Najib temui kumpulan bertelagah MCA
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman dan Syuhada Choo Abdullah
bhnews@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga bulan MCA menghadapi kemelut politik dan masih belum berupaya menyelesaikan masalahnya, Datuk Seri Najib Razak akhirnya memutuskan untuk bertemu kumpulan yang bertelagah bagi mencari jalan penyelesaian.
Perdana Menteri menyifatkan krisis MCA sudah semakin serius dan perlu ada penyelesaian segera.
"Kegagalan kepemimpinan MCA untuk mencapai penyelesaian boleh menyebabkan parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) itu tidak mendapat kepercayaan dan keyakinan masyarakat Cina dan kaum lain.
"Banyak pihak kecewa dengan keadaan parti itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung dan Persidangan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
Najib berkata, beliau akan cuba mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama parti itu sebelum berlangsungnya mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua MCA yang dijadualkan 28 November ini.
"Sebenarnya jika kita hendak mencari satu formula perpaduan, maka tindakan kita juga mesti mencerminkan hasrat itu. Nampaknya setakat ini apa yang dilakukan oleh (pemimpin) MCA tidak memberi keyakinan kepada pihak luar, termasuk rakan dalam parti komponen BN," katanya.
Kelmarin, kemelut dalaman MCA mencapai kemuncak apabila sembilan penyokong Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai, termasuk Ketua Pemuda, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun digugurkan daripada Majlis Presiden oleh Datuk Seri Ong Tee Keat, berkuat kuasa serta merta.
Susulan tindakan Ong, Liow membuat kenyataan mendakwa Presiden mengamalkan politik 'cantas dan hapus' pemimpin yang tidak sehaluan dengannya, manakala penyokong Wee pula berkata Ong sudah hilang fokus dan arah serta menjadi alat Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, beliau akan mencari masa untuk berbincang dengan semua pihak yang bertelagah dalam MCA.
Sambil tidak menolak kemungkinan perjumpaan itu akan diadakan secara berasingan, Perdana Menteri berkata beliau akan melihat jika ada sebarang titik persamaan untuk bergerak dari situ.
"Saya memerlukan satu pasukan yang komited untuk mengembalikan perpaduan MCA menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Kita tidak mampu mempunyai pemimpin yang menentang pelan perpaduan dalam Majlis Presiden. Jika rombakan ini dikecam, saya bimbang pada masa depan tidak ada parti yang berani melakukan rombakan," katanya yang turut mengesahkan sudah menemui Najib, pagi semalam dan menerangkan masalah yang melanda parti itu.
"Walaupun hanya berbincang singkat dengan Najib, beliau gembira Perdana Menteri prihatin dengan masalah melanda MCA," katanya pada sidang media selepas berinteraksi secara langsung dengan pengunjung laman web NST online, NST Live di Balai Berita, semalam.
Di PUTRAJAYA, Liow menyokong keputusan Perdana Menteri dan menyatakan kesediaannya bertemu Najib.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri sebagai Pengerusi BN, beliau amat mengambil berat masalah dalam MCA," katanya.
Dr Wee turut lega apabila Perdana Menteri menyatakan hasrat untuk berjumpa semua pemimpin kumpulan bertelagah.
"Saya rasa perhatian yang diberikan Perdana Menteri selama ini berhubung krisis MCA memang tepat dan inilah yang menjadi rintihan masyarakat selama ini. Saya yakin ia untuk kebaikan BN dan menyelamatkan MCA sendiri," katanya.
Sementara itu, Chew yang menyambut baik langkah Najib itu berkata beliau sedia memberitahu Perdana Menteri mengenai masalah MCA.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 20 November 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment