BERITA

Husam nafi mahu lepas semua jawatan

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menafikan khabar angin beliau akan melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan negeri Kelantan.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan dan Exco kanan kerajaan negeri itu menegaskan, tidak pernah terlintas di hatinya untuk berbuat demikian.

Malah, katanya, desas-desus itu disifatkan sebagai antara agenda terancang untuk 'mematikan' kariernya yang masih belum berhasil.

Beliau yang menggelarkan dirinya sebagai murid dan budak tok guru (merujuk kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) berkata, tindakan mengambil cuti beberapa hari bagi merawat penyakit tulang belakangnya langsung tidak boleh dikaitkan dengan spekulasi meletak jawatan.

''Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama? Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?

''Tok Guru telah cuba dimalukan. Cuba dipinggirkan kerana pendiriannya yang tegas dan hasratnya yang jelas untuk membawa negara kita menuju perubahan. Saya sebagai murid dan 'budak' Tok Guru, mengangkat bendera putih semata-mata kerana Utusan Malaysia cuba 'mengagendakan' kami?" soalnya.

Beliau berkata demikian dalam entri bertajuk Oh..., Mingguan Malaysia dalam blognya, cetusan-hati.blogspot.com.

Semalam, Mingguan Malaysia dalam laporan muka depannya menyebut mengenai kekusutan dalam Pas Kelantan terutama tentang khabar angin dikatakan Husam mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan negeri.

Namun, hasrat tersebut tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas dan Husam dipercayai diberikan cuti selama lima hari bermula kelmarin untuk berehat.

Tindakan Husam untuk melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan itu dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman, yang juga menantu kepada Nik Abdul Aziz.

Spekulasi mengenai peletakan jawatan tersebut diperkuatkan dengan dakwaan Husam yang dilaporkan oleh sebuah akhbar dan portal berita bahawa wujud konspirasi untuk menjatuhkan beliau dengan melaga-lagakan dengan mentornya, Nik Abdul Aziz.

Husam dalam blognya mengakui laporan itu telah mencetuskan keadaan yang pelbagai termasuk menerima beratus khidmat pesanan ringkas (SMS), panggilan telefon sejak awal pagi bertanyakan mengenai perkara berkenaan.

''Mingguan Malaysia sekali lagi 'memandang tinggi' pada saya dengan berita provokatif muka depan. Dulu, saya diserang bertubi-tubi menjelang Muktamar Pas. Agenda 'mematikan' saya nampaknya belum berakhir,'' katanya.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 24 November 2009)

One response to “BERITA”

HR said...

Assalamualaikum
Dijemput bersama HR MARKETING.Membina ekonomi keluarga.

Post a Comment