BERITA


Husam tak mahu jadi MB

Oleh Nazura Ngah, Wan Faizal Ismayatim dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my

Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri anggap tak layak

KOTA BHARU: Datuk Husam Musa yang selama ini dikatakan calon paling sesuai menggantikan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan, semalam mengumumkan beliau bukan calon yang layak memegang jawatan itu.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan itu berkata, beliau tidak mahu menggantikan Nik Aziz, sebaliknya menamakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, sebagai pemimpin paling layak mengambil alih jawatan itu.


Namun, beliau menghargai pujian Nik Aziz terhadap sumbangannya kepada kerajaan Kelantan, walaupun menderita selama dua tahun difitnah kerana lantang menentang cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

"Selain difitnah menerusi laman blog, ada pihak sengaja mengatur program untuk menganiaya saya. Saya tak boleh balas balik (fitnah) sebab nak jaga perpaduan dan imej parti... keadaan saya sangat sukar, kalau jawab nanti rosak parti.

"Anak Tok Guru (Nik Aziz) serang kononnya saya itu dan ini. Jika dijawab, nampak pula macam saya bergaduh dengan keluarga Tok Guru... jadi saya bersabar," katanya kepada pemberita selepas menziarah satu keluarga miskin, dekat Bechah Keranji, di sini.

Husam juga berkata, beliau akan menyokong siapa saja yang dinamakan sebagai pengganti Nik Aziz, tetapi tidak mahu namanya dicalonkan kerana tidak mahu disangka sumbangannya kepada parti dan negeri selama ini semata-mata mahu mengejar jawatan.

"Timbalan Menteri Besar (Ahmad Yakob) paling senior dan semua Exco lain pun layak kecuali saya seorang saja yang tak layak. Jangan calon nama saya.... saya tak mahu dicalonkan sebagai pengganti Tok Guru.

"Saya serius, saudara (media) nak suruh sebut kata nak (jadi Menteri Besar), nanti orang marah kata saya bekerja sebab nak jadi Menteri Besar, padahal jika hantar balik ke Parlimen pun, saya tak ada masalah," katanya.

Bekas Naib Presiden Pas yang tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan lalu itu mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyarankan Nik Aziz menamakan penggantinya lebih awal supaya tidak timbul kekalutan apabila beliau meletakkan jawatan kelak.

Mengulas lanjut keputusannya itu, Husam secara sinis berkata: "Kalau tawar Perdana Menteri saya nak... Menteri Besar ini kolam kecil sangat... saya jenis badan besar suka berenang kolam besar."

Husam juga berkata, proses peralihan jawatan Menteri Besar tidak perlu diperbesarkan, malah mencadangkan Nik Aziz memper-tahankan kerusi DUN dan bertanding di Parlimen pada pilihan raya akan datang bagi membolehkannya menjadi Perdana Menteri jika pembangkang membentuk Kerajaan Persekutuan.

Mengenai laporan media internet yang mendakwa beliau keletihan dalam mengharungi keadaan politik semasa di Kelantan, Husam berkata, beliau sedang 'enjoy' dengan kerja dan tidak timbul persoalan untuk berhenti atau keletihan.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas, Wakaf Baru, Ramli Abu Bakar menyifatkan saranan Nik Aziz menamakan penggantinya tidak kena pada masanya dan satu 'desakan' supaya beliau segera melepaskan jawatan.

"Tok Guru pemimpin, ibarat anak dengan bapa. Mana boleh anak mengajar bapa. Apatah lagi saranan berkenaan seolah-oleh mahu memaksa beliau. Bagi saya cara ini tidak betul," katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, pula berpendapat, walaupun saranan berkenaan dikemukakan secara diplomasi, ramai melihat ia adalah desakan supaya Nik Aziz berhenti dan mungkin kehendak akar umbi.

Katanya, beliau orang pertama menyuarakan 10 sebab kenapa Nik Aziz patut berundur, malah kenyataan Nik Aziz yang menyatakan beliau tertekan dan fikiran bercelaru serta uzur menggambarkan perlunya beliau berundur.

"Masanya sangat sesuai untuk beliau berhenti supaya baki hayatnya diteruskan untuk kegiatan dakwah. Sebagai Menteri Besar, beliau kena memahami dan turun padang melihat masalah rakyat, bukan setakat mengajar agama," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita Keluarga dan Kesihatan Kelantan, Wan Ubaidah Omar pula menyokong saranan Mohd Amar dengan alasan ia penting bagi mengelak spekulasi kerana setakat ini belum nampak bayangan pemimpin yang akan menggantikannya.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula berkata, walaupun kepemimpinan Nik Aziz masih relevan, beliau sedar pemimpin silih berganti dan akan lahir pemimpin lain mengambil alih tampuk pemerintahan.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Nik Aziz untuk memberikan isyarat berundur, tetapi tidak menolak saranan itu mungkin dibuat berdasarkan kebimbangan rakyat Kelantan mengenai siapa penggantinya.


------------------


Ditahan masuk wang palsu dalam mesin deposit tunai

Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my


ASRI (dua dari kanan) bersama pegawai penyiasat, Inspektor Bibi Jan Ali Haiders menunjukkan wang kertas RM50 palsu yang dirampas dari sepasang suami isteri pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, semalam.

ALOR SETAR: Polis Kedah menumpaskan kegiatan mencetak wang palsu dan memasukkannya dalam akaun menerusi mesin deposit tunai (CDM) sebelum mengeluarkan wang tulen selepas menahan sepasang suami isteri warga tempatan berusia 20 tahun serta merampas 232 keping wang RM50 berjumlah RM11,600 di sini, malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Asri Yusuf, berkata modus operandi pasangan itu ialah membelah dua wang RM50 tulen dan dilekatkan dengan satu lagi bahagian yang dicetak atas kertas bersaiz A4 yang dipotong mengikut saiz wang sebenar serta dikeringkan menggunakan haba lampu dan seterika.

"Selepas itu, mereka memasukkan wang berkenaan dalam akaun bank melalui CDM dan mengeluarkan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM). Bagi setiap wang tulen RM50 dipalsukan, mereka mampu memperoleh RM100.


"Sejak memulakan kegiatan pada Julai lalu, suspek memasukkan wang melalui CDM dalam jumlah yang kecil, tetapi makin aktif pada pertengahan September lalu sehingga mencecah RM26,000.

"Wang palsu dalam mesin CDM itu ditemui pegawai bank dan syarikat kawalan keselamatan yang kemudian membuat laporan polis," katanya semalam.

Suspek melakukan kegiatan mencetak wang palsu di sebuah motel di Hentian Bas Shahab Perdana, di sini dan dipercayai mempelajari teknik itu melalui seorang rakan berusia 20-an yang masih bebas.

Difahamkan, suspek hanya menggunakan akaun bank tertentu yang mesin CDM bank berkenaan tidak mempunyai ciri keselamatan ketat dan gagal mengesan wang palsu.

Azri berkata, dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Wira Mergong, di sini polis menemui sejumlah wang kertas palsu, seterika, gam, pengimbas wang kertas, gunting, dakwat, mesin pencetak dan pisau.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil penubuhan pasukan petugas khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Kedah selepas menerima 105 laporan penemuan wang palsu dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.

"Sepanjang tempoh itu, polis menemui 2,172 wang palsu bernilai RM110,155," katanya.

Suspek ditahan reman selama enam hari mulai semalam dan disiasat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan.

(Berita ini diambil dari Berita Harian, 26 November 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment