BERITA


saman RM105j

Oleh Azran Jaffar dan Noor Hazwan Hariz Mohd
bminggu@bharian.com.my

Kerajaan serah kepada Peguam Negara tuntutan keluarga tiga mangsa mati lemas di Kuala Dipang

BANDUNG: Kerajaan menyerahkan kepada Peguam Negara untuk meneliti kes saman RM105 juta oleh keluarga tiga mangsa yang mati lemas dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Perak pada 26 Oktober lalu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau belum mendapat maklumat terperinci mengenai kes saman itu tetapi kerana sudah ada kes, kerajaan akan mendapatkan nasihat Peguam Negara.

"Saya belum dapat butiran kenapa mereka saman tetapi kerana dah ada kes, kita dapatkan nasihat Peguam Negara yang akan menelitinya dari semua sudut," katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan 11 pemimpin Kelab Umno seluruh Indonesia di sini, semalam.

"Memang tak dijangka. Itu malapetaka yang tak kita duga. Walau apa pun saya tak nak komen banyak kerana kenyataan saya mungkin boleh digunakan pihak tertentu," katanya.

Tanpa ingin mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, biarlah kes itu dilihat dari segi undang-undang negara.

Tiga bapa kepada tiga murid yang meninggal dunia dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan berhampiran Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang di Kampar itu pada Jumaat lalu, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi, Ipoh, Perak bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta daripada 10 defendan.

Dalam saman itu, K Mageswaran, K Vasudevan dan T Nathan menamakan sebagai defendan, guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Di Awan, Guru Besar SJKT Gopeng; Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan; Pengarah Pelajaran Negeri Perak; Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan Komandan Kem 1Malaysia Kuala Dipang.

Pihak yang lain yang disaman ialah penderma jambatan gantung itu iaitu syarikat GS Synergy Sdn Bhd, syarikat kontraktor CWL Enterprise, Menteri Pelajaran dan kerajaan Malaysia.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan A Sivanesan & Co pagi semalam di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak.

Di SHAH ALAM, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian akan membantu Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak termasuk dari segi perundangan berhubung tuntutan saman itu.

Beliau berkata, pihaknya tetap mempertahankan JPN negeri serta guru sekolah terbabit dalam tragedi berkenaan kerana ia bukan salah mereka berikutan sudah mengambil tindakan mengikut prosedur dan peraturan ditetapkan.

Katanya, beliau kesal dengan tindakan pembangkang yang menghasut keluarga mangsa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran semata-mata untuk memburukkan imej kerajaan dan meraih keuntungan politik.

"Saya sendiri sudah pergi berjumpa keluarga mangsa yang terkorban. Mereka sendiri tidak mempersalahkan sekolah mahu pun JPN di atas tragedi itu. Tetapi, tiba-tiba saja sekarang berubah fikiran dan mengambil tindakan saman.

"Apa yang kami boleh lakukan ialah membantu JPN Perak dan sekolah terbabit mempertahankan diri di mahkamah kerana mereka sudah melakukan kerja mereka dengan betul dan mengikut peraturan ditetapkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini, semalam.

Mohd Puad berkata, ada pihak yang menyalahkan guru sekolah terbabit dalam kes ini, walaupun sebenarnya guru yang berada di situ yang berjaya menyelamatkan ramai pelajar daripada turut menjadi korban.

Katanya, apabila berlaku tragedi seperti itu, wakil pembangkang segera tampil untuk mewakili keluarga mangsa dan meletakkan kesalahan kepada kerajaan seolah-olah kerajaan sengaja membiarkan tragedi itu berlaku.

Bagaimanapun, katanya apabila ada guru yang ditampar ahli keluarga mangsa selepas kejadian itu, pembangkang tidak membela nasib mereka.

(Berita ini diambil dari Berita Harian, 22 November 2009)



No response to “BERITA”

Post a Comment