BERITA


-Presiden PAS arah guna IT lawan persepsi buruk



Harakahdaily

SHAH ALAM, 8 Nov: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta PAS menggunakan IT sepenuhnya untuk melawan segala tohmahan sehingga melahirkan persepsi buruk terhadap PAS.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di majlis perasmian sambutan 10 Tahun Jabatan IT PAS Pusat.

"Kita memang tersekat untuk masuk dalam semua rumah rakyat negara ini, tetapi saya yakin ICT boleh melakukannya," kata Abdul Hadi dalam ucapannya itu.

Untuk melaksanakannya, beliau meminta kajian, penyelidikan dan inovasi dibuat untuk membolehkan perkara ini dilaksanakan.

"Kita mesti mendahului lawan kita dalam hal ini walaupun kita kekurangan jentera, petugas dan sebagainya," kata beliau.

Dalam ucapannya itu juga, Abdul Hadi menyelar pihak-pihak yang menggunakan IT sekarang untuk menyebarkan maklumat salah sehingga menimbulkan fitnah.

"Kena ingat, fitnah ini besar dosanya," katanya.

Turut hadir dalam majlis sambutan ini adalah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Arahan Abdul Hadi ini diadakan sehari selepas seminar memperkasakan PAS yang banyak mendapat imput baru untuk memperkasakan parti Islam itu.

Saranan Abdul Hadi dilihat selaras dengan usaha Lajnah Penerangan PAS Pusat yang sedang berusaha menganjurkan Konvensyen Blogger PAS dalam masa terdekat.

Ianya mempunyai tujuan serupa iaitu membentuk kumpulan blogger PAS bagi menangkis fitnah di alam maya.

Selain itu ianya juga diharap mampu berdepan serangan 'cyber trooper' parti lawan.


-------------------






Pemuda dekati golongan muda dengan futsal


Ali Hashim

PULAU PINANG, 8 Nov: Mungkin tidak berkaitan dengan seminar khas PAS semalam, tetapi apa yang dibuat oleh Pemuda PAS adalah untuk mendekati golongan muda yang dikatakan sudah mulai menjauhi PAS.

Lebih 500 pemuda telah menyertai kejohanan futsal bagi merebut piala Ketua Pemuda PAS untuk zon Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini.

Kumpulan Lagenda FC Kulim, Kedah telah berjaya menjadi juara dalam pertandingan yang telah diadakan di Safira Sport Planet, Seberang Jaya baru-baru ini.

Pasukan ini juga akan mewakili Pemuda PAS Pulau Pinang ke peringkat Kebangsaan yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam pertandingan tersebut sebanyak 65 pasukan yang disertai oleh lebih daripada 500 peserta daripada Kedah dan Pulau Pinang telah mengambil bahagian.

Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Exco Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan kepada para pemenang. Dalam kejohanan tersebut tempat kedua telah dimenangi oleh kumpulan SDM Navy.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Bagan Boy daripada Pulau Pinang dan keempat ialah Simple FC.

Antara resolusi Seminar Memperkasakan PAS semalam adalah mendekati golongan muda yang dikatakan sudah mula menjauhi PAS. Mungkin program ini agak lewat sehingga terhasil persepsi itu.

Mohd Sany dalam ucapan beliau berkata usaha yang diambil oleh Pemuda PAS ini adalah satu usaha yang amat terpuji bagi merapatkan remaja dan generasi muda dengan PAS.

"Secara tidak langsung kegiatan riadah sebegini rupa membawa satu ikatan antara pemuda tempatan dan juga Pemuda PAS Pulau Pinang. Kita mahu melihat bahawa PAS bukan saja dilihat sebagai penggerak untuk memperjuangkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat tetapi juga meneruskan agenda untuk menjadikan remaja dan generasi muda sebagai mereka yang sentiasa bergiat aktif dalam sukan disamping menjadikan PAS itu sebagai wadah perjuangan.

"Kita lihat pada hari ini dengan jumlah lebih daripada 500 peserta daripada pelbagai keturunan masyarakat yang turut serta membuktikan bahawa PAS diterima oleh semua golongan.Ini adalah sejajar dengan konsep 'PAS For All' atau PAS untuk semua sepertimana yang diperjuangkan selama ini."





No response to “BERITA”

Post a Comment