BERITA



Nik Aziz kesal penangkapan Dr Asri
Rizal Tahir
KOTA BHARU, 3 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa dukacita di atas penangkapan yang dilakukan ke atas bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Ketika dihubungi Harakahdaily beliau berkata, tindakan berkenaan amat tidak wajar dilakukan ke atas seorang pendakwah apa lagi kesalahannya belum dapat dipastikan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden tangkapan yang berlaku ke atas pendakwah berkenaan malam tadi ketika menyampaikan kuliah agama di Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur.

Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS itu juga mengngagap ia satu tindakan yang melampau kerana menangkap seorang tokoh agama yang juga bekas mufti.

"Penangkapan itu amat tidak masuk akal, masih ramai lagi orang yang patut ditangkap, tetapi kenapa seorang pendakwah, dia mengajar agama dan bukannya buat huru hara atau melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama,"ujarnya lagi

Nik Aziz berkata walaupun ada pihak mendakwa Dr Mohd Asri menyebarkan ajaran Wahabbi, ia perlu diperhalusi terlebih dahulu bagi memastikan ia benar-benar salah di sisi undang-undang.

"Nasihat saya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), jangan buat untuk kali kedua kerana akan merosakkan imej Islam di Malaysia dan seterusnya merosakkan imej golongan pendakwah itu sendiri," katanya.

Beliau meletakkan masaalah itu seharusnya dibincang terlebih dahulu antara Asri dengan JAIS dan bukannya terus menangkap tanpa pasti kesalahannya.

Katanya, kalau benar dia telah melakukan kesalahan di sisi undang-undang, barulah tindakan diambil terhadapnya dan bukannya menangkap begitu sahaja tanpa mengetahui hujung pangkalnya.

"Masyarakat juga menjadi keliru dengan kejadian itu," ujarnya lagi.


-------------------------


8 tuduhan rasuah, Abdul Rahman mengaku tidak bersalah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Nov:Ahli Parlimen Sabak Bernam, Abdul Rahman Bakri dihadapkan dengan lapan pertuduhan memalsukan tuntutan berjumlah RM80,000 bagi projek yang tidak wujud.

Abdul Rahman mengaku tidak bersalah ke atas lapan pertuduhan rasuah kerana mengemukakan invois mengandungi butiran palsu bagi melaksanakan satu program yang tidak diadakan ketika beliau menjadi ADUN.

Beliau sebelum ini merupakan ADUN Ayer Tawar sebelum menang kerusi Parlimen Sabak Bernam dalam pilihan raya yang lalu.

Hakim Syafeera Mohd Said menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu,bekas pegawai menteri besar Selangor, Mohd Yahya Mohd Sahri dituduh memperdaya seorang ahli perniagaan sejumlah RM50,000 yang didakwa akan digunakan untuk program Pakatan Rakyat tahun lalu.

Bekas pemimpin PKR Selangor itu juga dituduh memalsukan dokumen untuk membuka satu akaun parti itu.

Mohd Sahri mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM10,000.

Selain itu, pembantu kepada exco kerajaan Selangor, Wong Chuan How, dituduh membuat tuntutan palsu RM2,500 kepada Majlis Perbandaran Sepang berhubung pembelian bendera.

Pembantu kepada Ronnie Liu itu dihadapkan dengan pertuduhan pecah amanah sekeping cek bernilai RM5,000.

Wong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan mengemukakan invois palsu kepada Majlis Daerah Sepang tahun lepas.

Invois itu adalah bagi pembekalan 2,500 bendera kereta bernilai RM2,500 sempena program Hari Kemerdekaan tetapi pembekalan itu tidak dilakukan.

Wong, 51, juga mengaku tidak bersalah melakukan pecah amanah berhubung sekeping cek bernilai RM5,000.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dilaporkan telah menangkap lima orang termasuk bekas Pegawai Menteri Besar Selangor serta seorang anggota Parlimen Barisan Nasional dan akan didakwa hari ini.

Bekas pegawai MB itu ditangkap kerana disyaki menipu dan memperdayakan seorang presiden sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Negeri Selangor bagi tujuan pembiayaan sebuah majlis anjuran Kerajaan Negeri berkenaan.

Nilai yang terlibat adalah sebanyak RM50,000.00, kata satu kenyataan SPRM semalam.

Menurut kenyataan itu, beliau akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada pagi ini.

Selain itu, SPRM Selangor juga dilaporkan telah menangkap seorang bekas Adun dan pembantunya atas kesalahan di bawah Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.

Bekas Adun tersebut yang kini seorang Ahli Parlimen ditangkap atas kesalahan mengemukakan invois-invois yang mengandungi butiran matan palsu semasa beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor bagi melaksanakan satu program yang tidak dijalankan.

Manakala itu, pembantu beliau ditangkap atas kesalahan bersubahat dengan bekas Adun berkenaan dalam membuat tuntutan bagi program yang sama.

Selain mereka, turut ditangkap adalah seorang pembantu Exco kerajaan negeri Selangor dan seorang ahli perniagaan. Kedua-duanya juga akan didakwa.


-------------------------


Dr Asri: Hormati hak individu untuk tuntut ilmu

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 2 Nov: Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin meminta pihak-pihak tertentu agar tidak menggunakan kuasa agama sewenang-wenangnya untuk menangkap dan menghukum seseorang serta menghormati hak asasi seseorang untuk menuntut ilmu.

Beliau yang ditahan atas kesalahan mengadakan kuliah agama tanpa tauliah berkata, kerajaan seharusnya menyelaraskan tauliah yang diberikan agar dapat digunakan di semua negeri, bukan untuk negeri-negeri tertentu sahaja.

"Kalau satu individu nak berceramah di 14 buah negeri, takkan kena ada 14 tauliah. Kita mahu diselaraskan satu tauliah, supaya boleh dipakai di semua negeri. Saya boleh mengajar di universiti, pensyarah di USM Pulau Pinang. Saya ada pelajar master dan PHD di bawah (seliaan) saya. Mari nak mengajar di sini (Selangor), dia (JAIS) kata tak boleh. Universiti tu universiti kerajaan juga," katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, siang tadi.

Beliau tiba di perkarangan mahkamah itu sejak 8.45 pagi sebelum dijadual dituduh jam 9 pagi.

Bagaimanapun menjelang jam 1 tengah hari, beliau dibebaskan dengan jaminan Jais selepas menunggu pihak pendakwaan hampir empat jam di situ.

Image Ditanya adakah tangkapan ini akan melunturkan semangat beliau untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat, beliau berkata:

"Saya Alhamdulillah tak rasa apa-apa. Saya rasa mudah-mudahan (tangkapan) ini boleh menjadi satu titik tolak dalam negara ini supaya kita menggubal undang-undang yang lebih terbuka dalam negara. Hormati hak asasi hak masyarakat untuk mendapatkan ilmu,"ujarnya penuh semangat.

Dr Mohd Asri ditahan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika mengadakan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang termasuk ahli parlimen Ampang (PKR), Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang (PAS), Saari Sungib.

Sementara itu ahli parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali (gambar bawah) yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat kesal dengan penangkapan yang dilakukan terhadap Dr. Asri.

"Saya rasa memang sangat tidak wajar beliau ditangkap begitu kerana beliau adalah seorang ulama', bukan sahaja terkenal dari segi populariti tetapi dari segi ilmu. Sehingga ke peringkat PhD," katanya ketika ditemui di lobi parlimen siang tadi.

Image Sebelum itu beliau turut hadir ke mahkamah bagi menunjukkan sokongan moral kepada Dr. Asri.

Beliau turut menyifatkan tangkapan yang dilakukan Jais itu sebagai mengaibkan dan menjatuhkan maruah Dr. Asri sebagai tokoh agama yang disegani masyarakat.

"Cara penangkapan itu memang mengaibkan dan menjatuhkan maruah beliau. Saya difahamkan antara 50 ke 100 orang polis ada bersama-sama pegawai-pegawai JAIS untuk menangkap seorang ulama. Saya rasa sangat kesal,"ujarnya.

Beliau juga tidak menafikan kemungkinan wujudnya unsur sabotaj pihak tertentu kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana penangkapan itu dilihat sangat bertentangan dengan sikap kerajaan negeri yang sangat terbuka dalam menyalurkan ilmu kepada masyarakat.

"Saya bimbang ada unsur sabotaj kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebab saya lihat penangkapan ini sangat bertentangan dengan kehendak kerajaan Selangor yang sangat terbuka terhadap ilmu. Tiba-tiba seorang yang berpontensi seperti Dr. Asri ditangkap dan dimalukan begitu sekali," katanya lagi.

Ahli parlimen Baling, Ustaz Taib Azamudin (gambar bawah) yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara pula berpandangan, jika memang benar Dr. Asri ada melakukan kesilapan sewaktu menyampaikan ilmu, beliau tidak seharusnya diperlakukan sedemikian.

ImageBeliau juga berkata, masalah tiada tauliah seperti yang didakwa seharusnya tidak timbul memandangkan latar belakang Dr Asri yang terkenal dalam bidang agama dan pernah memegang jawatan mufti.

"Dalam kes Dr. Asri, bagi saya bukan masalah tauliah yang patut kita utamakan. Sebab beliau adalah di antara orang yang dikenali latar belakangnya. Lebih-lebih lagi kerajaan Perlis pernah ambil beliau jadi mufti. Beliau pun bekas pensyarah dan kini menjadi pensyarah pula. Jadi orang-orang yang kita tahu latar belakang pendidikan yang sebegini, saya rasa tauliah bukan satu perkara yang harus kita jadikan satu perkara utama.

"Cuma kalau betul pun ada perkara-perkara yang perlu diperbetulkan disebabkan ketersasulan, kesilapan beliau, bagi saya bukan dengan cara penangkapan begini. Itu boleh dibetulkan dengan saluran yang lain atau lebih selesa," katanya.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 4 November 2009)






No response to “BERITA”

Post a Comment