadiri sidang DUN walaupun surat pembatalan jemputan untuk menghadiri sidang DUN telah dihantar kepadanya.

Ini kerana, menurut Muhyiddin, BN berpegang kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa kerusi itu tidak kosong dan Abu Hassan masih wakil rakyat yang sah bagi DUN Kota Siputeh.

Menurut Abdul Isa, beliau telah membuat keputusan bahawa ADUN Kota Siputeh itu bukan seorang anggota Dewan selepas gagal menghadiri sesi DUN tanpa kebenarannya dan ia menyalahi Perkara 51 Undang-Undang tubuh Kerajaan Kedah (UTKK).

"Pada saya Abu Hassan bukan lagi anggota Dewan dan dia tidak perlu memasuki sidang DUN sebagai ADUN.

"Saya sudah membuat keputusan ini dan tidak akan mengubah pendirian berhubung perkara ini," katanya.

Ujarnya, mahkamah telah menetapkan Isnin ini untuk memutuskan sama ada pilihan raya baru akan diadakan bagi kerusi DUN kawasan Kota Siputeh.

"Jika mahkamah memutuskan bahawa tiada pilihan raya baru dan Abu Hassan adalah ADUN bagi kawasan tersebut maka saya akan menghormati keputusan ini.

"Jadi kita tunggu sahaja Isnin ini untuk menentukan kedudukan ADUN Kota Siputeh tersebut," tambahnya.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 14 November 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment