BERITA


'Rapatkan barisan, jangan gaduh'


NAJIB Tun Razak, Musa Aman, Joseph Pairin Kitingan dan Setiausaha Agung PBS, Radin Malih (kiri) bersama-sama mengangkat tangan sebagai simbol 1Malaysia semasa merasmikan Mesyuarat Agung Parti Bersatu Sabah (PBS ) ke-24 di Kota Kinabalu, malam tadi. Turut kelihatan, Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan). - MINGGUAN/Ghazali Basri


KOTA KINABALU 7 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah merapatkan barisan dan menghentikan sebarang perbalahan.

Menurutnya, jika wujud perbalahan, ia perlu diselesaikan dalam semangat kekeluargaan selari dengan konsep 1Malaysia yang menjadi gagasan kerajaan hari ini.

"Jangan bergaduh-gaduh. Kita (sekarang) sudah ada banyak masalah. Kita bincang (kalau ada masalah). Kita satu keluarga," katanya ketika berucap merasmikan Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-24 di sini malam ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin Kitingan; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib berkata, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan jika dilakukan dengan musyawarah.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan parti komponen BN supaya tidak berasa selesa dengan kekuatan yang ada kerana persekitaran politik yang berbeza dan mencabar.

Katanya, rakyat hari ini semakin terdidik dan harapan mereka kepada kerajaan semakin tinggi.

"Pemimpin BN mesti bukan hanya tahu bercakap tetapi mesti mendengar, berfikir dan bertindak sepatutnya. Pemimpin BN 'mesti cakap serupa bikin'.

"Jika ini kita lakukan, rakyat Sabah tidak perlu mencari alternatif lain kerana yang hanya boleh membela nasib rakyat Sabah adalah kerajaan BN," katanya.

Mengenai masalah dibangkitkan pemimpin serta penduduk negeri ini termasuk isu bekalan elektrik, Najib berkata, kerajaan akan bertindak seberapa baik dan pantas yang mungkin.

"Bagaimanapun kita juga memerlukan kerjasama dan tolak ansur rakyat. Sebagai rakyat, kita tidak seharusnya hanya menerima tetapi turut memberi.

"Saya percaya jika rakyat Sabah boleh melakukan sedikit pengorbanan, negeri ini akan maju ke hadapan dengan lebih cepat lagi," katanya.

Perdana Menteri memberi contoh, kerajaan menghabiskan masa selama dua tahun hanya untuk mencari lokasi bagi membina loji janakuasa elektrik yang amat diperlukan dalam menyelesaikan masalah kekurangan tenaga berkenaan di negeri ini.

(Berita ini diambil dari Utusan Online, 8 November 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment