KUALA LUMPUR, 20 Nov: PAS mendapat penghormatan dunia Islam apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah disenaraikan antara '50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia'. Menteri Besar Kelantan itu, disenarai di tempat ke 42 dalam senarai '500 Muslim yang Berpengaruh Tahun 2009'.
The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” tahun 2009.
Para tokoh muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.
“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai kategori muslim radikal. (Nik Aziz ditangga ke 42 Muslim paling berpengaruh di didunia)
Tokoh Muslim dunia lainnya yang masuk dalam daftar 50 tokoh peringkat teratas dimulai dengan, Raja Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud; pemimpin spritual Iran, Syed Ali Khamenei; PM Turki Recep Tayyib Erdogan; Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Pimpinan Universitas Al-Azhar, Kairo, Dr Muhammad Sayyid Tantawi; Syaikh Yusuf Al-Qaradawi; Pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syaikh Mohammad Mahdi Akef, Sekjen Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah dan Pimpinan Hamas, Khaleed Mishal.
Nama Anwar Ibrahim turut disenaraikan di dalam lis 450 “Honourable Mention” di dalam pencapaian di bidang masing-masing dan diantara tokoh Islam yang signifikan di dalam dunia.
Nama Anwar Ibrahim tersenarai di bidang politik berserta dengan nama Tun Dr Mahathir Mohammad tetapi nama Mahathir tidak disenaraikan di dalam “Honorable Mention”.
Dari kalangan cendekiawan, daripada Malaysia yang tersenarai ialah Prof Emeritus Datuk Osman Bakar, Timbalan Naib Chancellor, Universiti Malaya dan Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali.
Mohideen Abdul Kadir, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang di dalam kategori Pembangunan sementara Kumpulan Raihan turut tersenarai di dalam katagori Seni dan Budaya.
Dalam pengantar buku yang diterbitkan untuk membantu dan membuka wawasan tentang pengaruh umat Islam di dunia saat ini dan beragamnya kelompok-kelompok Islam yang ada di seluruh dunia.
Penyusunan buku ini melibatkan pengamat dunia Islam yang namanya sudah dikenal secara meluas di dunia antarabangsa, Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin sebagai editor utama.
------------------
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 20 Nov: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak yang mahukan perubahan agar jangan berdiam diri dan sekadar menjadi penonton sahaja.
"Mereka yang mahukan Perubahan tidak boleh lagi berdiam diri dan sekadar menonton. Mereka sewajarnya terjun ke medan, menyatakan pendirian dan bersama-sama mencorak ruang kerjasama parti serta Pakatan Rakyat.
"Jangan lekas makan hati, kerana rakyat akan merasa mual. Bersegeralah memikul tanggungjawab memimpin walau sesederhana mana pun kekuatan di tempat masing-masing," kata Anwar dalam blognya.
Menurutnya, pimpinan ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat menyedari permuafakatan yang berusia muda ini pasti akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan.
"Pembentukan Pakatan Rakyat bercita-cita membawa Perubahan sedaya mungkin. Pastinya sepanjang perjalanan memperkukuh kerjasama akan ada perbezaan dan pertikaian serta mereka yang kecewa lalu meninggalkan perjuangan manakala berbondong bondong lagi hadir menyertai mendokong hasrat perubahan," katanya.
Bagi beliau, perjuangan yang merentasi batas kaum, kepercayaan dan fahaman ini menimbulkan kegerunan kepada Umno-Barisan Basional.
"Ianya kerana falsafah serta dasar permuafakatan kita mencerminkan kenyataan masyarakat majmuk di Malaysia," katanya.
Menurut beliau, tidak mungkin wujud penjajahan dalam permuafakatan ini di mana satu parti menunjuki apa yang perlu dilakukan oleh parti yang lain.
"Permuafakatan Pakatan Rakyat terbina dari asas untuk menghormati suara parti komponen dan akan berusaha bergerak dengan menggembeling dari kekuatan itu," katanya lagi. | ----------------------
Ali Hashim | BALIK PULAU, 20 Nov: Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang ada di Pulau Pinang kini hanya tinggal enam buah sahaja jika dibandingkan dengan 16 SAR yang ada pada tahun 2002 bagi seluruh negeri Pulau Pinang. Menurut Timbalan Ketua Menteri 1, Dr.Mansor Othman, fenomena ini adalah kerana kebanyakan daripada SAR yang ada telah pun menyertai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang ditadbir dan diurus selia oleh Kerajaan Persekutuan.
"Walau bagaimana pun kita akan terus menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada mereka bagi meningkatkan lagi mutu pendidikan Islam di negeri ini.
"Pendidikan dan pembelajaran Islam tidak hanya tertumpu kepada sesi persekolahan sahaja tetapi ia juga sepatutnya menjadi satu mekanisme kepada pendidik untuk mencari jalan yang terbaik dengan menanam nilai murni dan kesucian Islam itu dalam jiwa pelajar."
Mansor juga berkata kerajaan negeri akan terus membantu untuk memperkasakan lagi pendidikan Islam dalam negeri ini supaya ia menjadi satu asas dan landasan untuk membentuk peribadi Muslim yang sepatutnya diterapkan pada awal usia anak-anak lagi.
"Kita juga perlu bersatu padu dalam apa juga kemelut yang datang supaya setiap permasalahan yang timbul akan dapat diatasi dengan baik demi keamanan dan kesepaduan dalam negara," katanya. -------------------------
Harakahdaily | IPOH, 20 Nov: 10 pihak termasuk Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyidin Yasin dan Komanden Kem 1Malaysia Kuala Dipang disaman RM105 sebagai gantirugi berikutan kematian tiga kanak-kanak selepas mereka jatuh dan hanyut berikutan jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang.
Selain kedua-duanya, turut disaman adalah guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, gurubesar SJKT Gopeng; Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan; Pengarah Pelajaran Negeri Perak; Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan Komanden Kem 1Malaysia Kuala Dipang, penderma jambatan gantung itu iaitu syarikat GS Synergy Sdn Bhd, syarikat kontraktor CWL Enterprise dan kerajaan Malaysia.
Tiga bapa kepada tiga peserta Kem 1Malaysia yang terkorban dalam tragedi jambatan gantung runtuh di pusat kokurikulum pejabat pelajaran daerah Kinta Selatan di Kampar pada 26 Oktober lalu, memfailkan saman menuntut gantirugi itu di Mahkamah Tinggi Ipoh. (Gambar: Jambatan gantung yang runtuh dalam tragedi Kuala Dipang yang mengorbankan tiga pelajar sekolah) K Mageswaran, K Vasudevan dan T Nathan, bapa kepada tiga kanak-kanak yang mati akibat kejadian di pusat tersebut yang terletak berhampiran Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang.
Writ saman itu difailkan melalui Tetuan A.Sivanesan & Coi di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Ipoh pagi tadi.
Selain menuntut gantirugi am sebanyak RM35 juta setiap seorang, mereka masing-masing menuntut RM19,120 bagi gantirugi khas, RM100,000 bagi gantirugi teladan, faedah 8 peratus bagi jumlah penghakiman dari tarikh kematian hingga tarikh penyelesaian sepenuhnya, kos guaman dan apa-apa relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Plaintif mendakwa, pada masa kejadian, kawasan itu dipercayai gelap gelita, tidak ada lampu besar yang dipasang untuk keselamatan murid-murid, dan ini menunjukkan kecuaian kerana dengan adanya lampu besar, kanak-kanak yang jatuh ke dalam sungai boleh dilihat dengan jelas serta mempunyai peluang yang lebih baik untuk menyelamatkan diri atau diselamatkan.
Mereka juga mendakwa tidak ada seliaan atau kawalan yang baik di jambatan oleh pihak penganjur yang mana sepatutnya penggunaan jambatan perlu diawasi, dengan menentukan kapasiti iaitu bilangan murid yang boleh menggunakan pada satu-satu masa.
Mereka juga mendakwa murid-murid tidak dilengkapi jaket keselamatan ketika menyeberangi sungai, guru-guru didapati tidak terlatih untuk mengendalikan kem seperti itu serta tiada doktor atau pegawai perubatan ditempatkan untuk keselamatan peserta kem tersebut.
Plaintif juga mendakwa jambatan gantung tersebut tidak diperiksa oleh Majlis Daerah Kampar dan Jabatan Kerja Raya Perak bagi memastikan ciri-ciri keselamatan telah dipatuhi.
Mereka juga mendakwa kematian anak-anak mereka amat menyedihkan dan telah mengancam ketenteraman mereka dan keluarga selain masih mengalami dan menanggung kehilangan dan kerugian. | | Berita (ini diambil dari Harakah Daily, 21 November 2009) |
No response to “BERITA”
Post a Comment