BERITA


Bonus permintaan kongres

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Presiden Cuepacs, Omar Osman, mendakwa tindakannya yang meminta bonus dua bulan membabitkan 1.2 juta kakitangan dan pesara perkhidmatan awam adalah suara kongres bukan permintaan individu sehingga dilabelkan salah dari segi moral.

Pada masa sama, beliau memahami kesulitan masalah ekonomi negara yang tidak stabil, namun itu hanyalah permintaan yang dilakukan mewakili kongres, bukannya mendesak atau perbuatan melampau untuk mendapatkan bonus berkenaan.

Katanya, beliau terima dan hormati teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun sedikit kecewa kerana permintaan Cuepacs itu dilabelkan salah dari segi moral.


“Perlu faham, bonus itu hanya permintaan bagi menyuarakan hasil mesyuarat kongres pada semua peringkat termasuk Sabah dan Sarawak, kalau tak mahu bagi, Cuepacs tak mengamuk.

“Bukannya kita desak kerajaan sehingga perlu menunaikan bonus dua bulan itu. Apabila kerajaan mengumumkan RM500 untuk semua kakitangan dan bekas pesara awam, Cuepacs ingat ada imbuhan susulan daripada bajet yang dibentangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri tindakan Cuepacs menuntut dua bulan bonus untuk 1.2 juta kakitangan dan pesara perkhidmatan awam ketika keadaan ekonomi negara belum pulih sepenuhnya adalah salah dari segi moral.

Omar berkata, kerajaan tidak sepatutnya membandingkan kakitangan awam dengan swasta dari segi kemudahan termasuk bonus tahunan kerana ia mempunyai jarak yang luas.

“Setiap tahun kakitangan swasta memperoleh bonus yang banyak dan Cuepacs hanya meminta bonus dua bulan gaji.

“Permintaan itu dibuat oleh saya selaku presiden bagi memperjuangkan hak kakitangan awam dan tidak pernah terfikir untuk memperoleh populariti di kalangan penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata, apa yang dilakukan itu mengikut landasan betul dan menganggap tidak salah sekiranya setiap persatuan yang ada membuat permintaan terhadap pihakkerajaan.

“Saya meminta pada landasan yang betul, saya pun tidak faham maksud Perdana Menteri yang menganggap permintaan saya adalah salah dari segi moral.

“Namun, sebagai seorang presiden yang sudah bersama Cuepacs sejak 35 tahun lalu, teguran itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus memperjuangkan hak kakitangan awam pada masa akan datang.

“Paling penting, sebagai kakitangan yang paling dekat dengan kerajaan, mereka wajar memperoleh kemudahan yang sepatutnya,” katanya.

--------------------------

Sentral: 'Tak serik'

Oleh Samadi Ahmad


SEORANG pelacur lari masuk ke rumah berdekatan ketika nampak kelibat penulis bersama orang kampung.

Pusat seks di kandang babi, reban ayam aktif semula

SEPANG: Sebuah ladang ayam dan babi yang tidak lagi beroperasi di Tanjung Layang dekat Banting di sini, terus digunakan 'ayam hidup' membabitkan wanita warga asing untuk menawarkan perkhidmatan seks.

Kegiatan yang sebelum ini pernah diserbu pihak berkuasa, aktif semula selepas keadaan kembali 'sejuk.'

Tinjauan Sentral mendapati ada beberapa bilik yang dibina bersambung dengan bekas reban ayam yang tidak digunakan lagi, lengkap dengan alat pendingin hawa, manakala kelihatan beberapa wanita seksi keluar masuk ke bangunan berkenaan.

Wanita seksi itu dipercayai dari China dan Indonesia berusia awal 20-an hingga 40-an yang dikatakan datang ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial tetapi mencari pendapatan tambahan dengan memberi perkhidmatan seks.

Tinjauan ke kawasan itu juga mendapati ada sebuah khemah yang dijadikan 'cafe' oleh bapa ayam bagi memudahkan kumpulan wanita terbabit menikmati minuman keras sementara menunggu pelanggan.

Kawasan yang diberi jolokan 'Hat Yai Malaysia' oleh penduduk kampung berhampiran berikutan kegiatan pelacuran itu, hanya menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan 'regular' sebagai langkah waspada daripada dikesan pihak berkuasa.

Wakil Sentral yang memasuki kawasan itu dengan ditemani penduduk kampung, mendapati ejen kegiatan itu mengarahkan beberapa wanita melarikan diri ke kawasan berdekatan kerana bimbang diserbu pihak berkuasa.

Malah, seorang wanita berusia sekitar 40-an, dipercayai ejen kegiatan itu tanpa segan silu menawarkan khidmat seks membabitkan kumpulan wanita kepada wakil Sentral dengan bayaran antara RM100 hingga RM150 sekali 'perkhidmatan'.

Dia berkata kawasan ladang itu hanya dijadikan sebagai tempat berkumpul bagi 'ayam' terbabit sebelum memberikan perkhidmatan mereka di beberapa hotel berdekatan kawasan itu bersama pelanggan.

Katanya, pelanggan juga boleh mendapatkan 'perkhidmatan' di bilik khas berhawa dingin itu jika mahu, tetapi saki-baki bau najis ayam dan babi masih ada.

Difahamkan, ada juga pelanggan perkhidmatan di situ warga asing yang bekerja di ladang babi sekitar sini.

Difahamkan, kegiatan itu sudah beroperasi sejak lama dan hanya pelanggan yang dikenali atau sudah membuat tempahan dibenarkan masuk ke kawasan terbabit.

Penduduk tempatan berkata, kegiatan itu turut wujud di beberapa kawasan lain seperti di Tanjung Sepat, Tumbuk dan Kancong Laut dan pernah juga diserbu pihak berkuasa.

Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali meminta pihak berkuasa bertindak segera bagi membanteras kegiatan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Banting, Superintendan Mohamad Radzi Ishak ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan penduduk itu dan mengambil tindakan lanjut.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 6 November 2009)


No response to “BERITA”

Post a Comment