KOTA BHARU, 23 Nov: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bersetuju untuk menasihati Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Ekselutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Persetujuan itu diumum Nik Aziz pada satu sidang media selepas pertemuan dengan pimpinan PAS di kediaman Menteri Besar, JKR 10 pagi ini.
Pertemuan tersebut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din, Naib Presiden Salahudin Ayub dan Bendahari Dr. Hatta Ramli.
Mereka telah mengemukakan cadangan kepada Nik Aziz agar menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan. (Gambar: Nik Aziz dan Ariffahmi dalam sidang media hari ini) Menurut Nik Aziz, keputusan itu dibuat bagi menjaga nama baik pimpinan islam khasnya pas sendiri sekaligus menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri itu.
"Semua (yang hadir) menasihati saya supaya menjaga nama baik pimpinan Islam khasnya PAS sendiri untuk menasihat menantu saya supaya mengundur diri dari Perbadanan Menteri Besar (PKMB),"
"Fitnah yang dilempar blogger , surat-surat layang, saya pun terima banyak, untuk jaga nama baik pimpinan Islam, maka saya dengan segala senang hati untuk jaga (elak) fitnah," katanya.
Beliau dalam pada itu memberitahu akan meminta Ariffahmi yang juga menantunya berbuat demikian.
Bagaimanapun, terserah kepada Ariffahmi bila dia mahu meletakkan jawatan tersebut.
"Tarikh tu terserah kepada dia," katanya lagi.
Nasihat peletakan jawatan itu juga tegasnya adalah disebabkan oleh fitnah dan kecaman yang terlalu banyak diterima Ariffahmi.
"Masalah sekarang ini menantu saya tu terlalu banyak kecaman dilempar kepadanya oleh orang yang tak bertanggungjawab,"
Dalam pada itu, Ariffahmi yang turut hadir pada sidang media tersebut menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka memandangkan ianya dilakukan untuk menjaga nama baik banyak pihak.
"Saya dapat terima keputusan dengan hati yang lapang, dan sedar keputusan dibuat untuk jaga nama baik kepimpinan dan jaga nama baik PAS, dan juga nama baik kerajan negeri Kelantan," katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Nik Aziz yang memberikan kepercayaan penuh kepada kepadanya sepanjang berada di PMBK.
"Saya juga berterima kasih kepada tuan guru kerana beri kepercayaan kepada saya untuk berada di PMBK selama 8 tahun, dan jawatan terakhir saya sebagai CEO semenjak Syawal, dan saya amat hargai kepercayaannya," katanya. ____ Transkrip penuh sidang media Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Bismillahirrahmanirrahim
Hari ini saya sudah didatangani oleh pemimpin pusat yang mengandungi Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Harun Din, dan juga wakil parlimen daripada Kubang Kerian dan Kuala Krai.
Semuanya menasihati saya supaya menjaga nama baik pimpinan Islam khasnya PAS sendiri untuk menasihati menantu saya supaya mengundur diri dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Sewaktu saya lantik dulu saya lantik dia dalam mesyuarat penuh, dalam mesyuarat itu ada LA, ada penasihat undang-undang, dan beliau tak ada komen apa, tapi oleh kerana fitnah melalui macam-macam surat layang dan sebagainya, maka saya dinasihati supaya elak diri dari fitnah ini berkembang. Itu sahajalah.
Jadi menantu tok guru sekarang ini akan letak jawatan? Ya
Bila nak letak tu? Tarikh itu terserah kepada dia.
Tapi tadi tok guru kata apa yang brelaku fitnah dan bukan kebenaran, jadi kenapa pula disuruh letak jawatan? Saya lantik menantu saya ini, saya sebut dia menantu, tapi fitnah yang dilempar blogger , surat-surat layang, saya pun terima banyak, untuk jaga nama baik pimpinan Islam, maka saya dengan segala senang hati untuk jaga (elak) fitnah.
Nabi kita pernah sebut kerpada Siti Aisyah, bahawa nabi bercadang nak roboh kaabah yang ada sekarang, nak bina balik supaya sama dengan kaabah zaman nabi Ibrahim, tapi tak jadi nak buat bimbang takut orang Arab yang baru masuk Islam, bawa fitnah dan sebagainya,
Orang lain, blogger nak tuduh itu dia punya pasal la, dia tanggung dosa menyusahkan orang.
Adakah tok guru lepas ini akan rombak juga pengurusan PMBK? Itu masalah kedua.Masalah sekarang ini menantu saya itu terlalu banyak kecaman dilempar kepadanya oleh orang yang tak bertanggungjawab.
Jadi ini tak ada kena mengena dengan siasatan SPRM?
Siasatan SPRM tu siasatlah. Itu kerja dia. Tapi fitnah itu yang jadi (punca suruh letak jawatan). Nabi kata fitnah ini benda tidur,sesiapa yang gerak dia akan dilaknat Allah, itu pemfitnah punya fasal. tapi (letak jawatan) ini nak jaga kepimpinan parti Islam Semalaysia.
Yang mana satu tuduhan, tulisan itu fitnah? Terlalu banyak, saya pun terima terlalu banyak surat layang, surat layang tak ada tandatangan, zaman sekarang orang baca dalam internet seluruh dunia.
