BERITA

Royalti: Nik Aziz akan hantar surat kedua kepada Najib


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi akan menghantar satu surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar satu rundingan diadakan supaya kerajaan pusat menukar pemberian wang ehsan kepada royalti.

Sebelum ini, perkara sama dilakukan Nik Aziz sewaktu kali pertama menuntut bayaran royalti negeri itu.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa ketika memaklumkan perkara itu optimis Najib akan membayar royalti berkenaan setelah berunding dengan kerajaan negeri.

Beliau juga yakin keputusan Najib untuk memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan adalah disebabkan tekanan daripada puak Barisan Nasional di negeri itu yang tidak mahu royalti diberikan kepada rakyatnya.

“Saya yakin Datuk Najib selepas berunding dengan kerajaan Kelantan akan tetap membayar royalti kepada negeri.

"Sekarang saya yakin Najib hanya lakukan satu step pertama (bagi) mengendurkan tekanan politik daripada orang-orang politik Kelantan yang menghendaki bayaran itu tidak dilakukan.

"Ini permainan politik semata-mata, ia bukan berasas kepada undang-undang,” tegasnya dalam sidang media di lobi parlimen siang tadi.

Beliau hadir parlimen hari ini bagi mendengar sendiri penggulungan perbahasan pada peringkat Jabatan Perdana Menteri oleh Menterinya, Tan Sri Nor Ya’kub mengenai perkara ini.
Beliau berkata, isu tiga batu nautika untuk melayakkan negeri pengeluar mendapat royalti adalah satu hujah yang tidak berasas kerana syarat itu tidak termaktub dalam Akta Petroleum 1974.
“Beliau akan sentuh semula mengenai royalti dan satu hujah yang digunakan (ialah ) ialah tiga batu nautika yagn tidak ada dalam mana-mana undang-undang. Kalau kita tengok undang-undang negara kita, yang ada hanyalah dua belas batu nautika. Tapi akta petroleum mengatasi segala undang-undang,” katanya.
Beliau meminta perbahasan akta petroleum di Dewan Rakyat pada November 1975 oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu Tun Rahman Yaakob dirujuk kembali.
Tun Rahman ketika itu menekankan dua unsur penting dalam akta petroleum 1974.

“Bahawa beliau menekankan akta itu mempunyai dua unsur penting.Yang pertama kuasa petroleum sebelum akta ini adalah terletak di bidang kuasa negeri-negeri, sejak sebelum kita menyertai Malaysia dan Persekutuan Tanah Melayu.
"Negeri Kelantan sama seperti Sarawak, (iaitu) negeri berdaulat dan mempunyai kuasa di atas petroleum dan kuasa ini hanya boleh diserahkan melalui satu perjanjian, dan perjanjian adalah mengikut akta 1974,” jelasnya.

Unsur yang kedua pula jelasnya adalah selepas negeri meyerahkan hak ini, adalah menjadi tanggungjawab petronas membayar pampasan dalam bentuk wang tunai.
“Adalah menjadi tanguungjawab petronas dalam bentuk ‘cash payment’, bukan royalti, bukan wang ehsan.ia mesti dalam bentuk tunai dan dibayar kepada negeri pengeluar.
Beliau turut menyebut mengenai jawapan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak kepada soalan ahli parlimen Lim Kit Siang iaitu:
“Tuan Yang di Pertua, Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh PETRONAS ataupun ejensi-ejensi ataupun kontrektor-kontrektornya.

Tegasnya, kerajaan negeri bukan sekadar ingin menuntut wang yang sememangnya menjadi hak rakyatnya namun apa yang lebih penting adalah ketelusan kerajaan persekutuan dalam membela kebajikan rakyat.

Beliau turut mempersoal mengenai laporan tahunan petronas yang tidak pernah dibentangkan di parlimen.
“Kenapa petronas tidak boleh membentangkan di parlimen penyata petroleum di seluruh negara.Berapa pengeluaran setiap telaga pada setiap tahun dan berapa nilai pengeluaran tersebut. dan kedudukan tiap-tiap telaga termasuk bumi selatan yang disebut perdana menteri akan dibayar kepada Kelantan dalam bentuk wang ehsan,” soalnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan tuntutan ke atas royalty demi keadilan rakyat Malaysia.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan memperhebat kempen mengenai isu ini bagi memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai hak mereka.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 10 November 2009)

------------------------

41 fail siasatan dibuka

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bertindak terhadap pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 dengan setakat hari ini telah membuka 41 fail siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau yakin SPRM akan melaksanakan tugasnya dengan profesional dan telus bagi membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak bersabar dan memberi peluang kepada SPRM melaksanakan tugas tanpa sebarang tekanan.

"Keseriusan SPRM untuk mengambil tindakan berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara tidak perlu diragui.

"Ini telah terbukti pada tahun lepas apabila 15 orang dituduh di mahkamah atas 94 pertuduhan di samping 18 laporan tata tertib dan surat nasihat telah dikeluarkan kepada jabatan atau agensi berkaitan," katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2010 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam isu berlainan, Mohamed Nazri menjelaskan, siasatan mengenai dakwaan berlakunya rasuah dalam percutian Tun Eusoff Chin di New Zealand pada 1994, mendapati bekas Ketua Hakim Negara itu menggunakan duitnya sendiri untuk membayar kos tiket penerbangan dan penginapan.

Katanya, tiket penerbangan Eusoff sekeluarga dibayar melalui cek dan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM23,704 manakala bayaran hotel dibuat melalui kad kredit beliau.

Mengenai tempahan percutian pula, Mohamed Nazri berkata, Eusoff telah menggunakan khidmat seorang ejen yang kemudiannya berurusan dengan sebuah syarikat iaitu Holiday Tour.

"Peguam V.K Lingam pula telah mengaturkan percutian sendiri dan menyerahkan urusan mengenainya kepada setiausahanya yang kemudiannya berurusan dengan ejen yang sama.

"Eusoff dan Lingam didapati telah menginap di hotel-hotel yang sama untuk sebahagian daripada percutian mereka," katanya.

Mengenai pelantikan hakim, Mohamed Nazri menegaskan bahawa tiada apa-apa yang menghalang Perdana Menteri daripada mendapatkan pandangan mana-mana pihak untuk tujuan itu.

Jelas beliau, tidak menjadi satu kesalahan untuk mana-mana pihak memberikan pandangan mereka kepada Perdana Menteri melainkan jika ia merupakan konspirasi untuk menjatuhkan badan kehakiman, mahu mendapatkan balasan, melibatkan rasuah atau untuk mempengaruhi.

"Tidak menjadi sesuatu yang ganjil pandangan pelbagai individu dan organisasi diminta dan diambil kira dalam pelantikan hakim-hakim kerana pada hakikatnya Perdana Menteri seorang diri tidak akan dapat membuat keputusan kerana tidak mengenali calon-calon.

"Malah anggota Majlis Peguam sendiri pernah menulis surat untuk mendapatkan sokongan Peguam Negara berkenaan dengan pelantikan seorang hakim tertentu supaya ia disampaikan kepada Perdana Menteri," katanya.


-------------------


PM: Keluarkan garis panduan

PUTRAJAYA 9 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan satu garis panduan yang jelas berhubung apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan oleh wakil rakyat dalam penyaluran peruntukan kerajaan untuk rakyat.

Sambil menyambut baik penubuhan pasukan khas suruhanjaya itu dalam memantau kegiatan penyelewengan peruntukan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Perdana Menteri menegaskan, garis panduan itu membolehkan seseorang individu mengetahui keperluan mereka sebagai wakil rakyat.

"Sebab sebagai Ahli Parlimen, mereka dituntut untuk menyelesaikan pelbagai masalah dan tuntutan rakyat seperti bayaran sekolah, bayaran kesihatan, kenduri-kendara, masalah kesihatan dan pelbagai lagi.

"Tuntutan seperti ini menjadikan mereka terpaksa kadang-kadang melihat bagaimana peruntukan kerajaan boleh digunakan atau tidak boleh digunakan.

"Ini adalah sesuatu yang perlu diperjelaskan SPRM kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia ke-21 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Satu pasukan khas ditubuhkan SPRM bagi memantau dan mengatasi kegiatan penyelewengan peruntukan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada terus berlaku.

Ibu pejabat SPRM dalam satu kenyataan semalam memberitahu, pasukan khas yang dikendalikan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan itu akan menjalankan kajian menyeluruh berhubung peraturan, sistem, prosedur serta kawalan dalaman dalam perbelanjaan peruntukan ADUN dan Ahli Parlimen.

"Kajian itu dibuat bagi menutup peluang berlakunya jenayah rasuah," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, tindakan tersebut adalah selari dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 7(c) Akta SPRM.

SPRM juga telah mengarahkan Unit Pendidikan Masyarakat SPRM negeri supaya mengadakan sesi taklimat khas kepada semua wakil rakyat di negeri masing-masing bagi menjelaskan segala kesalahan jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang ditegah undang-undang.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 10 November 2009)

--------------

Mangsa banjir di Kedah meningkat

ALOR SETAR: Jumlah mereka yang dipindahkan akibat banjir di Kedah meningkat kepada 2,060 sehingga 7 malam ini berbanding 1,203 orang tengah hari tadi.

Kota Setar menjadi daerah terbaru yang dilanda banjir apabila 379 orang mangsa dari 112 keluarga dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata, daerah Pokok Sena mencatatkan jumlah mangsa tertinggi sebanyak 989 orang dari 181 keluarga diikuti Kubang Pasu seramai 569 orang (127 keluarga) dan Padang Terap seramai 123 orang (25 keluarga).

Katanya, bacaan paras air sungai di Sungai Kepala Batas, Kota Setar ialah 4.16 meter melebihi paras bahaya 3.50 meter dan Sungai Bata di Kubang Pasu 9.22 meter (bahaya 9.15 meter). - (Berita ini diambil dari Berita Harian - Bernama, 10 November 2009)

SIAPA WANITA INI?

MEDIA MAHU TAHU


Seiapa yang tahu dan kenal orang ini,
apa peranannya kepada rakyat,
bertanggungjawab atau tidak kepada tugas yang diamanahkan ke atasanya,
harap memberi sedikit maklumat kepada:
mokhtarpetah@hotmail.com.

ADUN CHENDEROH

Komen kepada:
Facebook (Mokhtar Petah)

No response to “BERITA”

Post a Comment