Masa pelantikan (Arif) tok guru dapat pandangan dari semua pihak ya? Saya sudah sebut dalam mesyuarat,dan mesyuarat senyap, termasuk YB LA sendiri.
Adakah dalam keadaan sekarang pimpinan PAS Kelantan tak beri sokongan pada tok guru, sebab tak ada pun yang beri kenyataan , bahawa sudah dibincang dalam mesyuarat, bahawa pelantikan (Arif) sudah dapat restu semua pimpinan? Itu tak payah. Saya tak perlu kenyataan (sokongan) terbuka begitu. Tapi oleh kerana fitnah yang dibuat oleh blogger semua sekali yang semua orang boleh baca.Dan nama baik kepimpinan Islam akan menjadi cacat. (setakat itu sahajalah)
Transkrip penuh sidang media Abdul Ariffahmi
Macam mana pendirian saudara Arif? (gambar) Pertama sekali saya ingin nyatakan saya dapat terima keputusan dengan hati yang lapang, dan sedar keputusan dibuat untuk hjaga nama baik kepimpinan dan jaga nama baik Parti Islam Semalaysia, dan juga nama baik kerajaan negeri Kelantan.
Saya juga berterima kasih kepada tuan guru kerana beri kepercayaan kepada saya untuk berada di PMBK selama 8 tahun, dan jawatan terakhir saya sebagai CEO semenjak Syawal, dan saya amat hargai kepercayaannya.
Saya juga pohon sokongan dan dokongan dari semua pimpinan PAS samaada di negeri kelantan, atau di pihak PAS pusat untuk sama-sama berusaha hapuskan tuduhan-tuduhan yang saya sifatkan sebagai fitnah dalam blog tertentu dan saya yakin saya tidak bersalah.
Penerimaan keputusan ini atas sifat jaga jemaah Pas sendiri, dan jaga kerajaan negeri dan jaga nama baik tok guru.
Bila saudara akan lepas jawatan? Saya akan tengok rekod cuti saya, berapa hari ada, lepas itu saya akan kira, saya akan buat keputusan bila tarikh yang sesuai untuk saya lepaskan jawatan.
Dalam hal ini adakah saudara dinasihat lepas jawatan atau saudara tawar diri untuk lepas jawatan? Saya hanya menerima arahan, saya seperti biasa saya sentiasa patuh kepada pimpinan, terutama arahan ini, gesaan ini keluar dari mulut tok guru sendiri. Saya sentiasa setia dan patuh pada dia, dan saya terima dengan hati terbuka.
Kenapa saudara tak letak serta merta, bukankah itu lebih baik? Sebelum ini saya ada merujuk kepada dia, atas desakan yang dibuat ke atas saya, tapi pada masa itu dia minta saya tidak letak jawatan, dan atas asas itu saya teruskan tugas saya sebagai CEO kerana itu arahan dari beliau sendiri untuk teruskan.
Tadi saudara sebut semua fitnah yang dilempar ke atas saudara dalam PMBK dan sebelum ini adalah fitnah, kalau itu fitnah adakah akan ambil sebarang tindakan undang-undang? Sebenranya beberapa orang peguam sedang kaji semua tuduhan dan saya sedang teliti dan akan dengar nasihat para peguam dan liohat secara teliti, dan pada masa sesuai nanti kita akan lakukan apa yang patut.
Saya nak ulang lagi, apa yang dtulis dalam blog tertentu sebelum ini yang menyatakan saya telah diminta meletak jawatan dan rentetan itu arahan telah dikeluarkan, saya tak terima arahan itu, dan saya telah pergi ke KL merajuk, itu tak betul, saya hanya terima arahan pada hari ini sahaja, dan saya boleh terima keputusan ini dengan dada yang lapang dan insya ALLAH saya akan sentiasa setia, dan sentiasa hormati tok guru sebagai bapa mertua saya dan pemimpin kita semua.
Apa rancangan masa depan? Itu belum pikir lagi, mungkin berniaga.
-------------------------
MAHKAMAH TOLAK TANGGUH PILIHANRAYA
Harakahdaily | PUTRAJAYA, 23 Nov: Mahkamah Tinggi mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mengadakan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh, Kedah segera dan menolak permohonan SPR untuk ditangguhkan.
Ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari berkuat kuasa 16 November lalu, kata hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dalam keputusannya hari ini.
Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara yang mewakili SPR mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Seminggu sebelum itu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa SPR wajar mengadakan pilihan raya kecil di kerusi berkenaan selepas didapati wujud kekosongan.
Namun Jumaat, 20 November lalu, SPR memohon hakim itu agar menangguhkan keputusan tersebut.
SPR memfailkan permohonan itu pada Rabu, 18 November selepas Alizatul mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong dan memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sharif bukan lagi wakil rakyat kawasan berkenaan selepas gagal menghadiri persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran.
Pada Sept 1, Speaker DUN Kedah memfailkan semakan kehakiman selepas SPR menerima sijil cuti sakit Abu Hassan berikutan ketidakhadirannya dalam persidangan DUN serta mengisytiharkan bahawa tidak berlaku kekosongan bagi kerusi itu dan wakil rakyat BN itu masih merupakan ADUN kawasan berkenaan. | (Berita ini diambil dari Harakah Daily, 24 November 2009)
|
No response to “BERITA”
Post a Comment